Ada banyak pengarang yang tersembunyi karya mereka daripada lipatan sejarah. Kita mengetahui kewujudan karya mereka hanya beberapa dekad atau abad selepas pengarangnya sudah mati. Di Malaysia saya boleh ambil contoh novel Zaman Gerhana (A. Samad Ahmad), Rumah Kosong (Hamzah Hussin), dan Perangkap Hitam (Ahmad Rashid Talu). Di Barat contohnya terlalu banyak. Namun tidak ada tulisan yang lebih tersembunyi—secara tersirat dan tersurat—daripada catatan mikro Robert Walser.
“Menjadi kecil dan kekal kecil,” ujar watak paling terkenal ciptaan Walser, Jakob von Gunten. Prinsip sama boleh diletakkan pada Walser sendiri. Lahir pada 15 April 1878 di Bienne, Switzerland, Walser dibesarkan dalam keluarga miskin dengan lapan adik-beradik. Walser mempunyai hubungan rapat dengan abangnya, Karl, yang kemudian membantu beliau memulakan hidup di Berlin. Walser pernah bekerja sebagai kerani dan khadam; namun tidak ada pekerjaan yang dapat mengekalkan minatnya dengan terlalu lama.
Sebagai pengarang, beliau tidak menanam sebarang cita-cita besar, malah beliau tidak pernah berusaha keras untuk memastikan karya beliau lebih dikenali oleh khalayak sastera dalam bahasa Jerman. Menurut Walser, matlamat hidupnya ialah untuk memastikan orang melihatnya sebagai “manusia yang sederhana.” Sewaktu masih hidup, Walser menerbitkan beberapa buah novel dan kumpulan esei. Jakob van Gunten dan The Assistant dianggap oleh pengkritik sebagai antara karya terbaik beliau. Menjelang abad kedua puluh satu, melalui usaha gigih penterjemah Walser iaitu Christopher Middleton dan Susan Bernofsky, semakin banyak karya Walser diterjemahkan ke bahasa Inggeris, termasuk esei, cerpen, dan catatan mikronya.
Semua catatan mikro Walser ditemui selepas kematian beliau pada 25 Disember 1956. Walser menulis di belakang cebisan kertas kalendar, keratan majalah, sampul, dan bungkusan pos. Tulisan pensil Walser sangatlah kecil sehingga ia sukar untuk dibaca dengan mata kasar. Semua catatan ini dikumpul dan dinamakan sebagai “mikroskrip.” Kenapa Walser membuat catatan-catatan kecil ini? Walser sendiri memberi penerangan dalam surat kepada Max Rychner pada tahun 1927, editor jurnal Neuve Schweizer Rundschau:
“Kalau tuan ingin tahu, semenjak sepuluh tahun lalu, saya mula menulis menggunakan pensil, yang secara semula jadinya menuntut suatu sistem penulisan yang perlahan dan merangkak-rangkak. Sistem pensil ini, yang tidak dapat dipisahkan dengan logik kerja penyalinan, telah membuat saya menderita, tetapi penderitaan ini turut mengajar saya untuk banyak bersabar, dan ternyata saya kini telah menguasai seni kesabaran […] Kaedah pensil ini mempunyai makna besar buat saya. Pengarang baris-baris ini pernah mengalami beberapa kali rasa benci pada pen di tangannya sehingga dia rasa bodoh apabila dia jarang menulis; maka bagi membebaskan diri daripada penderitaan tersebut, saya mula mencatat dan melakar dengan pensil. Berkat sebatang pensil, saya boleh bermain, menulis; dan saya menghidupkan kembali keghairahan dalam diri saya.”
Kita juga harus pertimbangkan bahawa dua puluh tiga tahun terakhir hidup Walser dihabiskan di pusat pemulihan mental. Keterasingan ini bukan sahaja membataskan ruang sosial beliau, ia turut menyebabkan Walser semakin melihat dirinya sebagai manusia kerdil yang tidak penting. Tanpa ada peluang untuk terbit di mana-mana jurnal dan akhbar, jalan keluar buat Walser hanya menulis di ruang margin kertas-kertas koyak. Barangkali Walser tidak ingin pun catatan mikro ini dibaca, apatah lagi dikumpul dan diterbitkan. Ia semacam pemberontakan pengarang terhadap dunia yang memilih untuk menolak bakatnya. Jika Franz Kafka memilih pendekatan ekstrim dengan mengarahkan Max Brod untuk membakar manuskripnya, Walser memilih pendekatan lebih halus iaitu menghilangkan diri.
Riwayat hidup Walser mungkin tidak epik dan dramatik seperti pengarang-pengarang dunia lain. Namun apabila kita betul-betul menyediakan emosi dan waktu untuk meneliti karyanya, kita akan menyedari satu perkara penting: ada ketika dalam hidup ini kita perlu menjadi kerdil dan meraikan benda-benda kecil di sekeliling kita. Momen paling bahagia adalah momen paling mudah dan sederhana seperti berjalan kaki dan makan bersama kawan-kawan.
Saya pernah cuba untuk menulis dengan pensil. Tetapi saya berhenti separuh jalan. Saya tidak berpuas hati dengan apa saya tulis. Saya juga takut dan bimbang semua tulisan ini akan terpadam begitu sahaja. Barangkali masih banyak yang saya perlu kaji dan pelajari daripada kehidupan sederhana Robert Walser.
Wan Nor Azriq merupakan seorang novelis kelahiran Alor Setar. Beliau telah menerbitkan tujuh buah buku, antaranya novel berjudul D.U.B.L.I.N. yang memenangi Sayembara Penulisan PENA-BH pada 2014. Beliau kini bekerja sebagai Penolong Naib Presiden di bank MIDF. Esei ini lahir daripada karya yang pernah terbit dan hilang di ruang lain sebelum ini.