Patut sudah lama dilaksanakan dasar untuk menyusun semula masyarakat di negara ini berpedomankan Rukunegara. Kelima-lima rukun dalam Rukunegara akan menjadikan negara ini sebuah negara aman damai dengan rakyatnya percaya satu sama yang lain. Ada banyak sebab kepercayaan masa lalu itu sudah diganti dengan rasa takut, syak wasangka, dan ketidakpastian antara kaum pada hari ini. Kerja penyusunan semula yang melibatkan kejuruteraan sosial, politik, dan ekonomi itu memang susah, tetapi perlu diteruskan. Bak kata pepatah, “Biar lambat asalkan selamat.”
Untuk melaksanakan dasar penyusunan semula masyarakat, suatu pasukan khas perlu ditubuhkan dengan melibatkan kumpulan pakar yang tidak sahaja mesti bebas daripada pengaruh politik, tetapi juga mesti yang berpengalaman, mempunyai rekod cemerlang dan mewakili kepentingan semua kaum. Sememangnya ideal sekiranya dapat dibentuk kebudayaan Malaysia melalui proses penggabungan, penumpuan, dan pematuhan kebudayaan kaum-kaum yang berbeza melalui proses akomodatif dan kompromi yang berterusan. Konsep kebudayaan dan bangsa Malaysia baru ini bersifat inklusif, dan jauh lebih kaya daripada kebudayaan Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Sehingga hari ini, kontroversi identiti bangsa dan negara Malaysia masih tidak terjawab kerana rumitnya isu yang dihadapi oleh setiap kaum. Kalau obsesi terhadap kebudayaan kaum yang tertentu boleh menghalang kepada usaha penyusunan, kita jangan lupa bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa ikatan bersama semua kaum di Malaysia. Banyak lagi legasi budaya kita perlu ditokok sebagai modal dan kekuatan tambahan. Tetapi, demi kebaikan semua kaum, pengorbanan dan kompromi di sana sini tidak dapat dielakkan. Malah, kompromi itu tidak boleh lagi hanya melindungi kaum tertentu, tetapi mestilah dibuat untuk mempromosikan identiti Malaysia yang akan menjadi kemegahan bersama. Sehubungan itu, kita juga perlu memahami bahawa konsep ras, bangsa dan negara yang kita fahami selama ini adalah binaan sosial semata-mata. Ini boleh diterangkan dengan realiti hidup di depan mata kita. Orang India yang lahir di India, misalnya, boleh berubah menjadi warga negara lain setelah bermastautin dan memenuhi syarat syarat negara asing, misalnya Australia, England, Amerika Syarikat, Kanada dan Malaysia. Untuk mencapai matlamat yang dikehendaki, kumpulan pakar yang terlibat bukan sahaja mesti mempunyai kematangan berfikir tetapi juga wawasan yang melangkaui kepentingan perkauman. Dasar itu juga perlu disemak dan ditambahbaikkan setiap lima tahun sekali.
Ini tentulah hanya cadangan dan pandangan saya demi masa depan negara. Walaupun saya bukan ahli sosiologi atau sains politik, tetapi saya sudah mengkaji hubungan dan perpaduan kaum di Malaysia berdasarkan karya sastera Melayu di Institute South East Asian Studies (Singapura) tidak lama dahulu. Dalam kajian itu, saya dapati ramai penulis Melayu ulung telah menyampaikan pandangan mereka tentang kebersamaan dan perpaduan kaum untuk menggantikan kebencian dan permusuhan. Penulis seperti Awang Had Salleh, Atan Long dan Abdullah Hussein bukan sahaja telah mengimbau hasrat bapa pengasas negara kita, tetapi juga mengidamkan masa depan Malaysia yang lebih cerah dengan adanya perpaduan. Mereka sebagai cendekiawan awam Melayu telah mengisahkan pengalaman watak-watak cerita mereka melampaui konflik masa lalu untuk kepentingan bersama. Bagi mereka, “Buang yang keruh, diambil yang jernih.” Saya dapati walaupun apa yang diidamkan itu cuma utopia, impian tetap impian, tetapi ia adalah ibu kepada kejayaan bagi banyak projek besar yang pernah berlaku di dunia ini.
Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, seperti banyak negara yang lain. Sejak dahulu lagi, pluralisme telah menjadi ciri dan kebanggaan negara ini yang terdiri daripada berbilang kaum. Kepelbagaian budaya itu adalah tonggak kekuatan kita sebagai rakyat yang setia, bersusila, dan mahu terus mengekalkan kreativiti, inovasi, keusahawanan, kekuatan dan dinamisme masing-masing untuk terus membangunkan negara.
Kepelbagaian budaya (cultural diversity) telah wujud di Malaysia sejak ratusan tahun. Di bumi yang bertuah ini pelbagai kaum telah hidup bersama-sama dengan aman dan damai dan mewarisi, dan berkongsi cara hidup dan kebudayaan yang unik daripada kaum lain. Daripada jalur perkembangan masyarakat itu, telah dicipta istilah “multikulturalisme” yang digunakan bukan sahaja untuk menggambarkan masyarakatnya, tetapi juga sebagai falsafah sosial untuk menggalakkan rakyatnya menghargai dan mengiktiraf kepelbagaian budaya dengan lebih baik. Bukankah gejala kepelbagaian budaya yang kita amalkan selama ini telah menjadikan Malaysia adalah antara negara yang mempunyai perayaan sepanjang tahun?
Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia sudah melaksanakan pelbagai program untuk menekankan prinsip kepelbagaian budaya tradisional, selain memupuk keharmonian antara kaum melalui projek kesaksamaan dan pembangunan sumber. Dengan berbuat demikian, integrasi pelbagai budaya, pertukaran idea dan pandangan bersama dapat digalakkan. Perkongsian seperti itu boleh membuka peluang baharu untuk meningkatkan inovasi dan hubungan kerja yang lebih produktif yang belum pernah dilakukan.
Berjaya tidaknya rancangan tersebut bergantung juga pada sejauhmana rakyat pelbagai kaum boleh belajar mengurus perbezaan sosial. Selain itu, para pakar dan pihak media (cetak dan digital) kita perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu menerangkan manfaat kepelbagaian budaya dan mentakrifkan identiti Malaysia dengan lebih giat agar konsep itu tidak dirampas oleh ahli politik untuk kepentingan mereka sendiri. Kita mahu kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang kaum kekal sejahtera dan bahagia dalam negara yang aman dan maju. Masa depan negara kita berisiko dan suram tanpa adanya pemikiran kolektif. Sehubungan itu, perpaduan dalam kalangan rakyat adalah faktor penentunya.
Ding Choo Ming, Pesara dari UKM. Bekas Felo Penyelidik Utama (Profesor) di ATMA, UKM, Bangi. Pernah menghasilkan belasan buah buku dan puluhan buah esei, khususnya dalam pengajian Melayu.