Zainal Abidin Ahmad (1895-1973) atau Za’ba merupakan seorang cendekiawan dan sasterawan Melayu berketurunan Minangkabau. Tidak terkira dek jari sumbangan yang diberikan beliau. Namun, kita hanya mengenali beliau sebagai cendekiawan yang memberi sumbangan dalam kerja menyusun dan menyeragamkan bahasa Melayu moden yang kita gunakan hari ini. Pada tahun 1940-an, beliau menulis tiga buah buku bersiri dengan judul Pelita Bahasa Melayu, yang membahaskan usaha pemodenan struktur bahasa Melayu klasik. Selain menjadi mengamat bahasa, Za’ba juga terkenal sebagai orang yang banyak terlibat dalam kerja-kerja mengangkat masalah sosio-ekonomi, politik, dan budaya masyarakat Melayu.
Namun, wajah Za’ba sebagai seorang penggiat politik, patriot, dan nasionalis seakan-akan sedikit janggal dengan suaranya sebagai seorang intelektual yang lantang mengkritik masyarakat Melayu. Bagi Za’ba, saat kaum lain sedang bergerak ke hadapan, orang Melayu masih mundur dan terkebelakang. Beliau percaya bahawa masyarakat Melayu “tidak pandai berpolitik, koceknya tidak penuh, dan budayanya juga belum teguh.” Za’ba turut menempelkan masyarakat Melayu dengan tuduhan-tuduhan seperti tidak berdikari, tidak memiliki rasa tanggungjawab, tidak menepati masa, tidak berindustri, dan sebagainya (Ahmad, 1923).
Sekilas pandang, memang ada ironinya. Tokoh Melayu tersebut menghabiskan hidupnya untuk belajar, mengajar, dan mengkaji bahasa Melayu, di samping berusaha untuk menambah baik keadaan hidup masyarakatnya. Pada masa yang sama, beliau menyerang dan menjadi pengkritik paling keras masyarakatnya sendiri. Namun, pertembungan dua sifat ini tidak sulit untuk difahami. William Roff menegaskan bahawa segala ungkapan penghinaan dan diagnosis negatif yang dilemparkan oleh penulis seperti Za’ba itu adalah lazim dan bertindak sebagai:
“the prelude to exhortation and appeal to the Malays to do more to better themselves” (Roff, 1967).
(muqaddimah untuk menyeru dan merayu orang Melayu untuk berbuat lebih banyak untuk memperbaiki diri mereka sendiri).
Dengan menggunakan kerangka “corak identiti kaum” yang dikemukakan oleh Choong (2022), tulisan ini berniat untuk meneroka kepelbagaian cara dalam melihat Melayu sebagai sebuah masyarakat yang tidak tunggal dari segi pemikirannya. Menurut Choong, terdapat tiga jenis corak yang boleh digunakan untuk memahami bagaimana masyarakat Melayu memaknai konsep kaum. Corak-corak tersebut adalah seperti corak “berasaskan kaum”, corak “pasca-kaum”, dan corak “etnik-budaya.” Bagi beliau, corak-corak ini berpengaruh terhadap “sikap sosial” orang Melayu.
Kepelbagaian Corak Berfikir
Pemikiran Za’ba merangkumi beberapa aspek daripada corak pertama iaitu “berasaskan kaum”. Beliau berpegang kepada gagasan “evolusi sosial” berasaskan kaum seperti mana yang dikemukakan oleh Charles Darwin. Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, bentuk pemikiran sebegini sangat terkenal dalam kalangan cendekiawan dan elit yang berpendidikan Barat. Bagi Za’ba, kaum merupakan sebuah “kategori tetap”. Ia kadangkala digabungkan dengan nasionalisme sempit, dan pada masa yang sama merangkul “pandangan dunia pan-Melayu yang lebih luas”(Choong, 2022).
Namun, perlu ditegaskan bahawa orang yang berpegang kepada sudut pandang “berasaskan kaum” tidak semestinya menganut fahaman “ketuanan” kaum. Sudut pandang “berasaskan kaum” berbeza dengan sudut pandang “perkauman” yang percaya kepada wujudnya “hierarki” antara kaum. Mereka yang berpandangan “berasaskan kaum” cenderung untuk memperjuangkan kebajikan dan kepentingan kaum mereka, termasuklah menentang gagasan hierarki kaum (Choong, 2022). Bagi mereka, dasar-dasar afirmatif adalah alat untuk mencapai keadilan sosial, menyamaratakan “padang” dan hierarki sosial, serta mengagihkan semula kekayaan.
Za’ba pastinya menolak konsep ketuanan Melayu—manakan tidak, beliau adalah orang terus mempolemikkan dan merendahkan orang Melayu. Walau bagaimanapun, kelompok yang memiliki pegangan “berasaskan kaum” tidak menafikan peri penting usaha, daya saing, dan meritokrasi. Bagi mereka, nilai-nilai tersebut harus dirangka dalam sebuah sistem yang kenal dan cuba untuk memperbetulkan ketidakadilan dalam masyarakat (Choong, 2022).
Biarpun corak “berasaskan kaum” ada dalam pemikiran Za’ba, beliau lebih cenderung ke arah corak kedua iaitu “pasca-kaum”. Mereka yang berpegang pada corak ini tidak menafikan keanggotaan mereka dalam kaum atau bangsa Melayu. Akan tetapi, penekanan turut diberikan terhadap keanggotaan setiap individu sebagai warga global. Mereka seringkali membela norma budaya dan sosial yang dominan; tidak memandang warna kulit; menggalakkan persaingan idea secara terbuka; menghadkan campur tangan kerajaan dalam ruang-ruang yang dianggap peribadi dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, kelompok yang berfikiran seperti ini jarang mengakui perkaitan antara norma sosio-budaya tersebut dengan kuasa serta norma yang berpengaruh terhadap kepentingan-kepentigan ekonomi besar dan berhegenomi (Choong, 2022). Sebagai contoh, mereka menyokong persaingan terbuka dalam perniagaan dan hanya menuntut campur tangan kerajaan yang sedikit (minimal government) dalam hal ehwal peribadi warganegara (seperti tindakan afirmatif).
Corak “etnik-budaya” pula mengambil kira dan bertolak-ansur dengan unsur-unsur yang terdapat di dalam corak “berasaskan kaum” dan “pasca-kaum”. Dalam sudut pandang ini, kaum atau bangsa dimaknai sebagai amalan kebudayaan, seperti bahasa dan adat resam. Corak pemikiran “etnik-budaya” ini juga mengambil kira kepentingan “modal” sosial dan budaya yang dominan dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, mereka turut menyedari bahawa wujudnya pertindihan antara norma-norma ini dengan kepentingan ekonomi semasa.
Menolak Berfikir Mudah
Setiap “corak identiti kaum” ini membongkarkan pelbagai kelemahan yang ada antara satu sama lain. Walaupun kelompok “pasca-kaum” menuduh kelompok “berasaskan kaum” sebagai konservatif atau tradisional, mereka yang berfikir berasaskan kaum juga menuduh kelompok “pasca-kaum” sebagai orang yang menerima norma sosial, ekonomi, dan budaya Barat secara membuta-tuli.
Tulisan ini tidak cuba untuk menelanjangkan kelemahan yang terdapat dalam “corak identiti kaum”. Namun, ia menegaskan bahawa kita seringkali melakukan kesilapan dengan mengambil mudah atau mengambil pendekatan reductionist ketika cuba mengenali orang lain. Kita dengan mudah menarik orang masuk ke dalam kategori tunggal atau binari. Ketika kita cuba untuk memahami bagaimana masyarakat Melayu memandang kaum dan etnik, ramai daripada kita (Melayu atau bukan-Melayu) yang menganggap kerumitan identiti kaum dan sikap sosial sebagai “pertembungan” antara dua bentuk pemikiran (perkauman dan bukan-perkauman) sahaja.
Perkara ini sudah pastinya akan membawa kepada salah faham terhadap cara kita menilai sikap sosial dan kepelbagaian pemikiran yang ada. Seperti mana yang telah kita lihat, Za’ba mempersembahkan unsur-unsur corak identiti kaum dan sikap sosial yang berbeza. Hakikatnya, semakin lama semakin kita sedari bahawa kehidupan adalah suatu fenomena yang sangat rumit. Memahami manusia ataupun masyarakat tidak boleh dipandang melalui sepasang kaca mata sahaja.
Bacaan lanjut:
Ahmad, Z. A. (1923, 1 Disember). Kemiskinan Orang Melayu. The Malay Mail.
Choong, C. (2022). Race-based affirmative action in Malaysia: Misrecognised subjectivities, enduring inequalities. Journal of Asian Social Sciences (50), 79-86.
Roff, W. R. (1967). The Origins of Malay Nationalism. Yale University Press.
Fauwaz Abdul Aziz merupakan seorang Penyelidik Projek di Program Sejarah dan Serantau, Penang Institute.