SATU PERKARA yang menjadi kegemaran saya ialah mencipta benda. Saya berasal dari Alor Setar dan bercuti hujung minggu di Pulau Pinang adalah sesuatu yang dinantikan kerana dapat menghabiskan sebahagian masa di Kids Club di hotel tempat keluarga menginap. Di situlah saya mula mengasah bakat melalui antaranya aktiviti-aktiviti melukis, art sand, batik printing, paper art dan lain-lain lagi.
Ketika remaja, saya gemar menonton apa sahaja filem yang ditayang pada skrin besar di panggung wayang. Bagi saya pengalaman ini amat bermakna kerana saya dapat melihat filem dari setiap sudut sama ada baik atau sebaliknya. Dalam hati, saya membuat penilaian dan perbandingan sendiri tentang filem-filem yang ditayangkan di pawagam. Bagaimana pembangunan watak dan plot, sinematografi, penyuntingan, pengarahan dan sebagainya? Berfikir secara kritis setelah selesai menonton filem di panggung amat penting untuk mengembangkan karya seni.
Salah satu perkara yang menarik minat saya apabila menonton filem ialah kesan visual; bagaimana watak-watak Superhero Marvel’s yang asalnya dari idea imaginasi Stan Lee, pencipta genius watak-watak ini kemudian dicipta semula dengan menggunakan kesan visual hinggakan “pecah panggung”, menempa nama di Box Office di seluruh dunia.Perasaan ingin tahu kemudian timbul, melayari internet untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang teknik kesan khas visual. Penggunaan skrin hijau saya ketika itu hanya menggunakan kadbod hijau digunakan sebagai latar belakang untuk rakaman untuk membolehkan penambahan imej janaan komputer menggabungkannya. Saya cuba mencipta semula adegan dengan menyusun mainan kegemaran di atas meja sisi katil kecil dan meletakkan kadbod hijau di belakangnya untuk membuat animasi stop-motion. Saya merakam setiap pergerakan kecil yang saya buat dengan objek mainan dan mengulangi langkah tersebut untuk mencipta urutan imej bergerak, dan kemudian saya tambahkan dengan software seperti Adobe After Effects untuk menjadikan objek kelihatan seolah-olah bergerak sendiri. Hasil kerja sebegitu memberi kepuasan kepada saya yang menjurus kepada aktiviti membuat pelbagai video stop-motion Transformers dan memuat naiknya ke YouTube.
Apabila seorang kaunselor pendidikan dari The One Academy di Pulau Pinang melawat ke sekolah saya, saya bertanya tentang kursus akademi dan syarat kemasukan, biasiswa, perumahan, yuran pengajian dan pilihan pekerjaan yang wujud dalam industri kreatif seni digital. Terdapat banyak kursus seni yang boleh dipilih dan nasihat kaunselor amatlah berharga buat diri saya.
Saya terus mendaftar dalam kursus animasi digital pada Mei 2014. Di sana, saya diajar tentang teknik kesan khas visual (VFX) dan didedahkan kepada pelbagai jenis tugasan untuk dikerjakan, baik secara individu mahupun berkumpulan. Projek akhir saya di penghujung kursus ialah menyiapkan projek animasi. Bersekang mata hingga lewat malam bersama rakan sepasukan dan kadangkala bermalam di kolej menjadi amalan biasa kerana terpaksa menyiapkan projek, mengejar tarikh penghantaran akhir. Semua ini ternyata menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan memberi banyak menfaat buat diri saya!
Saya menamatkan kursus yang memakan masa selama tiga tahun pada April 2017 dan telah dianugerahkan Diploma Profesional dalam Animasi Digital. Sewaktu di kolej, saya beruntung kerana berpeluang menimba pengalaman sebagai pengendali kamera untuk acara pameran dalaman yang diadakan di kolej, bertajuk “EDEN”. Saya belajar pelbagai teknik, antaranya teknik pencahayaan, teknik pengambilan video terbaik, yang mana saya dapat mempertajamkan lagi kemahiran praktikal “di belakang kanta”.
Saya juga turut menyertai pertandingan Animasi Digital, di mana saya memenangi Anugerah Gangsa dan dinobatkan sebagai 10 Artis Muda Teratas pada tahun 2016. Selepas tamat pengajian pada September 2017, saya telah ditawarkan pekerjaan sebagai Kompositor Kesan Visual dalaman di Mirage Works, yang berpangkalan di Puchong, Selangor.
Kehidupan sebagai Penggubah Teknik Kesan Khas Visual (VFX)
Sebagai Kompositor VFX, kerja saya melibatkan teknik kesan khas visual, animasi dan pembersihan visual untuk filem cereka dan iklan. Apa yang saya suka tentang pekerjaan saya ialah saya bekerja dalam pelbagai projek, daripada iklan hingga filem blockbuster, bersama tokoh industri perfileman dari Malaysia, Singapura, China dan Hong Kong. Salah satu projek pertama saya dengan Mirage Works ialah menggarap filem tempatan yang dipanggil A House of Happiness (Rumah Kegembiraan) yang ditayangkan di 2,000 pawagam di seluruh China.
Teknik kesan khas visual boleh digunakan dalam pelbagai cara. Ia memberi manfaat kepada semua jenis perkhidmatan pengeluaran video daripada video bergaya, video aksi langsung dan projek CG (janaan komputer) yang dihasilkan secara realistik. Hampir setiap filem, tidak kira genre, mempunyai sedikit unsur VFX. Sebagai contoh, terdapat adegan di mana pelakon, Louisa Chong, terpaksa memakai cermin mata besar dan kuno untuk mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada awal 60-an. Dalam adegan itu, pengarah tidak berpuas hati dengan pantulan krew kamera dalam cermin mata hitamnya, jadi tugas saya ialah mengeluarkan pantulan itu supaya mereka kelihatan berkilat dan bersih.
Ia mungkin nampak mudah, tetapi ia adalah tugas yang rumit. Saya sangat gembira apabila filem itu ditayangkan, lengkap dengan acara karpet merah yang diadakan di Paradigm Mall yang dihadiri oleh barisan pelakon dan kru produksi A House of Happiness. Ia adalah peluang sekali dalam seumur hidup untuk melihat nama saya di skrin besar bersama pasukan Mirage Works.
3D – Generalist
Selepas setahun di Mirage Works, saya dinaikkan pangkat ke VFX Compositor dan 3D-generalist. Tanggungjawab utama saya ialah mereka-bentuk visual foto-realistik dan berunsur VFX yang lebih kompleks. Tugas 3D-generalist melibatkan visualisasi seni bina, pemodelan 3D, animasi dan banyak lagi. Saya terpaksa mempelajari aspek kreatif kesan khas visual mirip kepada apa yang ada di dalam industri komersial, sambil memenuhi tarikh akhir dan menghasilkan produk yang berkualiti tinggi. Apa yang penting ialah bagaimana seseorang itu dapat mengkhususkan diri dalam sesuatu bidang dan bukannya cuba untuk menjadi ‘pakar’ dalam semua bidang yang mana akhirnya tidak berupaya menguasai mana-mana bidang pun.
Saya juga dijemput oleh The One Academy untuk berkongsi pengalaman kerja dan kehidupan sebagai pelajar ketika di kolej sebagai penceramah jemputan untuk “Perkongsian pengalaman Alumni dan bengkel”. Saya telah dianugerahkan Sijil Penghargaan oleh Pengarah Urusan sebagai pengiktirafan atas sumbangan saya.
Sehingga kini, beberapa projek yang pernah saya terlibat ialah Zombitopia, iaitu filem tempatan yang dikeluarkan pada tahun 2021, dan iklan untuk McDonald’s (Singapura), Standard Chartered Bank, Nissin Foods dan Hitachi. Iklan ini berupa video pendek berdurasi 15 hingga 60 saat yang mempromosikan produk atau perkhidmatan.
Projek komersial atau pengiklanan, dan filem memerlukan daya kreativiti yang tinggi untuk melaksanakan pelbagai gaya seni; di sinilah kita boleh meneroka keunikan seni, kerana setiap syarikat mempunyai kekuatan kreatifnya yang tersendiri. Memenuhi tuntutan pelanggan tidak mudah kerana mereka kadang-kadang memberi idea yang samar-samar, maka di sini perlunya pemikiran kritis, daya kreativiti, dan inovasi dalam merekacipta agar pelanggan berpuas hati dengan nilai hasil kerja dan perkhidmatan yang diberikan.
Pereka Multimedia
Cabaran baru muncul apabila saya menjadi pereka multimedia dengan Skymind Holdings Berhad, pembina ekosistem Kecerdasan Buatan (AI) pertama Pulau Pinang yang membangunkan aplikasi AInya. Syarikat itu mempunyai banyak jabatan yang memerlukan pencipta video menghasilkan iklan pendek untuk produk mereka – kit ujian Covid-19 dan tapak web AI untuk jurutera perisian.
Apa yang menarik ialah kami kerap mengadakan mesyuarat mingguan dengan staf-staf dari pelbagai jabatan untuk menjana idea untuk pemasaran produk melalui strategi penggunaan teknik videografi bersama pasukan. Di situlah saya berpeluang berkolaborasi dengan staf-staf dari pelbagai bidang dari jabatan-jabatan lain seperti jabatan kejuruteraan perisian dan teknologi maklumat, undang-undang dan pemasaran, antara lain.
Juruvideo dan Pencipta Video
Ketika bertugas di Skymind, seorang pekerja dari agensi pencarian kerja menghubungi saya melalui LinkedIn dan bertanya sama ada saya berminat untuk bekerja sebagai juruvideo dan pencipta kandungan. Saya menerima tawaran itu kerana minat dan permintaan yang tinggi untuk juruvideo –satu kemahiran yang berharga buat diri saya. Sama seperti penggubah teknik kesan khas visual (VFX), 3D-generalist dan pereka multimedia, juruvideo, juga, mempunyai banyak pilihan apabila ia melibatkan pengkhususan – daripada penggambaran, pengarahan, pra-produksi, penulisan skrip dan pasca-produksi hinggalah ke menurunkan set; penyuntingan video.
Pada hemat saya, trend pekerjaan berubah dengan cepat akibat teknologi digital dan automasi. Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) penting untuk kita menceburi bidang pekerjaan yang baru mengikut minat kerana kita akan jadi lebih fokus dan bersemangat untuk terus berusaha meneroka sejauh mungkin dalam hidup kerana yakin peluang yang besar sedang menanti.
Tips untuk Peminat Animasi
Jika anda berminat untuk meneroka 3D, terdapat banyak perisian (software) hebat seperti Blender, yang boleh dimuatturun dengan percuma! Jika anda ingin cuba menceburi bidang pembuatan filem, latih diri anda merakam video dan mengambil foto dengan menggunakan telefon pintar anda; anda juga boleh mengedit dengan perisian profesional, seperti Davinci Resolve, yang mempunyai versi percuma.
Terjemahan daripada artikel ditulis oleh Izzat Danial Nasruddin Nimal. (2023) What’s it like to be a VFX artist, 3D-generalist, multimedia designer, videographer and video creator?
Penang Monthly, Januari issue, 6-7.
Izzat Danial kini bertugas sebagai videographer and video creator di IQI Juwai, Kuala Lumpur iaitu kumpulan teknologi hartanah antarabangsa yang menguasai transaksi dan pemilikan hartanah di peringkat tempatan dan global.