Pada hari ini, gagasan bandar dan ekonomi kreatif menjadi semakin penting di Pulau Pinang, sehingga mendorong ramai penyelidik dan pembuat dasar datang ke negeri ini untuk memahami bagaimana ia diterjemahkan dalam konteks tempatan. Tidak disangsikan lagi bahawa sejarah Pulau Pinang sebagai sebuah bandar pelabuhan berjaya memupuk sebuah masyarakat kosmopolitan yang meraikan kepelbagaian budaya. Warisan ini juga secara tidak langsung memberi kesan besar kepada wajah seni dan budayanya yang dinamik.
Dengan mengesampingkan aspek teori yang selalu dilakukan oleh ramai sarjana, dalam artikel ini saya merakamkan pengalaman peribadi sebagai seorang yang sudah lama menetap di sini. Barangkali, yang akan saya temukan di hujungnya nanti adalah kebenaran, wajah sebenar, dan perasaan menyayat hati tentang kedudukan industri kreatif kita pada hari ini—yang kecil, indah, semula jadi, tetapi memerlukan lebih banyak sokongan jangka panjang.
Di Pulau Pinang, terdapat sebuah tempat kegiatan seni yang dikenali sebagai Hin Bus Depot. Tempat ini sentiasa sesak pada hujung minggu dengan pengunjung. Mereka datang untuk pelbagai tujuan, baik melihat pameran seni, berjalan-jalan di pasar kraftangan, mendengar muzik, atau sekadar melepak bersama rakan-rakan. Saya adalah sebahagian daripada mereka. Setiap kali saya ke sana, ada semacam perasaan cinta dan kasih di tempat kegiatan seni itu. Saya benar-benar merasakan ada keramahan pada diri para seniman, acara-acara, dan juga orang-orang membangunkan sebuah masyarakat di situ.
Pada suatu petang pada pertengahan bulan Mac, saya hadir ke sebuah acara yang diberi nama “Sembang Selasa” bersama seorang rakan. Ia merupakan sebuah sesi perbualan bulanan yang dianjurkan oleh Hin Market, sebahagian daripada Hin Bus Depot. Acara tersebut mengundang para vendor Hin Market yang pernah dan masih berjualan di situ untuk berkongsi pengalaman, lebih-lebih lagi setelah sepuluh tahun ia diwujudkan.
Sesi yang saya hadiri menampilkan Jasmine Toh, pemilik Lunabar. Beliau bercerita tentang bagaimana beliau menjadi seorang vendor dan bagaimana cintanya terhadap kopi mendorong beliau untuk membuka kedai sendiri. Jasmine bersyukur kerana berpeluang menjadi salah seorang vendor di Hin Market. Peluang tersebut mengajarnya cara untuk berhubung dengan para pelanggan dan menanam sifat berani dan fleksibel dalam menangani cabaran seperti cuaca dan kerja fizikal yang berat.
Beliau juga berterima kasih kerana mempunyai pasukan sokongan yang mengharungi pahit dan getir bersama. Ada sekitar 30 orang yang hadir mendengar perbualan tersebut. Ia merupakan malam yang indah dan dipenuhi dengan tawa. Saya menikmati malam itu, merasakan hubungan dan sokongan antara orang yang bercakap dan audiens, dan juga rasa kebersamaan daripada masyarakat seni Hin Market.
Hujung minggu itu juga diisi dengan acara yang dikenali sebagai Open Studio, iaitu sebuah acara yang mempamerkan sebanyak 40 ruang seni, termasuk studio para seniman dan himpunan seni mereka. Bengkel-bengkel diadakan untuk mempamerkan karya para seniman, menawarkan cara yang lebih peribadi untuk berhubung dengan para seniman dan mendengar tentang perjalanan kreatif mereka.
Pada hari Khamis, Ivan Gabriel, kurator di Hin Bus Depot, membawa kami melihat-lihat ruang seni dan pameran seni yang sedang berlangsung di sana. Kita benar-benar dapat merasakan betapa bertenaga dan kreatifnya para seniman ini. Beliau bercerita tentang arwah Azmi Hussin, seorang seniman yang menggunakan seninya untuk menggambarkan kehidupan dan budaya masyarakat di sekitarnya. Azmi sepatutnya menjadi sebahagian daripada acara Open Studio, tetapi sayangnya beliau pergi lebih awal. Untuk mengenang Azmi Hussin, seorang seniman berbakat, iaitu Bibichun menghasilkan beberapa buah karya lukisan, dan mereka meletakkan karya Azmi Hussin di tempat khas sebagai tanda penghormatan. Tindakan itu benar-benar menyentuh hati saya, dan saya sekali lagi merasakan cinta yang tulus daripada Azmi Hussin kepada masyarakat, orang ramai, dan seni. Saya juga melihat wujudnya cinta dalam komuniti seni, antara para seniman dan kurator. Seni benar-benar mempunyai kuasa dan boleh membawa perubahan.
Pada petang Sabtu itu, saya berkunjung ke COEX untuk menghadiri sebuah acara perbualan tentang sejarah Myanmar dan keadaan semasa di negara itu. Ahli-ahli panel berkongsi banyak maklumat, sehingga membuatkan para hadirin jadi sedar bahawa walaupun negara itu berdekatan dengan Malaysia, kita sering tidak memberi perhatian terhadap apa yang sebenarnya berlaku di sana.
Kemudian, pada hari seterusnya saya kembali ke COEX untuk mendengar satu lagi sesi perkongsian oleh Majie. Majie merupakan sebuah istilah yang merujuk kepada wanita Kantonis dari China yang bekerja sebagai pembantu rumah dan sangat setia kepada keluarga yang mereka layani. Ramai Majie datang ke Malaysia. Ceramah ini dianjurkan oleh OWEL (Ordinary Women, Extraordinary Lives), sebuah kumpulan yang memberi tumpuan kepada perkongsian kisah-kisah wanita biasa untuk menghargai sumbangan mereka yang sering tidak disedari. Ceramah itu sangat memberi inspirasi dan menyentuh hati saya, membantu saya memahami kehidupan para Majie dan bagaimana mereka, sebagai wanita, begitu berani dan berdedikasi dalam memilih jalan hidup sendiri.
Sebelum hadir ke sesi perkongsian itu, saya sempat singgah di Ruang Kongsi untuk berteduh daripada panas. Ia juga merupakan masa yang baik untuk bertemu dan berbual dengan rakan-rakan yang menghabiskan hujung minggu mereka menguruskan sebuah perpustakaan komuniti. Saya kagum dengan usaha yang mereka curahkan untuk menjaga ruang tersebut.
Walaupun sedikit letih, hujung minggu itu benar-benar bermakna dan memuaskan. Ia bukan sahaja tentang pengetahuan yang saya peroleh, tetapi lebih kepada perasaan terhubung dengan masyarakat dan mendapat inspirasi serta motivasi. Daripada mereka. Saya melihat orang ramai menyumbang dengan pelbagai cara, daripada seni dan budaya hingga sejarah, politik serantau, untuk menjaga ruang bersama. Saya teringat kata-kata seorang seniman yang saya temui, dan katanya, “Kita berkembang seperti tumbuhan yang boleh merebak secara semula jadi.”
Saya merasakan hal yang sama dan sentiasa terinspirasi dengan kesediaan orang ramai untuk turut serta dalam mencipta sesuatu. Ini berbeza dengan Taipei, bandar tempat saya lahir dan dibesarkan. Di sana, anda mungkin menemukan pelbagai infrastuktur seni yang lebih lengkap, seperti pusat penyelidikan dan pelbagai jenis muzium serta galeri. Namun, kadangkala bandar seperti itu secara tidak sengaja boleh membuat orang berasa terperangkap, seolah-olah sukar bagi para seniman untuk mencari jalan mereka sendiri dalam sistem sedia ada.
Namun, apabila kita melihat Pulau Pinang, kebergantungan terhadap perkara-perkara semula jadi ini akan membawa risiko dan akan melemahkan pembangunan jangka panjang. Jadi, cabaran dan peluang kita hari ini adalah untuk mengimbangi pertumbuhan semula jadi ini dengan dasar-dasar yang menggalakkan pembangunan yang lebih bersifat jangka panjang, sambil tetap mengekalkan persekitaran yang penuh dengan kebebasan, cinta yang tulus, dan sokongan daripada komuniti seni dan kreatif yang terus berkembang secara semula jadi.
Pan Yi Chieh merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Warisan dan Bandar, Penang Institute. Bidang kajian beliau termasuklah budaya dan seni, transformasi bandar, dan masyarakat rentan.