Zakaria Ali: The aim of thinking is to find clarity.
Penulis: Or, do we stimulate ourselves to express them?
Zakaria Ali: Untuk mencari penjelasan, penjelasan kepada diri kita.
Penulis: Orang lain tak boleh arah-arahkan?
Zakaria Ali: Oh, tak boleh, tak boleh.
Zakaria Ali menulis, melukis, menterjemah, mengkaji dan mengajar. Sejarawan seni ini mendiami sebuah rumah yang dikelilingi kehijauan di tepi terusan sungai. Suasananya begitu tenang, sesuai untuk melakukan kerja-kerja yang memerlukan dia memikirkan perkara yang elok untuk dihambur pada kertas dan kanvas. Sempat dia mengajak saya untuk membeli rumah di kawasan kelab yang nampaknya lebih separuh daripada 70 buah bangunannya terbengkalai dipenuhi pokok liar.
Sempat saya dan teman-teman menyelongkar kubu itu ketika pertemuan kami kali pertama. Dalam pertemuan itu, barangkali Zakaria lebih banyak meneliti keletah saya dan teman-teman yang berpangkat anak. Ataupun mungkin mencari kata untuk memulakan bicara. Sudah tentu ada jurang antara kami, namun pertama kali pertemuan yang segan-segan itu kami merasakan kemesraan. Manakan tidak, sehingga jauh pagi dia melayani pelbagai pertanyaan.
Kesibukan saya ketika pertemuan itu yang terpaksa berdepan komputer menangguk berita-berita yang masuk menyebabkan saya iri hati dengan teman-teman yang membuka pelbagai topik untuk dibualkan. Selepas pertemuan itu, kami berhubung dan saya menyuarakan keinginan mahu menulis bicara kami. Dia menyatakan persetujuan. Hari baik, malam dingin—lewat WhatsApp kami bersua muka lagi.
Penulis: Sebagai seorang sejarawan seni yang menulis, apakah pergelutan estetika yang Pak Zakaria hadapi?
Zakaria Ali: Sebetulnya, seorang sejarawan seni tidak perlu aktif menulis, sebab dia sedang berdepan dengan bermacam karya yang dia tengok daripada jauh, lebih-lebih lagi ketika zaman Covid ini.
Tambahan lagi, kesusahannya adalah bagaimana hendak menyeimbangkan diri kita sebagai penjelas seni dan pengkritik karya, kerana orang yang meminta kita menulis tak akan menyangka kalau kita mengutuk dia.
Umpamanya, ketika saya diminta menulis dua katalog untuk sebuah persatuan di Perak. Makam masing-masing campur tinggi rendah, kualiti karya pun tinggi rendah. Jadi, saya terperangkap, bagaimana saya ingin mengulas, mereka pun semua saya kenal, sebahagiannya pun ada anak murid saya juga.
Ini yang membawa kita kepada hal yang seterusnya: peranan bahasa, kemahiran kita dengan bahasa bagaimana mengungkap sesuatu tetapi kita berlapik supaya ia tidak ketara….
Zakaria Ali: Apa soalan kamu tadi?
Penulis: Pergelutan estetika zaman.
Zakaria Ali: Ya, sukar untuk kita tentukan, saya ingat mustahil, kerana setiap zaman itu ada adikaryanya. Tidak ada zaman yang terlalu gemilang yang mengatasi zaman lainnya. Itu kita mesti terima. Estetika ini sifatnya very of the moment. Ia adalah untuk saat ini. Tak boleh overlapping. Umpamanya pada 70-an ada Anwar Rashid, dia melukis garuda, daripada mitos, judulnya Inderaputra, memang hebat warnanya, kawan-kawannya pun kata ia cerminkan estetika zaman 70-an kerana ia menggabungkan mitos tempatan dengan teknik impresionismenya .
Namun pada zaman ini, lepas 30 tahun kemudian, karyanya hebat tapi sebenarnya ada karya lain yang sama hebat atau lebih hebat walaupun lebih kecil.
Ada seorang artis, saya sampai sekarang tak dapat namanya. Karya engraving di atas batang kayu, itu teknik renaisans. Saya tengok di Balai [Seni Negara]. Barangkali dia belajar daripada Youtube.
Saya kira, jika dibanding Inderaputra milik Anwar dengan karya kecil 4, 5 inci ini. Sama hebat, dan ia menggambarkan estetika zaman ini.
Jadi begitu, zaman ini, boleh pilih saiz, medium, atau apa-apa tema yang kamu hendak.
Malang sekali, nama seniman itu tak dapat ditemui, kata Zakaria. Hatinya walang kerana pegawai yang didekati di Balai Seni tak dapat memberikan nama seniman itu. Masuk tahun ini, katanya, sudah empat tahun nama seniman itu tak dapat diperolehi. Kami sama-sama ketawa memikirkan bagaimana Balai Seni tak dapat memberikan nama artis itu ketika diminta.
Zakaria Ali: Itulah, saya bukan nak apa-apa pun, nak nama dia saja. Barangkali dia orang terlupa agaknya.
Menurut Zakaria, keunikan seorang seniman itu hanya boleh dinilai jika dia komited dengan kerja-kerja seninya, dan aktif pula. Bagaimana mungkin, katanya, untuk menyerlah namun tidak ada karya yang dipersembahkan untuk dilihat orang.
Zakaria Ali: Yang pertama dia kena komited, apa pun terjadi. Saya jumpa ramai yang katanya seniman muda tapi tak beri komitmen.
Lagi-lagi waktu Covid ni. Nak berhenti, nak cari kerja lain, tak layak pula. Saya boleh bayang dia kerja jual makanan, untuk melangsungkan hidup, dan berhenti berkarya.
Satu persoalan timbul pula. Bagaimana pula kes bagi seorang seniman yang mati ilham. Tidak dapat mengungkap visualnya lagi. Begitu kabur dan mati. Mereka merasa tandus dan kekeringan idea.
Penulis: Ada yang bertanya bagaimana jika kanvas terus kosong, tak dapat mengungkap apa dalam fikiran?
Zakaria Ali: Mulakan dengan diri, lukis apa yang kamu alami, itu yang paling dekat. Dan kemudian yang ada di sekeliling diri sendiri. Lukis apa yang boleh dikongsi, dan orang lain juga boleh kongsi. Lukis dan kongsi. Ada yang banyak melukis hanya untuk disimpan.
Kita mahu orang yang memikirkan pengalamannya, orang ini mengalami macam-macam, yang manisnya, yang pahitnya, yang mulianya, yang hinanya. Tetapi dia tak fikirkan itu, dia tak fikir apa yang dialaminya. Dan memikirkan bagaimana pengalaman itu boleh diubah kepada kenyataan visual.
Kerana itulah, saya pesan kepada para pelajar saya untuk tulis diari, tulis semuanya, dan apa yang kita tulis itu akan tercermin dalam karya yang kita buat. Itu adalah proses peribadi, kerana fikiran itu peribadi. Menjadi seorang yang komited kepada seni, apa yang dia alami mesti give it thoughts. Namun sekarang ramai yang lukis tapi tak berikan waktu untuk memikirkannya.
Menurut Zakaria, proses berfikir sebetulnya adalah proses berfalsafah. Ia bersifat peribadi. Jika boleh saya carikkan, bagi Zakaria, proses fikiran seorang seniman itu adalah sebuah proses atau percubaan seorang seniman mengungkapkan gagasan dan wawasan dirinya sendiri. Jika gagasannya jelas, maka terlihatlah ia dalam sesebuah karya.
Zakaria Ali: Maksud saya, seorang seniman itu sendiri yang menjelaskan dan memberi makna kepada pengalamannya, dan kemudian ketika dia berkarya pemikirannya itu akan ketara. Dia tak akan boleh berbohong. Bila berfikir dalam berkarya, dia tidak akan boleh bohong. Ia akan berisi.
Penulis: Semakin lama proses berfikir itu semakin jelas dan ketara pada karya itu?
Zakaria Ali: Ya, betul.