Semangat Hari Kebangsaan pada bulan Ogos lalu masih belum pudar. Di Dataran Merdeka, sambutannya amat meriah. Manakan tidak, seawal jam 4 pagi, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum telah memenuhi setiap inci dataran. Perkara yang paling menarik tumpuan masyarakat yang membanjiri dataran keramat itu pastinya perarakan pasukan keselamatan negara. Anak-anak kecil bersorak riang melihat aset-aset keselamatan dan pertahanan melewati mereka. Sebagai orang dewasa, saya turut berbangga melihat segala aset ini.
Namun apabila memikirkan semula keadaan sebenar aset pertahanan negara, rasa kecewa turut menyelubungi diri. Mengapa? Jawapannya adalah kerana kita kini semakin jauh ketinggalan dalam aspek pemodenan aset pertahanan dan keselamatan. Suatu ketika dahulu, kita mungkin dapat berbangga kerana negara kita adalah antara negara yang mempunyai aset pertahanan termoden sehingga mampu menggerunkan negara-negara jiran dan rantau Asia yang lain. Kemegahan ini bukanlah bermakna kita bersedia untuk menyerang, akan tetapi ia menjadi lambang bahawa taring negara ini sentiasa tajam untuk mempertahankan diri daripada sebarang ancaman.
Kelemahan dalam menyediakan aset pertahanan moden kepada pasukan keselamatan negara semakin meruncing dan bukan sesuatu yang rahsia lagi. Kelewatan menyiapkan projek Kapal Tempur Pesisir milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) misalnya adalah salah satu isu yang telah membuka mata masyarakat terhadap kepincangan yang wujud dalam usaha pembangunan aset pertahanan dan keselamatan negara. Kenyataan ini sendiri disokong oleh para pegawai tertinggi pasukan keselamatan yang mendedahkan tentang keuzuran aset yang dimiliki. Namun, tidak pernah para perajurit negara ini lemah semangat untuk terus memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.
Keperluan Modenisasi Aset Pertahanan dan Keselamatan Negara
Konflik Rusia-Ukraine, Konflik Marawi, Filipina dan Pencerobohan di Lahad Datu adalah antara konflik yang menjadi bukti bahawa kita memerlukan aset pertahanan dan keselamatan yang canggih dan moden. Konflik ini telah memperlihatkan bahawa, aset moden mampu mempertahankan kedaulatan sesebuah negara daripada terus diperlekehkan.
Pasukan keselamatan negara seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sememangnya sangat memerlukan aset pertahanan dan keselamatan yang moden. Hal ini kerana, keupayaan cegah rintang aset sedia ada sudah tidak lagi mampu untuk berhadapan dengan kewujudan ancaman hari ini. Bentuk ancaman yang wujud pada hari ini juga telah berubah mengikut peredaran zaman dan situasi geopolitik. Akibat kemunduran aset pertahanan, negara kita sering terdedah dengan pelbagai ancaman daripada pihak luar.
Aset yang moden dan canggih tidak hanya mampu mempertahankan keselamatan negara, tetapi juga mampu memelihara kemakmuran ekonomi negara. Mungkin ramai daripada kita sedar bahawa hampir saban hari, aset dan sumber ekonomi negara di perairan berhadapan dengan ancaman tanpa henti. Hal ini adalah realiti yang pahit untuk ditelan. Sumber protein utama negara seperti ikan ditangkap secara rakus oleh nelayan asing dan jumlah kerugian yang ditanggung negara bukannya sedikit tetapi mencecah puluhan jutaan ringgit. Situasi ini secara langsung akan menjejaskan keselamatan makanan negara dan akhirnya, kita sebagai rakyat Malaysia sendiri yang menanggung akibatnya.
Malahan, pelantar-pelantar minyak dan kapal-kapal yang berlayar di perairan negara juga sering berhadapan dengan pelbagai ancaman. Ancaman yang wujud ini akan menjadikan negara mengalami penyusutan sumber ekonomi utama dan seterusnya menjejaskan perancangan pembangunan negara. Kewujudan ancaman ini boleh diatasi jika kita menambah bilangan aset yang moden kerana aset-aset ini berupaya berada lama di kawasan operasi tanpa ulang bekal yang kerap. Radius kawasan operasi bagi sesebuah aset juga dapat dipertingkatkan. Sekiranya keadaan ini menjadi realiti, mungkin ekonomi negara akan terus meningkat seterusnya dapat memberi pulangan lumayan kepada rakyat.
Integriti Dalam Perolehan Aset
Perolehan aset pertahanan dan keselamatan dalam tempoh masa sekarang sangatlah kritikal memandangkan keupayaan aset sedia ada semakin berkurang. Walau bagaimanapun, perolehan ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
Proses perolehan aset pertahanan dan keselamatan perlulah mengambil kira pandangan dan pengalaman pengendali aset tersebut yakni para pegawai dan anggota di lapangan. Pengalaman dan pandangan mereka perlu dijadikan garis panduan utama dalam memilih sesuatu aset. Hal ini bagi memastikan aset yang diperolehi adalah keperluan dan bukannya kemahuan pihak tertentu bagi memenuhi kepentingan peribadi masing-masing.
Sebarang aset yang ingin diperolehi juga perlulah diperoleh secara tender terbuka dan bukannya secara terus kepada sesebuah syarikat. Keterbukaan tender perolehan akan memberi saingan secara sihat dan memberi lebih banyak pilihan kepada pasukan keselamatan negara. Malah, kaedah sebegini akan memberi keyakinan yang tinggi kepada pembekal untuk menawarkan produk mereka yang lebih berkualiti. Hal ini secara tidak langsung akan menguntungkan negara.
Selain daripada ketelusan dalam perolehan sesebuah aset, pihak kerajaan juga perlu menambah keperluan dalam syarat perolehan aset iaitu pemindahan teknologi. Pemindahan teknologi secara tidak langsung dapat membantu negara meningkatkan industri pertahanan negara. Selain daripada itu, negara kita juga akan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap negara pengeluar dalam mendapatkan alat ganti. Penamatan khidmat pesawat pejuang MIG-29 kerana negara pengeluar tidak boleh membekalkan alat ganti telah merugikan negara yang akhirnya membentuk lompong pada pertahanan ruang udara negara.
Aset pertahanan dan keselamatan sememangnya memerlukan kos yang tinggi. Ini adalah kenyataan yang tidak boleh kita nafikan. Namun perlu diingatkan bahawa harga sebuah keamanan dan keselamatan adalah lebih tinggi dan sangat sukar untuk diperolehi semula.
Sudah tiba masanya untuk Malaysia meletakkan bajet perolehan aset dan kelengkapan pertahanan dan keselamatan negara pada kadar tertentu mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kadar 1.5% KDNK seperti yang dicadangkan oleh para pegawai atasan pasukan keselamatan amatlah sesuai sebagai langkah awal memodenkan pasukan keselamatan negara.
Pertahanan dan keselamatan bukanlah sektor utama yang menyumbang kepada ekonomi negara. Akan tetapi sektor ini merupakan insurans bagi memastikan negara ini terus aman dan selamat. Sudah tiba masa untuk taring kita diasah, supaya tidak lagi menjadi ejekan pihak luar yang cuba menggugat Malaysia yang tercinta ini.
Lokman Redzuan merupakan seorang Pembantu Penyelidik/Pentadbiran di Penang Institute. Bidang kajian beliau adalah keselamatan sempadan, dasar luar negara, jenayah rentas sempadan dan dasar keselamatan.