Dalam era yang ditandai dengan kemajuan teknologi pesat dan perubahan global yang tidak menentu, usaha memupuk minda strategik menjadi semakin penting. Kemahiran yang melangkaui pelbagai industri dan peranan ini adalah asas kepada kejayaan seseorang individu mahupun sesebuah organisasi. Keupayaan untuk menjangka, menyesuaikan diri, dan menyelaraskan tindakan dengan matlamat jangka panjang menjadi pembeza utama antara pemimpin dengan pengikut, serta antara inovator dengan mereka yang kekal tidak berubah.
Horwath (2015) mentakrifkan pemikiran strategik sebagai proses berterusan dalam menjana dan menggunakan cerapan perniagaan untuk mencapai kelebihan daya saing. Proses ini sering kali berintegrasi dalam aktiviti harian sesebuah sesebuah organisasi [1] . Bouhali (2015) pula menyifatkan pemikiran strategik sebagai “pemikiran tentang perancangan” yang menumpukan kepada kelebihan daya saing melalui penetapan matlamat organisasi untuk jangka panjang, pembangunan serta pelaksanaan rancangan, dan peruntukan sumber yang diperlukan.[2]
Goldman et al. (2015) mengkonsepsikan pemikiran strategik dalam tiga aspek utama: teknik analisis yang membentuk strategi baharu dan kreatif, pemprosesan mental yakni pembentukan strategi melalui pemikiran kritis dan kreatif, dan tingkah laku seperti menyoal, membuat konsep, dan menguji strategi. Proses ini berorientasikan masa depan dan berasaskan hasil, melibatkan pelbagai bentuk pemikiran seperti pemikiran berwawasan, pemikiran sistem, pemikiran kontekstual, serta pemikiran kolaboratif. Aktiviti khusus seperti pengumpulan data, analisis, dan perbincangan juga menjadi unsur penting dalam membentuk strategi organisasi. [3]
Kepentingan pemikiran strategik
Pemikiran strategik membolehkan individu dan organisasi menjangka cabaran, merebut peluang, dan menyelaraskan tindakan dengan matlamat jangka panjang. Dalam dunia yang penuh ketidakpastian, bersikap reaktif tidak lagi mencukupi. Cabaran seperti ketidakstabilan ekonomi dan perubahan iklim memerlukan pandangan jauh serta perancangan proaktif. Sebagai contoh, syarikat yang awal menggunakan transformasi digital lebih bersedia menghadapi cabaran seperti wabak COVID-19, menunjukkan daya tahan serta keupayaan untuk berkembang walaupun dalam tekanan.
Organisasi yang mengutamakan pemikiran strategik memerlukan pemimpin yang berupaya mewujudkan budaya inovasi dan kebolehsuaian. Sebagai contoh, integrasi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu adalah kunci untuk organisasi kekal berdaya saing, sementara tahap penglibatan pekerja yang tinggi juga perlu diutamakan tanpa mengabaikan kesejahteraan mental mereka. Pemimpin yang berwawasan memberi inspirasi kepada pasukan untuk berfikir melangkaui cabaran segera, memupuk persekitaran kolaboratif di mana kreativiti dan penyelesaian masalah dalam kalangan pekerja berkembang. Anjakan budaya ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti tetapi juga membina daya tahan, membolehkan organisasi beroperasi secara berkesan dalam menghadapi cabaran global.
Bagi individu pula, pemikiran strategik memainkan peranan penting dalam mendorong pembuatan keputusan yang positif. Bermula dengan menyelesaikan masalah yang kecil dan melihat dengan cara yang berbeza akan mendorong seseorang itu untuk berfikir secara kritis dengan mengambil kira banyak perkara dan digabungkan menjadi satu set perbuatan dalam usaha mencapai tujuan yang dikehendaki.
Seseorang yang berkeinginan meningkatkan ilmu melalui pembelajaran sepanjang hayat akan berfikir secara strategik. Dia akan menganalisis landskap pasaran pekerjaan semasa untuk mengenal pasti bidang ilmu yang relevan, menilai kekuatan dan kelemahan diri, memahami arah aliran pasaran pekerjaan selepas tamat pengajian, dan meramalkan senario masa depan yang mungkin berlaku. Pendekatan ini membolehkan seseorang merangka perancangan awal yang bersifat fleksibel tetapi tetap berfokus, mampu menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan semasa sambil kekal berpegang pada objektif utama. Sesungguhnya, pemikiran strategik menggalakkan visi yang jelas, pengoptimumkan sumber, dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berubah-ubah, memacu kejayaan yang berterusan dan kelebihan daya saing.
Pemikiran strategik dan contoh kejayaan
Contoh hebat pemikiran strategik dalam dunia digital ialah transformasi Netflix daripada perkhidmatan penyewaan DVD kepada gergasi penstriman global. Menyedari potensi penstriman internet yang semakin meningkat dan mengubah pilihan pengguna, Netflix secara strategik melabur dalam teknologi, perkongsian dan pengeluaran kandungan eksklusif. Pendekatan berfikiran ke hadapan ini bukan sahaja membenarkan mereka untuk mendahului pesaing tetapi juga membentuk masa depan hiburan digital. Dengan menjangkakan aliran seperti tontonan atas permintaan dan memanfaatkan analitik data untuk memperibadikan pengalaman pengguna, Netflix secara strategik meletakkan dirinya sebagai peneraju dalam ekosistem hiburan digital.
Sistem pendidikan dan program pembangunan profesional mesti juga menekankan pembudayaan kemahiran berfikir strategik. Dengan menyepadukan pembelajaran berasaskan masalah, perancangan senario dan pemikiran sistem ke dalam kurikulum dan latihan, generasi akan datang lebih bersedia untuk mengharungi ketidakpastian dengan lebih yakin. Misalnya, bagaimana pembelajaran digital yang mempunyai jurang antara sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan di bandar dapat mempertingkatkan literasi digital para pelajar di kawasan luar bandar. Kerajaan dan institusi sekolah boleh memainkan peranan menyokong dengan memupuk persekitaran yang memerlukan perancangan strategik dan pelaburan jangka panjang dalam penyelidikan dan pembangunan.
Kesimpulannya, kepentingan minda strategik tidak boleh dipertikaikan. Ia adalah kompas yang membimbing kita melalui ketidakpastian, kanta yang menajamkan visi masa depan kita, dan enjin yang memacu kemajuan. Dengan mengamalkan pemikiran ini, individu dan organisasi sama-sama boleh mengubah cabaran kepada peluang, memastikan pertumbuhan dan kejayaan yang mampan dalam dunia yang sentiasa berubah.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.
Nota kaki
[1] R. Horwath, “What is strategic thinking?” Strategy Skills, 2015. [Online]. Available: https://www.strategyskills.com/Articles_Samples/What_is_Strateg ic_Thinking.pdf
[2] R. Bouhali, Y. Mekdadb, H. Lebsirc, & L. Ferkha. (2015). Leader roles for innovation: Strategic thinking and planning,” Procedia – Social and Behavioral Sciences 181, 72-78.
[3] E. F. Goldman, A. R. Scott, & J. M. Follman. (2015). Organisational practices to develop strategic thinking, Journal of Strategy and Management, 8 (2), 155-175.