Rumusan Eksekutif
- Daripada kajian terhadap undang-undang hudud di Brunei, Aceh, Kelantan dan Terengganu, hukuman hudud seperti yang difahami ramai tidak dapat disimpulkan sebagai perintah Allah sepenuhnya ataupun seperti pelaksanaannya pada zaman Nabi kerana operasionalisasinya memerlukan ijtihad atau akal manusia.
- Penggunaan ijtihad yang diwarnai oleh perbezaan mazhab dan para fuqaha (ahli-ahli fiqh), kesesuaian konteks setempat (‘urf), dan konteks perundangan sedia ada menghasilkan variasi dalam peruntukan undang-undang untuk kesalahan sariqah (mencuri) dan hirabah (merompak) sungguhpun keempat-empat jurisdiksi ini bermazhabkan Shafie dan berbudayakan Nusantara.
- Pokoknya, hukuman hudud untuk kesalahan sariqah dan hirabah hanya terdapat dalam peruntukkan Undang-Undang Jenayah Syariah di Brunei, Kelantan, dan Terengganu tetapi tidak di Aceh. Pada masa yang sama, pemerintah dikecualikan daripada hukuman hudud di Brunei, Kelantan dan Terengganu.
- Nilai 1 Diyat sebagai ganti rugi kepada mangsa jenayah hirabah atas kecederaan anggota tunggal (contoh hidung) juga berbeza iaitu B$340,000 (RM 1,014,733) di Brunei, 4450 gram emas (RM 703,434) di Kelantan, dan 100 ekor unta (RM 590,000) di Terengganu.
- Tokoh-tokoh seperti Dr Jaser Auda dan Sheikh Yusuf Qardawi turut menggariskan syarat penting untuk pelaksanaan hukuman hudud seperti tiadanya keraguan (Syubhah) dan wujudnya jaminan-jaminan untuk keadilan, keamanan sosial, keamanan ekonomi dan layanan persamaan dalam undang-undang.
1. Pendahuluan
Dalam pemahaman umum Muslim, hukuman-hukuman hudud adalah hukuman Allah yang tidak boleh ditokok tambah dan tidak boleh dipinda oleh manusia. Atas andaian ini, kesalahan dan hukuman hudud seharusnya sekata bagi empat jurisdiksi yang berpandukan mazhab Shafie dan naratif yang berbudayakan Melayu Nusantara di Negara Brunei, Wilayah Aceh di Indonesia, serta negeri-negeri Kelantan dan Terengganu di Malaysia.
Kajian ini akan membandingkan peruntukan bagi kesalahan Sariqah (mencuri) dan Hirabah (merompak) dan hukuman hudud bagi keempat-empat jurisdiksi ini dengan meneliti undang-undang yang berkaitan. (Jadual 1)
Jadual 1: Rangkuman Perlaksanaan Hukuman Hudud di Brunei, Aceh, Kelantan, dan Terengganu
Perbezaan paling jelas di antara keempat-empat jurisdiksi ini ialah hukuman hudud bagi kesalahan Sariqah dan Hirabah hanya diperuntukkan di Brunei, Kelantan dan Terengganu sahaja tetapi tidak di Aceh. Dari segi pemakaiannya, undang-undang syariah turut dikenakan ke atas orang bukan Muslim di Brunei (untuk kesalahan melibatkan ruang awam dan nyawa orang lain seperti Sariqah dan Hirabah, rogol dan liwat) dan Aceh (sebagai pilihan sukarela kepada orang bukan Muslim yang melakukan kesalahan jenayah syariah bersama-sama dengan orang Islam; dan juga apabila sesuatu kesalahan jenayah syariah yang dilanggar itu tidak dikawal di bawah undang-undang sivil/pidana) tetapi tidak dikenakan di Kelantan dan Terengganu.
Akan tetapi, tidak semua Muslim yang dewasa tertakluk kepada undang-undang ini. Di Brunei, sultannya secara tersurat dikecualikan dengan asas di dalam undang-undang “tidak pandai berbuat salah” manakala Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu dikecualikan di Kelantan dan Terengganu kerana raja-raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong hanya boleh dibicarakan di mahkamah khas seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 182(2) Perlembagaan Malaysia. Secara perbandingan, di Aceh pelaksanaan hukuman hudud di Aceh dijalankan secara menyeluruh dalam konteks kelas sosial dan kekecualian hanya terpakai bagi orang yang tidak waras.
Sebahagian daripada amalan yang berbeza ini memiliki asas al-Quran dan as-Sunnah tetapi selebihnya mungkin berasaskan ijtihad atau akal manusia, sama ada yang bertaraf ijmak (kesepakatan ulamak) atau tidak. Surah al-Ahzab Ayat 36 menetapkan bahawa umat Islam sebagai orang yang beriman mesti mengikuti keputusan Allah dan Rasul-nya. Tidak ada asas al-Quran atau as-Sunnah yang menyokong pelaksanaan hukuman syariah ke atas golongan bukan Muslim seperti di Aceh dan Brunei. Hadis Shahih Muslim No. 3196 pula menekankan bahawa tidak ada Muslim yang boleh dikecualikan daripada menerima hukuman hudud jika mencuri oleh kerana kedudukan sosialnya, sekalipun Fatimah putri Rasulullah S.A.W. Tiada asas al-Quran atau as-Sunnah yang dapat menyokong pengecualian perintah hukuman hudud seperti di Aceh, Kelantan dan Terengganu. (Jadual 2)
Jadual 2: Sumber Asas al-Quran, as-Sunnah terhadap rangkuman pelaksanaan hukuman hudud
2. Sumber-sumber Hukuman Hudud bagi Kesalahan Sariqah dan Hirabah
Hukuman memotong tangan untuk kesalahan Sariqah memiliki asas dalam Surah al-Maidah (ayat 38-39) dan Hadis Riwayat Imam Bukhari (Vol. 8 Hadis 780) dengan mensyaratkan nilai ambang (threshold) satu dinar bagi nilai benda yang dicuri (Jadual 3). Hukuman bunuh dan memotong tangan dan kaki untuk kesalahan Hirabah pula diperuntukkan dalam Surah al-Maidah (ayat 33) dan Hadis Riwayat Imam al-Bukhari (226) (Jadual 4).
Kesalahan Sariqah dan Hirabah sememangnya termaktub dalam undang-undang hudud di Negara Brunei, Negeri Kelantan, dan Negeri Terengganu sahaja, tetapi dikecualikan dalam undang-undang hudud di Wilayah Aceh. Secara amnya hukuman hudud di Aceh hanya melibatkan hukuman penjara, denda, dan sebatan. Hukuman hudud yang melibatkan kecederaan fizikal yang serius seperti hukuman potong tangan atau rejam tidak diperuntukkan oleh undang-undang sedia ada di Wilayah Aceh. Hal ini mungkin kerana peruntukan yang terbatas bagi Hak Asasi Manusia dalam Perjanjian Helsinki, satu bentuk ijtihad yang akhirnya membawa kepada pendamaian di Aceh.[10]
Jadual 3: Sumber Quran untuk kesalahan Sariqah
Jadual 4: Sumber Quran untuk kesalahan Hirabah
3. Kajian bagi Empat Jurisdiksi
3.1 Definisi Sariqah dan Hirabah
Sariqah bermaksud mencuri dan Hirabah bermaksud merompak. Berdasarkan definisi ketiga-tiga jurisdiksi ini, Sariqah ditakrifkan sebagai seseorang individu yang memindah atau mengambil harta orang lain dengan cara sembunyi tanpa persetujuan tuan barang tersebut. Manakala definisi untuk Hirabah ialah merampas harta orang lain sama ada menggunakan kekerasan atau ugutan secara individu atau berkumpulan.
3.2 Kadar Nilai Nisab sebagai Ambang Hukuman Sariqah dan Hirabah
Meskipun ia berasal dari sumber asas al-Quran dan as-Sunnah, namun jika diteliti secara terperinci terdapat perbezaan dari segi penetapan kadar had nisab harta yang dicuri atau dirompak untuk membolehkan perlaksanaan hukuman hudud. Berdasarkan harga emas semasa, hukuman hudud boleh dikenakan untuk pencuri dan perompak jika harta benda yang terlibat melebihi RM 671.82 di Brunei atau RM 703.43 di Kelantan dan Terengganu.[11] Ini bermakna kebolehgunaan hukuman hudud ke atas kesalahan mencuri dan merompak tertakluk kepada harga emas pada hari kejadian jenayah. (Jadual 5)
Jadual 5: Kadar nisab bagi syarat harta pencurian Sariqah dan Hirabah
3.3 Asas-asas Pengecualian Hukuman Hudud bagi Kesalahan Sariqah dan Hirabah
Selain memenuhi nilai minimum bagi harta benda yang dicuri atau dirompak, pengenaan hukuman hudud juga tersekat oleh asas-asas pengecualian yang disenaraikan dalam undang-undang. Ini bermakna pesalah yang disabit hanya boleh dikenakan hukuman takzir (budi bicara). Sekali lagi, senarai ini sedikit berbeza mengikut jurisdiksi. Misalnya, pesalah di Kelantan akan terlepas daripada hukuman hudud jika harta benda yang dicuri adalah milikan baitumal (Jadual 6).
Jadual 6: Pengecualian bagi kesalahan Sariqah
Ketiga-tiga jurisdiksi ini juga menyenaraikan asas-asas pengecualian untuk pelaksanaan hukuman hudud untuk kesalahan Hirabah. Terengganu memperuntukkan sebanyak tiga asas pengecualian berbanding dengan tiga di Kelantan dan satu di Brunei. Selain itu, untuk Kelantan, asas-asas pengecualian untuk kesalahan Hirabah boleh juga digunapakai apabila sesuai (Jadual 7).
Jadual 7: Asas-asas pengecualian untuk kesalahan Hirabah
3.4 Hukuman Hudud untuk Sariqah dan Hirabah
Pada asasnya, hukuman hudud untuk kesalahan Sariqah seperti dinyatakan di dalam Quran adalah potong tangan dan kaki. Ketiga-tiga jurisdiksi ini memperuntukkan hukuman yang sama untuk kesalahan kali pertama dan kedua (hanya dengan lebih perincian untuk Brunei), tetapi berbeza sedikit untuk tempoh penjara bagi kesalahan seterusnya (Jadual 8).
Jadual 8: Hukuman bagi kesalahan Sariqah
Hukuman hudud untuk kesalahan Hirabah itu lebih menampakkan perbezaan merentasi jurisdiksi. Yang paling ketara, pesalah yang membunuh dan mengambil harta akan dihukum bunuh sahaja tetapi pesalah yang sama akan disalib mayatnya selepas dihukum bunuh di Kelantan dan Terengganu. Bagi pesalah yang “merampas harta sampai nilai nisab tanpa kecederaan”, undang-undang Kelantan dan Terengganu mengenakan Diyat atau Irsy selain hukuman potong tangan dan kaki (Jadual 9).
Jadual 9: Hukuman bagi kesalahan Hirabah
3.5 Nilai Diyat (Jadual dengan huraian ringkas termasuk anggaran nilai semasa)
Diyat bermaksud sejumlah harta yang dituntut oleh waris mangsa sama ada dibunuh dengan tidak sengaja dan sengaja (jika wali mangsa memaafkan perbuatan pesalah tersebut) atau dicederakan secara sengaja dan tidak sengaja. Ini berasaskan Surah an-Nisa ayat 92[12] dengan butirannya dalam Hadis Sahih Sunan Abu Dawud.[13]
Sungguhpun sumbernya sama, ketiga-tiga jurisdiksi menetapkan nilai 1 Diyat dengan nilai semasa yang amat berbeza: 100 Dinar (4250 gram emas) atau B$340,000 di Brunei, 4450 gram emas di Kelantan dan 100 ekor unta di Terengganu (Jadual 10). Mengikut kadar pertukaran Dolar Brunei, harga semasa untuk emas[14] dan unta (2010)[15] di Malaysia, 1 Diyat samalah nilainya dengan RM1,014,733 di Brunei, RM703,434 di Kelantan dan RM590,000 di Terengganu.
Jadual 10: Kadar Diyat mengikut nilai semasa
3.6 Jumlah Diyat untuk Hirabah
Jumlah Diyat yang ditetapkan sebagai ganti rugi untuk jenis kecederaan yang berlainan juga berbeza mengikut jurisdiksi. “Mencabut kesemua rambut di kepala, janggut, misai, bulu kening, bulu mata dan di mana-mana sahaja badan” tidak tersenarai di bawah undang-undang Brunei tetapi menjadi suatu kesalahan yang sangat serius di Kelantan dan Terengganu sehingga jumlah Diyat yang perlu dibayar itu adalah dua kali ganda jumlah Diyat untuk kehilangan sebelah tangan (contoh anggota berpasangan) dan sama banyak dengan kehilangan hidung (contoh anggota tunggal) (Jadual 11). Hukuman Diyat dan had penjara adalah sama untuk kecederaan-kecederaan lain bagi ketiga-tiga jurisdiksi ini. (Jadual 12)
Jadual 11: Jumlah Diyat untuk Kecederaan Anggota Badan dalam Kesalahan Hirabah
Jadual 12: Jenis kecederaan selain kepala atau muka dan jumlah Diyat bagi kesalahan Hirabah
3 Rumusan
Berdasarkan kajian terhadap undang-undang di Brunei, Aceh, Kelantan dan Terengganu, hukuman hudud seperti yang difahami sekarang tidak dapat disimpulkan sebagai perintah Allah sepenuhnya ataupun seperti pelaksanaannya pada zaman Nabi kerana operasionalisasinya memerlukan ijtihad. Perbezaannya termasuklah dari segi mazhab dan ijtihad para fuqaha (ahli-ahli fiqh), kesesuaian konteks setempat (‘urf), dan konteks perundangan sedia ada.
Hakikat bahawa perlaksanaan hukuman hudud di Aceh yang hanya melibatkan hukuman sebat, hukuman penjara, dan denda menunjukkan bahawa wujudnya sikap pragmatisme pendukung-pendukung hukuman hudud dalam menggunakan ijtihad dan mempertimbangkan kesesuaian konteks tempatan dalam melaksanakan hudud.
Jika pragmatisme ini boleh diterima dari segi perinciannya, adakah ia tidak boleh diterima dalam perkara asas iaitu sama ada perlaksanaan Hudud ini boleh ditangguhkan jika tidak menepati objektif syariah tersebut?
Pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Khatab, pelaksanaan hudud digugurkan untuk tempoh tertentu dan ia berlaku di wilayah yang terlibat dengan bencana kemarau dan kebuluran. “Tindakan Khalifah Umar r.a ketika tahun berlakunya kemarau, beliau menggugurkan hudud pada tahun itu hanyalah kerana keraguan yang menolak pelaksanaannya iaitu keperluan (orang-orang yang lapar). Bukanlah sebagaimana yang disangkakan oleh sebahagian orang bahawa beliau
telah membatalkan hukum hudud demi maslahah atau pendapat peribadi yang difikirkannya (al-Syeikh Ahmad al-Gharib, Falsafah al-Hudud baina Jamal al-Tasyri’ wa `Adalah al-Tathbiq, hal.69)”[17]
Dr. Jasser Auda seorang tokoh dalam bidang syariah dan maqasid syariah menggariskan dua aspek untuk dipertimbangkan. Pertama dari aspek keimanan iaitu sebagai muslim yang beriman kepada Allah, seseorang itu tidak boleh mengingkari kewajipan hudud. Aspek kedua adalah dari segi perlaksanaannya iaitu jika ia menimbulkan banyak keraguan (Syubhah) maka hukuman hudud itu tergugur. Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang pada asalnya lemah tetapi diperkuat dengan hadis lain dari segi makna mafhumnya: “Hudud gugur dengan sebab wujud Syubhah”. Menurut pandangan Dr. Jasser Auda, antara Syubhah (keraguan) yang boleh berlaku adalah seperti sistem kehakiman yang diragui, kerosakan akhlak, banyak penipuan, dan kemerosotan ekonomi.[18]
Pandangan bahawa penangguhan hudud atas faktor keadaan realiti turut disokong oleh Dr. Yusof Al-Qardhawi yang mengatakan bahawa hukuman hudud boleh dilaksanakan jika wujudnya jaminan-jaminan mewujudkan keadilan, perlaksanaan keadilan, keamanan sosial, keamanan ekonomi dan layanan persamaan dalam undang-undang. Selain itu, ujar beliau lagi hudud tidak akan dilaksanakan melainkan orang ramai jelas pandangannya tentang keseluruhan ajaran Islam dalam akidah, syariah, akhlak, adab, dan lain-lain dalam erti kata menegakkan masyarakat Islam yang sebenar.[19]
[1] Penulis juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada saudara Marwan Bukhari (Institut Maqasid Shariah Malaysia) dan Ustaz Wan Ji (Sekolah Pemikiran As Syatibi) atas perkongsian ilmu atas topik ini. Segala pandangan dan penulisan adalah tanggungjawab penulis.
[2] Bahagian II, Kecualian Am, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013, Perintah dibuat dibawah Perkara 83(3), Perlembagaan Negara Brunei Darussalam. Juga lihat petikan daripada syarahan Tun Abdul Hamid yang bertajuk: Implementation of Hudud in Brunei: Differences Between brunei and Malaysia”, Disusun oleh IAIS (International Institute of Advanced Islamic Studies) yang berbunyi, “Generally, the Order is applicable to both Muslims and non-Muslims. For example, offences of theft, robbery, rape and sodomy…”, URL: http://www.iais.org.my/e/attach/11FEB2014_Hudud/IMPLEMENTATION%20OF%20HUDUD%20IN%20BRUNEI%20DIFFERENCES%20BETWEEN%20BRUNEI%20AND%20MALAYSIA%20IAIS%2011%2002%202014.pdf
[3] “Perkara 84B (1): Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan tidak pandai berbuat salah sama ada atas sifat peribadi atau rasmi Baginda. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan tidak boleh dibicarakan di dalam mana-mana mahkamah berkaitan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan oleh Baginda dalam masa atau selepas pemerintahan Baginda sama ada atas sifat peribadi atau rasmi Baginda.”
[4] Straits Times, (2015), “Brunei yet to implement harsher syariah penalties”, Strait Times, July 13, 2016. URL: https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/brunei-yet-to-implement-harsher-syariah-penalties.
[5] Qanun Aceh No. 6 (2014) Tentang Hukum Jinayat – Pasal 5 Qanun ini berlaku untuk: (a) Setiap Orang beragama Islam yang melakukan Jarimah di Aceh (b) Setiap Orang beragama bukan Islam yang melakukan Jarimah di Aceh bersama-sama dengan orang Islam dan memilih serta menundukkan diri secara sukarela pada Hukum Jinayat; (c) Setiap Orang beragama bukan Islam yang melakukan perbuatan Jarimah di Aceh yang tidak diatur dalam Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) atau ketentuan pidana di luar KUHP, tetapi diatur dalam Qanun ini; (d) Badan Usaha yang menjalankan kegiatan usaha di Aceh.
[6] Ini termaktub di seksyen 2 dan seksyen 6 dalam enakmen berkenaan di negeriKelantan dan Terengganu.
[7] “Apa-apa prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri atas sifat peribadinya hendaklah dibawa di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Fasal (1).”
[8] “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan-apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”
[9] “Sabda Rasulullah: Wahai manusia! Sesungguhnya yang membinasakan umat-umat sebelum kamu ialah, manakala seorang yang terhormat di antara mereka mencuri, maka mereka membiarkannya. Namun bila seorang yang lemah di antara mereka mencuri, maka mereka akan melaksanakan hukum hudud atas dirinya. Demi Allah, sekiranya Fatimah putri Muhammad mencuri, niscaya akan aku potong tangannya.”
[10] Memorandum of Understanding Between the Government of the Republic of Indonesia and The Free Aceh Movement in Chapter 1.4.2 The legislature of Aceh will redraft the legal code for Aceh on the basis of the universal principles of human rights as provided for in the United Nations International Covenants on Civil and Political Rights and on Economic, Social, and Cultural Rights.
[11] Mengikut sebut harga di https://www.hargaemas.com.my/ pada 7hb Ogos 2018, harga menjual 1 gram emas ialah RM 160.34 manakala harga membeli 1 gram ialah RM 155.81, yakni harga purata untuk 1 gram emas yang digunapakai ialah RM 158.08.
[12] “Dan tidak layak bagi seorang mukmin membunuh seorang mukmin (yang lain), kecuali karena tersalah (tidak sengaja), dan barangsiapa membunuh seorang mukmin karena tersalah (hendaklah) ia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh itu), kecuali jika mereka (keluarga terbunuh) bersedekah. Jika ia (si terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendaklah si pembunuh) membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang beriman. Barangsiapa yang tidak memperolehnya, maka hendaklah ia (si pembunuh) berpuasa dua bulan berturut-turut untuk penerimaan taubat dari pada Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
[13] Buku 34, Perkara 1661, no. 4527: “Barangsiapa membunuh seorang mukmin, maka perkaranya diserahkan kepada wali korban. Apabila mereka menghendaki, mereka boleh membunuh dan apabila mereka tidak menghendaki, mereka boleh mengambil Diyat. Yaitu berupa 30 ekor hiqqah (unta betina berumur tiga tahun masuk empat tahun), 30 ekor jadza’ah (unta betina berumur empat tahun masuk lima tahun) dan 40 ekor khalifah (unta betina yang sedang bunting). Apa yang baik bagi mereka, maka mereka boleh mengambilnya. Yang demikian untuk memberatkan tebusan.”
[14] Ibid, 10.
[15] Harga pasaran seekor unta pada 19hb Oktober 2010 ialah RM 5,900 berdasarkan sebut harga di laman Ibadah Korban: http://www.majalah.com/?classified.unta-untuk-ibadah-qurban.67XS210W2P. Sebut harga yang lebih terkini tidak dapat dicari.
[16] Seperti termaktub dalam Perintah Kanun Hukum Jenayah Syariah Brunei Darussalam di Bahagian IV, kesalahan-kesalahan, Penggal II, Qatl dan Kecederaan dalam Bab 120 Kadar Diyat yang tertulis: “Misalan Jika Harga pasaran bagi 1 gram emas ialah $80, maka kadar bagi Diyat penuh dalam mata wang Brunei Darussalam adalah $340,000.” Mengikut kadar pertukaran $1 kepada RM 2.98451 pada 8hb Ogos, 2018 seperti di https://www.xe.com/currencyconverter/convert/?Amount=1&From=BND&To=MYR, ini bersamaan dengan RM 1,014,733.40
[17] Pandangan ini diambil dari laman web akademi tarbiyah Dewan Pemuda PAS 2011-2018: http://www.tarbawi.my/2016/12/benarkah-khalifah-umar-tangguhkan-hudud.html
[18] Pendapat Dr. Jasser Auda; dalam temubual Majalah Al-Ustaz Isu no. 54
[19] https://www.youtube.com/watch?v=rzJiegGJuts
Pengurus Penyunting: Ooi Kee Beng, Kumpulan Penyunting: Mohd. Izzuddin Ramli, Wong Chin Huat, Nur Fitriah
You might also like:
Eradicating Child Marriages in Southeast Asia: Protecting Children, Challenging Cultural Exceptional...
Economic Success Requires Foresighted Demographic Measures
What Widens the Gender Pay Gap?
Performance Sustained during Covid-19 Highlights Strong Fundamentals in Penang’s Trade in Goods
Making Food Hawking in Penang Sustainable