Pengetahuan dan pengiktirafan adalah dua perkara bersalingan: pengetahuan akan memberikan pengiktirafan. Pengiktirafan tidak akan hadir tanpa pengetahuan yang mengukuhkan kedudukan seseorang. Dalam hierarki piramid Maslow, ini adalah tingkat tertinggi. Namun, ironinya pada hari ini, pengiktirafan ditagih dan diberikan tanpa perlu kepada pengetahuan, malahan ia menjadi ikutan yang menular dengan pantas dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda pada hari ini.
Sejarah manusia memperlihatkan bahawa komunikasi manusia pada awalnya dizahirkan melalui pengucapan, pertuturan secara bersemuka menghubungkan pertalian individu dengan masyarakat. Hubungan sesama manusia cenderung untuk berkongsi kesulitan dengan ahli keluarga dan rakan terdekat sahaja. Namun, kehidupan pasca-Covid telah banyak merubah struktur dan norma kehidupan masyarakat secara umum. Jika sebelum ini individu sebagai unit kecil dalam masyarakat menghadapi kesukaran untuk berkongsi hal-hal yang bersifat peribadi kepada umum, kini segala aktiviti dikongsi, dari permulaan kelahiran sehingga kepada kegiatan harian, sehingga ke acara pengebumian, disampaikan secara terbuka. Kehidupan manusia menjadi semakin transparent, nipis dan rapuh.
Baru-baru ini media dihebohkan dengan seorang pempengaruh menularkan video tentang bayaran yang dikenakan oleh restoran makanan segera terhadap sos yang sepatutnya percuma bagi setiap pembelian makanan di restoran rantaian tersebut. Ketika “insiden” itu ditularkan, pelbagai reaksi dan kecaman diberikan oleh warganet terhadap tindakan tersebut, sehingga kejadian sebenar terbongkar dan telah menjadi kes polis.
Hal ini salah satu daripada ribuan kes yang melibatkan pempengaruh dan kandungan yang dicipta bagi mendapatkan pengikut dan like daripada para pengikut. Wujud kecaman, tetapi kandungan ringan dan kontroversi seperti ini nyata lebih mudah menuai sokongan dan menaikkan populariti. Dalam konteks masyarakat pasca-kebenaran yang tidak lagi mementingkan kebenaran sebagai inti pengetahuan, kita lebih cenderung membuat andaian dan pilihan emosional.
Generasi rawak (random generation) mungkin merupakan istilah yang sesuai untuk menggambarkan kelakuan tanpa batas rasional yang sering diambil oleh golongan ini. Semuanya dilakukan untuk meraih populariti segera dan menjana pendapatan. Trend membina nama secara segera sebagai pekerjaan dengan pendapatan yang mudah, cepat, dan lumayan merupakan satu dilema buat generasi rawak ini. Pada masa yang sama, ia turut membina satu blok pemikiran yang pasif terhadap pendidikan sehingga tidak lagi merasakan pendidikan dapat menjamin masa hadapan dan jaminan peluang pekerjaan yang baik.
Bertepatan dengan istilah “generasi rawak,” isi kandungan yang dipaparkan juga turut bersifat rawak dan kadangkala tidak masuk akal, menimbulkan kejelikan namun “diterima” oleh penonton yang berkongsi “citarasa” yang sama. Pengikut bagi lingkungan ini berskala besar dan semakin bertambah dari hari ke hari. Citarasa terlalu abstrak hingga sukar untuk dinyatakan di mana letaknya batas kewarasan. Lebih kritikal, generasi rawak ini turut sama membawa bagasi yang mengandungi “wabak kemandulan kreativiti.” Kebanyakan kandungan yang dipaparkan dan dikongsikan, rata-ratanya bersifat pengulangan, copy paste, tiada ketulenan, dan pudarnya idea kreatif.
Selain bertujuan untuk meraih populariti dan pendapatan segera, apakah motivasi lain yang menjadikan generasi rawak ini sangat ghairah mempertontonkan tindakan tidak rasional mereka kepada warga maya? Kemungkinan yang dapat dianggarkan ialah keperluan kepada perhatian (affection), yang tidak diperolehi dari dalam unit keluarga. Hal ini boleh diperkukuhkan lagi jika pempengaruh tersebut datang dari latar keluarga golongan berpendapatan rendah, ibu bapa yang terlalu sibuk atau, keluarga yang berantakan. Justeru kelompok ini amat memerlukan perhatian dan kesahan atas tindakan yang dilakukan untuk merasakan diri mereka wujud. Pada satu sisi, generasi hari ini lebih mementingkan kewujudannya yang diiktiraf warga maya yang tidak dikenali berbanding mengiktiraf kewujudan diri sendiri tanpa memerlukan pengesahan daripada masyarakat untuk menentukan mood melalui jumlah sokongan atau likes yang diberikan.
Selain itu, tuntutan masyarakat yang meletakkan hal material melebihi segalanya termasuklah ilmu pengetahuan perlu diberikan perhatian. Bagaimana tuntutan kebendaan mengisi kelompangan dalam generasi pada hari ini? Perkongsian di platform media sosial tentang kemewahan dan keseronokan telah menjadi pendorong kepada individu lain untuk mencapai “nilai hidup” yang serupa. Sebahagian besar generasi muda terutamanya remaja di bangku sekolah lebih banyak menonton dan berkongsi “budaya rawak” di aplikasi yang mesra generasi muda seperti Tiktok dan X.
Beggin’ on your knees to be popular
That’s her dream to be popular
Kill anyone to be popular
Sell her soul to be popular
Lirik lagu “Popular” yang dinyanyikan oleh artis pop Amerika The Weeknd, Playboi Carti dan Madonna ini mungkin merupakan realiti pahit yang dipaparkan dalam generasi hari ini. Segalanya tidak lagi mustahil untuk hidup mewah dan dilingkari populariti.
Hayati Ismail merupakan seorang penyelidik, penulis, dan penggemar nasi kandar kuah banjir.