“Barangkali ada sesuatu tanpa nama yang mengarahkan kamu . . . Rusia tersembunyi.” – Paklin kepada Mashurina, Virgin Soil
Empayar itu terlalu luas, tetapi masih terasa terpencil. Riuh rendah para penduduknya hanya dibalas dengan sebuah kesunyian yang dahsyat. Ia tidak menceritakan rancangannya kepada sesiapa, dan tidak juga memberi petanda tentang masa depan.
Seniman yang ingin menggambarkan Rusia harus mempunyai akal yang mulia dan daya khayalan yang menyala-nyala. Ivan Turgenev, salah seorang pengarang terunggul di dunia yang berkarya pada kurun ke-19, mempunyai ciri-ciri tersebut serta sangat faham dengan hubungan manusia. Antara orang yang mengagumi karya Turgenev termasuklah Joseph Conrad, Gustave Flaubert, Henry James dan Virginia Woolf. Conrad menggelarkan Turgenev sebagai “seniman kemanusiaan yang tiada tandingnya,” dan pernah menyebut: “Segala ciptaan beliau, yang mujur dan yang malang, yang tertindas dan yang menindas, adalah manusia . . . layak hidup, layak bergelut, layak menang, layak kalah, dalam permainan harian yang berterusan dan memberangsangkan, mengejar masa depan yang semakin lenyap.”
Dalam novel terakhirnya, Virgin Soil, diterbitkan pada tahun 1877, Turgenev mencipta pelbagai watak menarik untuk mempersembahkan sandiwara tanahairnya. Watak utama, Alexey Nezhdanov, merupakan insan yang rumit; sahsiahnya lebih mendalam berbanding dengan Yevgevny Bazarov, “wira nihilist” Fathers and Sons, novel Turgenev yang paling terkenal. Nezhdanov ialah anak kepada seorang pegawai tentera kaya, terasing dari keluarga dan kelas. “Kedudukan palsu” kelahirannya telah menghasilkan akhlak yang gelisah dan selalu berubah-ubah. Giat dalam lingkungan pemuda radikal St. Petersburg, Nezhdanov membenci kehalusan nalurinya: “Bersikap bersih dan terlalu teliti, dia memaksakan diri menjadi sinis dan berbahasa kasar; seorang idealis semulajadi, ghairah dan sopan, berani tetapi segan, dia berasa malu dengan kehalusan dan kemurniannya seolah-olah ianya suatu kejahatan, dan sering memperolokkan fikiran tinggi.”
Digelar “Hamlet Rusia” oleh Paklin, sahabat karibnya, Nezhdanov bukan sahaja seorang pemberontak tetapi juga penyair, golongan seniman terpuji di Rusia. Pertembungan yang berlaku di antara dua kecenderungannya ini—revolusi dan seni—barangkali mencerminkan pergelutan Rusia dengan dirinya. Teragak-agak di antara kepastian teguh dan keraguan sentimental, Nezhdanov terasa bahawa dua aspek jiwanya tetap bertentangan dan tidak dapat disatukan. Suka merenung dan menyelidiki perasaan diri sendiri, dia menyedari bahawa dia tidak dapat menyerahkan hatinya kepada “matlamat revolusi.” Ironinya, Nezhdanov hancur kerana berbohong kepada diri sendiri dan komradnya.
Turgenev terkenal sebagai pakar dalam menggambarkan kemurnian dan kesusahan kasih. Namun, tidak pernah dia menciptakan watak seorang perempuan yang sangat menarik, berbanding watak Marianna, gadis yang dicintainya. Marianna tidak melalui kehidupan yang bahagia. Dia bergantung kepada Madam Sipyagin, ibu saudaranya, dari golongan bangsawan. Ketidakbebasan ini menyebabkan Marianna menanam “matlamat” dengan kukuh. Perasaan kasih terhadap Nezhdanov dan keputusan untuk melarikan diri bersamanya berakar dalam keyakinan Marianna bahawa mereka akan mengabdikan kehidupan mereka kepada tujuan tinggi itu. Benar, desakan kasih tidak jauh berbeza daripada semangat revolusi. Kedua-duanya merupakan ideal mulia yang mewajibkan seseorang supaya bertanggungjawab dan mengorbankan diri. Kedua-duanya membawa janji perubahan dan pembaharuan. Kasih dan revolusi sama terlahir daripada keperluan manusia untuk melibatkan diri dalam suatu perhubungan murni dan berkuasa.
Watak-watak Virgin Soil menjelajah suatu tema yang jelas terkesan dalam semua karya Turgenev—usaha manusia untuk mencapai kebahagiaan sejagat dan abadi di dunia yang terbatas oleh tempat dan zaman. Setiap insan bergelut untuk membebaskan diri daripada keadaan hariannya, tetapi tiada sesiapa yang dapat menewaskan bentuk jiwa diri sendiri. Peristiwa ini menjalar ke musim sejuk 1870, suatu zaman di Rusia yang ditandai oleh perubahan dalam hal pemilikan tanah, kemajuan teknologi, dan kebangkitan politik. Korupsi dan kemerosotan akhlak golongan bangsawan, serta kesedaran terhadap keadaan sosial pekerja dan proses penghasilan, menyebabkan fikiran bersifat revolusi tersebar luas dalam kalangan pemuda bandar. Ramai cendekiawan muda ingin melakukan revolusi sosialis, tetapi tanpa menjadi masyarakat kapitalis terlebih dahulu. Mereka juga cenderung untuk Barat. Antara cendekiawan yang terpenting pada masa itu ialah Nikolai Chernyshevsky dengan karyanya “Apakah Harus Dibuat?,” sebuah esei yang berpengaruh luas sehingga Lenin meminjam tajuknya bagi karangan agungnya sendiri empat puluh tahun kemudian. Terlahirlah suatu trend “pergi ke rakyat”: pemuda dan pemudi Moscow dan St. Petersburg menuju ke kawasan desa dalam usaha menyeberangi jurang antara kelas sosial.
Virgin Soil mendedahkan ketidaksesuaian ideal revolusi dengan kenyataan sosialnya. Usaha Nezhdanov untuk “menuluskan diri” sering berakhir dalam peristiwa yang memalukan. Kunjungan propaganda dan ucapan-ucapannya yang membara menerima balasan tawar daripada golongan petani yang ingin didesaknya. Semangat pemberontak yang terunggul telah dibentuk oleh pengalaman di luar “matlamat” yang dinyatakan. Markelov yang ingkar telah menyerahkan jiwanya kepada tujuan revolusi selepas dia gagal menemui kebahagiaan dalam kehidupannya. Solomin menjalankan tugasnya dengan berhati-hati, sehingga para komradnya menghormati dan setia kepadanya. Tetapi Nezhdanov mengerti bahawa lelaki yang bermaruah tinggi ini didorong oleh suatu kuasa yang lebih mendalam daripada “matlamat” yang tidak dipercayainya sesungguh hati.
Walaupun memberi gambaran golongan pemberontak muda yang bersimpati dan mengagumi semangat dan keberanian mereka, Turgenev tidak menyembunyikan keraguannya terhadap revolusi. Barangkali beliau menyedari bahawa tanahairnya telah mula melepaskan batin seninya yang agung. Beliau juga percaya bahawa Rusia harus meneladani kemajuan teknologi dan seni Eropah Barat. Kehalusan perasaan penyair dan pemujaan terhadap kemuliaan semulajadi dianggap sebagai sikap boros oleh generasi muda yang menegaskan pentingnya menghadapi dan mengubah keadaan kebendaan negeri mereka. Menurut golongan radikal baru ini, apa yang diperlukan ialah tindakan segera dan kesetiaan teguh kepada “matlamat,” bukan renungan kesenian dan kerohanian, bukan juga kemajuan Barat. Namun Turgenev menghayati bahawa keagungan Rusia barangkali wujud di suatu alam di luar politik, masyarakat dan sejarah.
Di alam Turgenev, pergelutan untuk jiwa Rusia tidak membawa kejayaan. Mereka yang terjun “ke rakyat” tidak berjaya. Begitu juga dengan pembela golongan bangsawan. Namun, ada kuasa yang sentiasa mendorong tanpa mengira arah tujuan. Rusia tetap berdiam, mengamati dari jauh penduduk buminya menjejaki jalan merbahaya, menuju ke masa depan yang tidak diketahui.
Pauline Fan ialah seorang penulis dan penterjemah dari Kuala Lumpur, Malaysia. Dia kini berkhidmat sebagai Pengarah Kreatif pertubuhan seni budaya warisan, PUSAKA, dan Profesor Adjung di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Pauline telah menterjemahkan beberapa buku daripada bahasa Jerman ke Bahasa Melayu, termasuk karya Paul Celan, Rainer Maria Rilke, Bertolt Brecht, Immanuel Kant, dan G.E. Lessing. Buku puisi Tell Me, Kenyalang (Circumference Books, 2019) oleh penyair Sarawak Kulleh Grasi yang diterjemahkan oleh Pauline Fan, telah disenarai pendek untuk 2020 National Translation Award in Poetry di Amerika Syarikat. Pauline pernah berkhidmat sebagai Pengarah George Town Literary Festival (2019-2023).