Sebagai seorang penterjemah, saya sering diajukan dengan pertanyaan berikut: “Adakah kerja terjemahan itu mudah?” “Apakah yang perlu ada pada seseorang itu untuk menjadi penterjemah?” “Adakah kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa sudah memadai?” “Apakah sijil-sijil yang melayakkan saya untuk menjadi seorang penterjemah?” Pertanyaan-pertanyaan ini hanya sebahagian daripada banyaknya pertanyaan tentang kerja terjemahan, baik terjemahan puisi mahupun prosa, laporan mahupun sastera.
Penterjemah yang saya temui paling tidak ada dua jenis, iaitu mereka yang datang daripada dunia kepengarangan dan sering bergulat dengan hal-hal bahasa; kedua, mereka yang sebaliknya, mereka yang bahasa keduanya hanya berbekalkan apa yang diajarkan di sekolah, tetapi yakin untuk menterjemah kerana setidak-tidaknya mereka boleh “bertutur” dalam bahasa sasaran.
Menurut saya, jawapan paling umum dan utama kepada pertanyaan-pertanyaan ini adalah: kerja menterjemah tidak boleh lari daripada kerja mengarang. Segala-gala yang diambil kira dalam usaha memindahkan sesebuah teks daripada satu bahasa ke bahasa lain akan berakhir dengan sebuah tindakan yang dikenali sebagai “karangan.”
Dalam menterjemah, penterjemah mengarang karyanya sendiri. Malah, seperti yang digagaskan oleh penulis Argentina, Jorge Luis Borges, sesebuah teks terjemahan boleh jadi lebih hebat daripada teks asal. Borges percaya bahawa terjemahan bukannya sekadar penghasilan semula sesebuah karya, tetapi sebuah karya baru dan bebas daripada teks asal. Ketika mengulas tentang sebuah terjemahan bahasa Inggeris bagi novel Vathek, dia mengiystiharkan, “el original es enfiel a la traducción” atau “yang asli curang terhadap terjemahan.” Borges menerbalikkan darjat tradisional antara karya asli dengan terjemahan dengan membingkaikan terjemahan bukan sebagai sekunder, tetapi sebagai upaya kreatif yang setaraf dengan karya asli.
Namun, untuk lebih jelas, kita perlu sampingkan dahulu gagasan Borges itu, dan tetap mengakui yang sebaliknya, iaitu karya asal lahir lebih awal daripada terjemahan. Hal ini kerana, hukum terjemahan sama seperti kelisanan dan penulisan. Dalam pertuturan, kata-kata yang disusun menjadi sebuah ayat merupakan suatu terjemahan daripada buah fikiran si penutur atau penulis. Mudahnya, pancaindera kita menangkap objek-objek yang dilihat, didengar, dan dirasai di sekeliling, kemudian mengirimkan maklumat ke dalam minda untuk ditanggapi, lalu diterjemah atau dilisankan.
Dalam bertutur, sedar atau tidak, proses penterjemahan berlaku sebelum sesuatu itu dinyatakan. Proses penterjemahan dalaman itu berlaku dalam ranah pra-bahasa atau sebelum kelahiran kata-kata. Para peringkat ini, buah fikiran tidak mengambil bentuk kata-kata atau tanda, dan tidak semestinya terikat dengan himpunan kosa kata yang tersimpan di belakang kepala. Paling tidak, buah fikiran atau perasaan pada ranah ini terungkap dalam bahasa yang disebutkan oleh filsuf Austria, Ludwig Wittgenstein, sebagai “bahasa peribadi,” iaitu bahasa yang hanya boleh difahami oleh penuturnya dan tidak boleh dikomunikasikan, melainkan dengan menggunakan bahasa sosial.
Ketika buah fikiran dan perasaan ini cuba dikomunikasikan, tidak dapat tidak, akan berlaku pergeseran, sehingga ada yang tercicir dan tidak padan untuk diungkapkan dengan kosa kata yang dia miliki. Pergeseran antara makna dan rasa dengan tanda-tanda atau kata-kata sudah terjadi dalam rahim penulis sejak awal. Masalah ini lebih jelas berlaku kepada orang yang berfikir dalam sesuatu “bahasa” atau dalam struktur bahasa ibundanya, tetapi mahu menuturkan buah fikirannya itu ke dalam bahasa yang sedikit asing baginya. Baik secara sedar mahupun tidak, dia akan cenderung untuk mengambil pendekatan menterjemah, daripada mengungkapkannya langsung di dalam bahasa sasaran. Hasilnya akan berbau janggal, kekok, canggung dan sebagainya.
Jadi boleh dikatakan bahawa pertuturan, karangan, malah teks asal bukanlah ungkapan pemikiran secara langsung, tetapi terjemahan atau “cubaan” terjemahan ke dalam sebuah bahasa baru. Kita boleh membayangkan bahawa wujud dua struktur yang selari, iaitu struktur dalam tindakan mengarang dan dalam tindakan menterjemah. Dalam penterjemahan, teks asal menjadi sebuah objek yang menanti untuk dibaca, diresap, dan diungkapkan. Bagaimanapun, pengolahan ini dilakukan dengan panduan dunia yang sudah diciptakan oleh si pengarang teks asal, iaitu dunia yang dibangunkan daripada kata (tanda) dalam bahasa (budaya) yang berbeza. Pada peringkat ini, iaitu ketika penterjemah cuba melakukan penterjemahan, berlakunya pergeseran buat kali kedua, sehingga terhasilnya karya-karya terjemahan yang setia, yang curang, atau mungkin yang lebih mampu mengungkapkan berbanding bahasa asal.
Maka, menterjemah tidak hanya menuntut kemahiran dan pemahaman yang mendalam terhadap kedua-dua bahasa sumber dan sasaran, tetapi juga kepandaian dalam mengarang, menulis, dan mengolah. Memiliki kemampuan dalam dua atau lebih bahasa sudah pastinya tidak mencukupi. Paling tidak, seseorang itu mesti tahu mengarang, yakni mampu menterjemahkan pemikiran, perasaan, dan bayangan yang ada dalam kepala sendiri; dia mesti mampu mengungkapkan diri sendiri terlebih dahulu. Malah, secara teknikal, keupayaan untuk mengarang menjadi semacam benteng untuk menghalang daripada terjadinya terjemahan secara harfiah atau literal atau kata per kata.
Kemampuan mengarang mungkin boleh dianggap sebagai suatu keperluan paling asas, tetapi keupayaan lain yang sama mustahaknya adalah kebolehan untuk mentafsir dan menjiwai sesebuah teks, sebagaimana seseorang pengarang karya asli menanggapi dan mengalami dunianya. Kedua-dua kebolehan ini mampu memperkukuhkan lagi sesebuah karya terjemahan. Dalam kata lain, penterjemah pertama sekali memupuk minat, lalu menjalinkan hubungan yang mendalam dengan teks tersebut. Jenis perhubungan ini yang saya temukan misalnya pada penterjemah Ahmad Boestamam dengan teks Nasionalisme Melayu karya William R. Roff, atau terjemahan Latiff Mohidin ke atas Faust, karya agung J. W. Goethe. Kedua-dua karya terjemahan ini dapat dirasai seperti hasil sebuah perbualan antara penterjemah, teks asal, dan pengarangnya.
Tidak berlebihan kalau dikatakan bahawa penterjemah memiliki jati dirinya sendiri. Dia adalah seorang pengarang yang namanya tercetak pada halaman sampul buku karya terjemahannya. Kehadirannya ditonjolkan, dan karyanya disabitkan ke atasnya. Oleh itu, dia bebas menggunakan wibawa, kraf dan subjektiviti kepengarangannya untuk menghasilkan sebuah karya baharu yang hidup dalam bahasa baharu, tetapi tidak meninggalkan nuansa karya asal.
Sewaktu menterjemah, saya misalnya akan membayangkan seorang watak pengarang, dan bagaimana watak itu menuliskan karya itu jika dia memilih untuk menulis dalam bahasa yang saya jadikan sebagai bahasa sasaran, iaitu bahasa Melayu. Jadi, saya sebagai penterjemah seakan-akan menjadi seorang narator yang mengarahkan watak pengarang khayalan tadi untuk menuliskan karangannya.
Yang pasti, kerja terjemahan bukan kerja mengalih “bahasa atau kata-kata” semata-mata, tetapi segala muatan makna, gambaran, perasaan, dan suasananya. Jika ada semacam “semangat” yang menghidupi kerja pemindahan kebudayaan, sudah tentu semangat itu bukan semangat “persamaan.” Kita tidak sekadar mencari persamaan antara kata dengan kata, kerana kita tahu bahawa kata sifatnya rapuh dan luwes. Bagi saya, penterjemahan boleh hadir dalam ketiadaan, penghapusan, dan kebisuan. Tidak semestinya setiap kata mampu diterjemahkan, tetapi ada kalanya apa yang dibawa oleh teks asal akan muncul dengan lebih jelas melalui pelenyapan kata-kata.Kita barangkali boleh membayangkan bahawa terjemahan sebagai kerja pemindahan makna dan rasa dan semangat menggunakan gerabak keretapi yang compang-camping; mujur kalau semua selamat tiba di stesen.
Izzuddin Ramli merupakan seorang penulis, penterjemah, dan penyunting. Beliau menguruskan portal esei Suara Nadi dan mengendalikan audio siar Bual Nusantara.