Brain Rot ialah suatu istilah yang semakin popular dalam kalangan pengguna muda media sosial, khususnya mereka yang menghabiskan masa berjam-jam di Tiktok, Twitter, dan Instagram. Ia bukan suatu istilah saintifik, tetapi cukup tepat untuk menggambarkan satu corak penggunaan media—kandungan rawak, tidak masuk akal, dan selalunya berunsur humor gelap yang dikitar semula sehingga kehilangan maksud asalnya.[1]
Fenomena brain rot ini bukan sekadar trend. Malah, ia mencerminkan generasi yang mencari makna dalam dunia yang semakin kabur garis realitinya. Dalam kepesatan teknologi, keserabutan hidup dan tekanan sosial, brain rot muncul sebagai ruang ‘rehat’ yang tidak memerlukan pemikiran mendalam. Sebagai contoh, video seekor kucing yang berputar-putar diiringi muzik janggal atau suntingan audio “tung tung tung sahur” yang digabungkan dengan visual AI yang mengganggu—seperti batang balak yang menyerang orang jika mereka tidak bangun bersahur—adalah antara contoh kandungan pelik yang sering lalu di skrin saya. Semua ini nampak seperti tidak masuk akal, dan mungkin ia memang tidak masuk akal. Namun, kandungan seperti ini menyatukan komuniti dalam satu bentuk hiburan yang mudah dan ‘relatable’ (berkaitan dengan diri). Ya, memandangkan saya tahu semua ini, jelaslah saya juga salah seorang ‘mangsa’ kandungan brain rot.
Tetapi mengapa kandungan brain rot begitu menarik minat ramai? Jawapannya mungkin terletak pada keletihan kolektif. Ramai anak muda hari ini hidup dalam keadaan sentiasa penat—bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga mental dan emosi. Lebih-lebih lagi jika mereka mudah terpengaruh dengan kandungan yang menggalakkan piawaian kecantikan dan kehidupan yang tidak realistik. Dalam situasi ini, kandungan ringan yang tidak masuk akal menjadi sejenis hiburan sementara. Ia memberikan hiburan segera tanpa memerlukan sebarang usaha berfikir. Algoritma media sosial juga cekap mengesan kecenderungan ini, lalu terus menyajikan lebih banyak kandungan yang seiring dengannya. Inilah yang kemudian mencipta suatu kitaran berulang yang sukar untuk kita hentikan.[2] Ibu jari kita seolah-olah berada di mod ‘autopilot’ pada saat ini.
Maka, setelah berjam-jam ketawa dan skrol telefon bimbit, persoalan yang perlu direnungkan ialah “Apa yang tinggal?”
Salah satu kesan yang paling ketara ialah tumpuan individu yang semakin merosot. Apabila otak kita sudah biasa dimanjakan dengan video pendek yang tidak memerlukan perhatian atau pemikiran mendalam, disuruh untuk membaca suatu artikel penuh pun terasa berat. Apa lagi menonton dokumentari atau membaca buku? Mujur, brain rot saya tidak begitu serius. Tetapi ia tetap menjadi suatu isu yang wujud. Hakikatnya, kita menjadi semakin terikat dengan rangsangan yang cepat dan pantas—dan apa-apa kandungan yang perlahan serta mendalam mula terasa membosankan.
Bukan itu sahaja, bahasa komunikasi kita juga semakin berubah. Dalam dunia brain rot, segalanya disampaikan dalam bentuk jenaka, sindiran dan ironi. Ungkapan seperti “tolong” misalnya, bukan lagi digunakan untuk meminta pertolongan sahaja—tetapi diucap ketika seseorang itu ketawa terbahak-bahak sehingga sukar bernafas.
Seorang pempengaruh bernama Joel Cave pernah memuat naik video TikTok yang berbunyi “Salah satu cara paling mudah untuk mengenal pasti sama ada otak seseorang telah ‘dijajah’ oleh media sosial adalah dengan melihat seberapa kerap mereka menggunakan jargon Internet.” Katanya lagi, “Hakikat bahawa Internet boleh menyerap masuk ke dalam otak kita sehingga kita tidak sedar akan apa yang kita katakan—sebaliknya hanya mengulang meme yang sering kita lihat—benar-benar mengejutkan saya.”[3]
Selain itu, empati juga turut terjejas. Kebanyakan kandungan brain rot kini menjadikan apa-apa sahaja sebagai bahan jenaka—termasuk tragedi. Peperangan, bencana alam, dan kesusahan orang lain kadangkala disunting menjadi video dengan muzik lucu atau dimuat naik semata-mata untuk like dan tontonan. Akibatnya, kita mula kehilangan sensitiviti terhadap penderitaan sebenar. Perkara serius yang dulu mengundang tangisan, kini hanya mengundang ketawa atau emoji. Parah betul. Kalau dibiarkan, penderitaan di depan mata pun mungkin tidak lagi dipandang serius, sebaliknya dianggap hiburan semata-mata.
Namun begitu, mengkritik bukan bererti menolak sepenuhnya. Brain rot mungkin membingungkan, tetapi ada sebab kenapa ia begitu popular. Dalam dunia yang makin menyesakkan, adakalanya kita memang memerlukan sesuatu yang ringan, pelik, dan tidak masuk akal untuk sekadar teruskan hari. Ketawa terhadap video-video aneh mungkin bukan antara cara yang terbaik untuk meneruskan hari, tetapi ia masih dapat memberi ruang rehat kepada minda. Sekurang-kurangnya hidup kita tidak terlalu serius, bukan? Kandungan seperti ini juga—secara tidak langsung—dapat membentuk rasa kebersamaan. Di sebalik keanehan itu, wujud sebuah komuniti yang faham dan berkongsi jenis hiburan yang sama.[4][5]
Jadi, apa-apa pun yang kita pilih untuk menjadi sumber hiburan, yang penting ialah kesedaran dan keseimbangan. Tidak salah untuk kita menonton video brain rot yang bervisual pelik, tetapi janganlah kita biar kandungan seperti ini menjadi satu-satunya cara kita merasa kehidupan. Keluarlah dan nikmati kehijauan flora serta kepelbagaian fauna yang turut menyempurnakan keindahan dunia ini. Dalam keselesaan hiburan ringan, jangan sampai kita hilang keupayaan untuk berfikir, merasa, dan berbicara dengan berhemah. Dalam banyak-banyak kandungan yang kita tonton setiap hari, kita wajarlah tahu membezakan antara hiburan ringan dan perkara yang benar-benar bermakna kerana hidup ini lebih luas daripada apa yang dipaparkan di skrin.
Nurul Natasha ialah pelatih praktikal di Penang Monthly yang minat dalam penulisan dan reka bentuk grafik. Beliau suka mengait, menyanyi, dan kadang-kadang hasilkan muzik dengan ukulelenya yang sentiasa di sisi.
Nota kaki
[1] https://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2024/05/12/brain-rot-when-memes-affect-our-intellectual-capabilities [2] https://www.thestar.com.my/tech/tech-news/2024/06/14/if-you-know-what-brainrot-means-you-might-already-have-it [3] Ibid. [4] https://www.bellisario.psu.edu/medialab/research-article/the-role-of-internet-memes-in-creating-a-sense-of-belonging-and-community-i [5] https://www.cmxhub.com/blog/memes-should-be-part-of-your-community-strategy-heres-why