Setiap kali mendengar kisah penderaan seksual, saya tertanya-tanya apa yang bermain di fikiran pelakunya. Adakah mereka sendiri pernah menjadi mangsa? Adakah mereka menjadi saksi kepada penderaan seksual semasa kecil, dan tidak dapat memprosesnya dengan sihat? Tidakkah mereka diajar untuk menghormati orang lain? Atau mereka hanya sekadar meniru apa yang dilihat di rumah?
Saya juga memikirkan perasaan para pemangsa. Kenapa ada yang terus berdiam diri?
Dari 2018 hingga 2023, lebih 18,000 kes penderaan seksual kanak-kanak direkodkan di Malaysia. Tiga tahun terakhir, sebanyak 9,198 kes gangguan dan penderaan seksual dilaporkan, melibatkan mangsa perempuan dan lelaki.
Kesedaran Sejak Kecil
Beberapa sekolah dan organisasi sudah mula memperkenalkan konsep “sentuhan baik” dan “sentuhan buruk” kepada kanak-kanak.
“Kita boleh mula mendidik anak-anak tentang batas peribadi mereka seawal usia empat tahun,” kata Alfie Sebastian, bekas guru besar tadika berpengalaman 30 tahun. “Kami menggunakan cerita ‘Nina dan Rahsianya’ – tentang seorang kanak-kanak yang telah disentuh oleh seorang dewasa dan kemudian disuruh untuk merahsiakannya, sehingga satu hari seekor monyet menggalakkannya untuk memberitahu ibu bapa.”
Kanak-kanak perlu faham bahawa mereka tidak perlu menyimpan rahsia yang membuatkan mereka tidak selesa. Bagi kanak-kanak, perbuatan seperti mencubit atau menyentuh punggung rakan mungkin nampak seperti biasa, namun, Sebastian menekankan pentingnya pendedahan batasan awal. Beliau turut menggalakkan pemerkasaan kanak-kanak untuk berkata, “Tidak—jangan sentuh saya di situ,” apabila berada dalam bahaya.
Beliau juga menyedari pentingnya kanak-kanak meluahkan perasaan dan berkongsi masalah dengan orang dewasa. Oleh itu, sekolahnya memperkenalkan sebuah tikar kecil khas di setiap kelas. Jika ada murid duduk di atasnya, itu tandanya mereka sedang resah dan ingin berbicara. Guru kelas akan mendekati, mendengar, dan membantu menyelesaikan masalah mereka.
“Kaedah ini berkesan—ia mencipta ruang selamat untuk kami memahami dunia mereka, lalu menyelesaikan masalah dari situ,” tambah Sebastian.
Menangani Isu Remaja
Dulu kita mengajar anak-anak supaya tidak membuka pintu kepada orang tidak dikenali ketika berada di rumah atau di dalam kereta sendirian. Kini, dengan hampir setiap kanak-kanak memiliki telefon pintar, ancaman orang asing boleh datang melalui skrin peranti mereka.
“Kami melihat semakin ramai kanak-kanak memiliki telefon pada usia seawal 10 tahun,” kata Ooi Bee See, pekerja sosial di Pusat Perkhidmatan Wanita, cawangan Seberang Perai bagi Pusat Perubahan Wanita Pulau Pinang (WCC).
Kerajaan Australia melarang penggunaan media sosial bagi mereka yang berusia bawah 16 tahun, tetapi Malaysia belum mempunyai undang-undang seumpamanya. Walaupun dasar media sosial menetapkan had umur minimum 13 tahun, peraturan ini sering diabaikan.
Kanak-kanak praremaja dan remaja sangat terdedah kepada bahaya di dunia siber. Membina hubungan dengan orang tidak dikenali secara dalam talian, bertukar gambar tidak senonoh dengan mereka yang disangka dikenali, dan menjual gambar peribadi adalah antara situasi berbahaya yang mungkin dialami remaja. Malangnya, ibu bapa selalunya hanya menyedarinya setelah terlambat – apabila seorang gadis didapati hamil, ada yang diperas ugut dengan ancaman menyebarkan gambar provokatif mereka (dikenali sebagai sextortion), manakala yang lain bertemu dengan “rakan” mereka secara bersemuka.
“Memandangkan sensitiviti topik ini, kami kerap mengadakan ceramah tentang keselamatan siber untuk pelajar sekolah menengah,” kata Ooi. “Memang difahami bahawa topik ini sukar dibincangkan antara ibu bapa dan anak-anak, kerana kebanyakan ibu bapa tidak menyedari aktiviti anak mereka di telefon dan aplikasi media sosial. Itulah sebabnya pendidikan awal amat penting.”
Hubungan Sihat Amat Penting
Tidak kira berapa usia anak, ia tetap menjadi tanggungjawab orang dewasa dan ibu bapa untuk melindungi mereka daripada penderaan seksual dan aktiviti tidak sihat. Kita tidak boleh membuat apa-apa setelah sesuatu berlaku, tetapi kita boleh mencegahnya.
“Kanak-kanak kecil hanya mahukan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Jadi, tunjukkan kasih sayang anda kepada anak-anak dan luangkan masa berkualiti bersama mereka. Dengar rintihan mereka dan eratkan hubungan anda dengan mereka. Tunjukkan kepada mereka erti kasih sayang yang sebenar, bermula dari rumah, supaya mereka tidak mencari kekosongan itu di tempat yang salah daripada orang yang salah,” nasihat Sebastian.
“Apabila anak-anak meningkat remaja, mereka mula memasuki fasa penerokaan diri. Mereka mungkin mencari pengiktirafan dan panduan daripada media sosial, di mana pemangsa sedang menunggu mangsa remaja yang muda dan tidak berdosa,” kata Bee See. Beliau menasihatkan ibu bapa supaya mencari cara untuk meningkatkan harga diri dan keyakinan anak remaja mereka, serta membantu mereka mencapai matlamat dan cita-cita dengan cara yang sihat. Ketika remaja mula mengenali dan membentuk identiti diri, ibu bapa seharusnya terus membina hubungan yang kukuh dengan mereka.
Kita tidak dapat menjangka siapa yang berpotensi menjadi pelaku jenayah seksual—ia boleh jadi rakan, ahli keluarga, atau individu yang dihormati oleh masyarakat. Oleh itu, tiada masa yang patut dibazirkan dalam mendidik anak-anak kita mengenai isu ini.
Sumber Bermanfaat
Berikut adalah beberapa buku cerita terbitan Women’s Centre for Change yang boleh dimuat turun percuma dalam pelbagai bahasa di https://www.wccpenang.org/books/
Buku cerita untuk kanak-kanak:
– Nina dan Rahsianya (2007)
Buku cerita untuk praremaja:
– Samir dan Rakan Dalam Talian
– Lisa dan Rahsianya
– Yusri dan Rahsianya
Sumber untuk guru dan ibu bapa:
– Cybersafety: Keeping Children and Teenagers Safe Online (Bahasa Inggeris sahaja)
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Samantha Khoo(2025). Sexual Harassment: The Importance of Early Preventive Measures. Penang Monthly, March Issue.
Sejak zaman remajanya, Samantha Khoo telah menjadi penulis blog peribadi yang gemar bermain dengan kata-kata. Impian terbesarnya adalah untuk tinggal di sebuah kotej terpencil, ditemani kopi, dakwat, dan kertas yang tidak pernah habis..