Tahun ini seperti tahun lalu. Kita lemas dan terus bertarung dengan wabak Covid-19. Risiko jangkitan—dengan pelbagai varian baharu seperti Omicron—tetap wujud biarpun vaksin sedikit sebanyak telah berjaya melindungi kita. Pergerakan tetap terbatas biarpun sempadan-sempadan semakin dibuka. Pada hari ini, tidak lengkap jika ingin keluar rumah tanpa pelitup muka dan cecair pembasmi kuman. Kita menyedari bahawa wabak telah merompak kehidupan yang pernah kita kenal.
Namun, setelah sekian lama dalam segala kesempitan, saya akhirnya berkesempatan untuk pulang ke kampung menemui keluarga. Di Ipoh, saya duduk berbual bersama atuk saya. Seperti kebanyakan orang lain, atuk mengeluh tentang rasa bosan dan sesak kerana terkurung di rumah. Tetapi, dalam perbualan kami, atuk ada menyebut, “keadaan hari ini lebih buruk dari zaman Jepun”. Saya tergamam lalu tertawa kecil. Saya fikir atuk hanya berlebih-lebihan. Namun, kata-kata itu akhirnya melekat dalam fikiran saya.
Pengetahuan saya tentang zaman penjajahan Jepun amat terhad. Mungkin kerana itu saya tertawa dengan kata-kata atuk. Segala peristiwa masa lampau—tentang perang, perjuangan, dan pengorbanan—saya pelajari daripada buku-buku teks sejarah di sekolah. Jadi, saya tidak dapat merasai keadaan hidup pada waktu itu. Seperti apa hidup dengan sekadar ubi kayu dan nyawa bagaikan telur di hujung tanduk?
Keluarga atuk tidak pernah terkecuali. Mereka tetap bergelut dengan kelaparan dan ketakutan. Pada waktu kecil, ibunya sering menegur atuk untuk berdiam di rumah jika tidak ingin bertembung dengan askar-askar Jepun. Namun, atuk juga sering mengingkari pesan-pesan ibunya. Dia tetap sahaja bersiar-siar di luar rumah. Akibatnya, atuk bertembung dengan kengerian hasil tangan askar Jepun; mayat-mayat bergelimpangan di tepi jalan dan tergantung di tiang-tiang. Biarpun zaman penjajahan Jepun sudah berlalu sejak berdekad lamanya, kesan-kesan terhadap emosi tetap tidak tertanggal daripada atuk saya.
Berbeza dengan zaman penjajahan Jepun, pada hari ini kita juga berhadapan dengan ancaman. Lebih malang, ancaman ini tidak kasat mata dan kita juga tidak dapat bersembunyi daripadanya. Ancaman tidak dapat diduga walaupun kita bersiap sedia memakai pelitup muka dan mematuhi segala peraturan. Malah, mereka yang tertewas tidak berlumuran darah seperti zaman penjajahan Jepun. Kematian secara perlahan juga adalah amat menyedihkan. Kemudian barulah saya faham apa yang atuk maksudkan.
Biarpun atuk sudahpun melalui zaman gelap penjajahan Jepun, cabaran dan kepayahan yang dilaluinya melampaui zaman. Selepas Jepun pergi, keluarga atuk tetap bergelut dengan kelaparan. Kemiskinan menghalang atuk untuk bersekolah. Kerana itu, sehingga hari ini atuk sentiasa menyelitkan sebatang pen di dalam poket kemejanya jika hendak ke mana-mana. Tujuannya hanya satu: untuk merawat rasa sesalnya kerana tidak mendapat pendidikan yang sempurna sewaktu kecil.
Sekuat mana sekalipun saya cuba membayangkan bagaimana orang-orang generasi atuk mengharungi zaman perang, saya tidak mungkin akan dapat merasai keperitan sebenar yang mereka lalui. Namun, segala pilihan yang pernah kita nikmati hari ini sepertinya sangat langka pada zaman dahulu. Tidak ada pilihan lain yang boleh diambil oleh atuk dan nenek moyang saya selain daripada tetap mengharungi hidup setiap hari dengan tabah.
Kemiskinan sepertinya berantai. Atuk dan keluarganya tidak mampu untuk meletakkan nasi di pinggan apatah lagi memiliki kemewahan masa dan sumber untuk merancang masa hadapan mereka. Bagi mereka, apa yang penting adalah untuk meneruskan kehidupan harian. Kini, biarpun kehidupannya tidak terlalu mewah, dia masih mampu mengukir senyum pada wajah.
Sepertimana generasi sebelum kita, saya rasa kita juga tidak memiliki banyak pilihan selain daripada merangkul hari-hari wabak yang tidak menentu ini dengan gigih. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna kita menafikan cabaran-cabaran hidup pada waktu wabak dan memandang rendah segala kesannya. Sebaliknya, seperti mereka yang melalui hidup zaman perang, kita juga perlu merangkul setiap hari dengan seadanya. Lama-kelamaan, kita akan tahu bahawa tetap ada hari-hari yang lebih indah daripada yang lain.
Jika ada sesuatu yang saya belajar daripada hidup di kala wabak, ianya adalah tentang bagaimana kita perlu menghargai hal-hal yang selama ini kita ambil mudah. Kehidupan bukan sebuah perjalanan mendatar, sebaliknya penuh dengan bukit dan cerunnya. Kini, menghabiskan masa lapang bersama keluarga atau kawan-kawan juga telah menjadi suatu pengalaman yang amat berharga. Apa sahaja yang dipandang remeh sebelum wabak, kini menjadi istimewa. Maka, biarpun perubahan kadang-kala tidak menyenangkan, kita perlu memeluknya dengan tabah.
Sedang kita menanti tahun baru 2022, mungkin kita perlu berterima kasih kepada diri sendiri kerana telah berjaya mengharungi dua tahun wabak yang cukup melemaskan. Malah, kita juga perlu sentiasa menyedari bahawa ketabahan kita ini telah memberi kekuatan kepada orang-orang di sekeliling kita. Kita seharusnya berbisik kepada diri sendiri bahawa kita mempunyai kekuatan untuk mengharungi cabaran-cabaran tahun hadapan.
Sebagaimana atuk saya dan generasi terdahulu yang telah melalui hidup zaman perang dan kini dapat menikmati kehidupan biasa, maka kita juga perlu ingat bahawa zaman wabak Covid-19 juga pasti akan berlalu. Suatu hari nanti kita juga akan dapat menikmati hidup biasa dan mencari kegembiraan dalam hal-hal remeh yang pernah kita lupakan. Kebiasaan inilah yang paling istimewa.
Choong Pui Yee ialah penyelidik kanan di Program Kajian Sejarah dan Serantau, Penang Institute.