Ada satu pertanyaan yang sedari kecil belum saya temukan jawapan, atau paling tidak, cebisan-cebisan petanda: siapa leluhur saya? Kenapa pertanyaan ini selalu hadir, saya kurang pasti. Sekilas, ianya tidak lebih daripada sekadar rasa ingin tahu. Benar, sekadar ingin tahu. Mungkin kerana itu saya hanya mengenal, paling jauh, arwah datuk daripada kedua-dua belah ayah dan ibu. Seorangnya bengis dan suka merantau, dan seorang lagi guru silat yang pendiam dan tidak bekerja tetap.
Kerja menjejak asal-usul diri sendiri selalunya sulit. Kerana itu saya tidak kerap menoleh ke belakang dan mencari. Ayah sendiri jarang bercerita. Ibu pula sebaliknya suka bertitih, namun malang, kurang petah dalam mengungkap. Sesekali, ketika di kampung, saya beralih ke gambar untuk memerhatikan denai-denai yang pernah dilalui oleh keluarga. Tapi, gambar juga segan bercerita.
Di situ, gerbang salasilah hanya menguak di ambang pertemuan ayah dan ibu. Kepingan gambar ayah yang masih berseragam hijau di Sarawak, dan gambar ibu dengan skirt putih jururawat yang sedang mengelamun di pintu sebuah klinik di Kota Bharu, berselang-seli antara satu sama lain. Selebihnya, gambar-gambar orang berkenduri-kendara, dan gambar diri sendiri ketika kecil yang tekun meniru gerak-geri orang lain.
Barangkali tidak ada yang boleh dijual daripada kisah Deris dan Hassan — tok ayah dan tok ki yang tidak selalu saya santuni itu. Pada waktu muda, Deris sibuk membeli tanah di mana sahaja punggungnya berlabuh. Hassan pula asyik mengukir hulu dan sarung golok di bangsal belakang rumah. Tidak ada pentingnya juga dengan apa yang sedang dibicarakan oleh ayah dan ibu dalam gambar mereka sebingkai buat pertama kali.
Mungkin sekolah yang mendorong saya melihat begitu. Sejarah, kenangan, ingatan, dan kejadian masa lalu yang saya kutip di bilik darjah adalah deretan cerita yang menguatkan kesetiaan saya kepada negara. Yang terjadi di Stadium Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 adalah Tunku Abdul Rahman melaungkan di hadapan ribuan rakyat bahawa negara sudah bebas. Di helaian buku teks, para perwira masa lalu yang diajar untuk dikenang adalah mereka yang sudah menumpahkan bakti kepada negara.
Negara perlahan-lahan menculik masa lalu saya. Ingatan dan kenangan yang dihidangkan dalam mata pelajaran sejarah adalah segala yang telah membentuk saya sebagai sebuah masyarakat; suatu yang diingati secara bersama. Di sini, sejarah adalah suatu cerita panjang tentang sosok dan peristiwa yang sudah dipilih negara. Deris dan Hassan, jelas, tiada dalam garis panjang ini.
Dalam buku teks, sejarah menjadi rasmi, dan saya semakin jauh dari sejarah sendiri. Saya tahu, sewaktu membesar di kampung, saudara-mara sering berdatangan ke rumah, dan mereka fasih berbahasa Siam. Namun, tidak ada cerita tentang bagaimana saya boleh bertaut dengan orang-orang yang bertebaran di kawasan Sungai Golok dan Patani itu. Cerita Deris mungkin tenggelam dalam kisah kerumunan manusia yang dari generasi ke generasi menyeberangi sungai yang membelah dua negara.
Hujungnya, cerita dan peristiwa masa lalu yang tidak tertulis merapat ke pinggir, atau sekadar menjadi pilihan-pilihan yang masih diragui. Di sini, kita mengenal Sejarah sebagai sebatang tubuh yang direbut-rebut dan sering dipindah milik. Sudah tentu ada bau kuasa dalam pandangan terhadap sejarah yang sedemikian. Maka, tidak hairan kalau banyak negara bangsa terus-menerus melawat sejarah, membawa masuk dan mencungkil keluar cerita dan peristiwa masa lalu semahunya. Sejarah, di mata penguasa, berubah menjadi alat untuk membelenggu.
Namun, masa lalu bukan barang lepas yang sekadar ditinggalkan. Dengan terang atau samar, sejarah dan cebis-cebis kenangan sentiasa tercangkuk dan mengekori hari ini. Malah, kita menanggapi sejarah bak mendakap halaman sendiri: walau sejauh mana kita terdampar, kita kembali ke ribanya setelah dipaksa tubuh. Barangkali itu yang terjadi. Rasa ingin tahu saya adalah salah satu pendorong. Ada panggilan bawah sedar yang turut minta dijawab.
Hidup jauh dari tempat saya bermula, kerja mencari salasilah sendiri menjadi semakin payah. Malah, hari ini di kota, orang mungkin tidak lagi bertitih dan menelusuri susur-galur sesering yang dilakukan orang waktu dahulu di kampung. Kita dituntut untuk terus bergerak ke depan, dan jarang berhenti untuk menoleh ke belakang. Namun, ada ironinya juga hidup di kota yang tidak pernah tidur. Kita tetap sahaja terasing dan bersendiri.
Di persimpangan antara kemajuan dan keterasingan ini pertanyaan dari mana datangnya diri sendiri selalu hadir. Seperti sirih pulang ke gagang, menjejak salasilah adalah kepulangan ke salur di dalam tubuh tempat darah dan semangat mengalir. Kita menemui suatu bentuk sejarah yang bergerak melampaui kategori-kategori identiti kumpulan dan politik. Biarpun tidak tertulis dan tanpa kuasa politik, ia hadir walaupun tidak disedari.
Menelusuri salasilah dan mengangkat sejarah-sejarah ‘pinggiran’ tidak semestinya bermakna melawan sejarah dominan yang mapan, tetapi menawarkan sisi-sisi lain sejarah. Kita juga tahu bahawa sejarah di sini tidak selama-lamanya bermatlamat menguasai. Dalam perjalanan pulang ke masa lalu dan mengenal asal-usul, kita kemudian yakin bahawa sejarah juga menghidupi.
Memang tidak ada yang boleh dijual daripada tok ayah dan tok ki atau daripada kepingan gambar yang terselit di balik buku album di kampung. Mereka adalah pintu masuk ke sebuah tanah yang jarang diziarahi. Deris meninggal di halaman sendiri setelah penat merantau. Hassan sempat meninggalkan sebilah dua keris dan golok buat panduan. Namun, segala kisah dan denai yang pernah mereka lalui membentuk dan merintis laluan buat saya hari ini.
Izzuddin Ramli merupakan penyelidik di Program Kajian Sejarah dan Serantau, Penang Institute.
Gambar oleh Fauzan Saari (Unsplash)