Kewujudan media sosial menjadikan interaksi harian kita lebih terbuka dan pantas. Media sosial juga merapatkan hubungan kita dengan maklumat, mencipta keintiman yang membuat kita merasa selesa untuk berkomunikasi, memberikan ulasan, dan mengkritik isu-isu serta berita di mana-mana dan pada bila-bila masa. Keintiman ini sering kali mendorong kita untuk dengan bebas memberikan ulasan, terutamanya berkaitan dengan hal-hal peribadi; mereka yang memiliki nama seperti seniman atau individu yang mempunyai pengaruh dalam media sosial Dalam euforia ini, beberapa pengguna sosial media berlagak seperti polis moral menghakimi perilaku yang melanggar adab dan moral, terutama terhadap wanita.
Di media sosial, golongan wanita terutamanya sering menjadi sasaran utama untuk dihukum kerana kelakuan mereka. Jika tidak mengenai tanggapan umum ciri-ciri kewanitaan yang sopan dan beradab, wanita akan dipandang remeh dan menjadi bahan jenaka di alam maya. Tanpa kita sedari, tindakan sebegini mencipta stereotaip gender, baik di media sosial mahupun di dunia nyata.
Stereotaip gender bermaksud tanggapan atau sangkaan umum tentang peranan lelaki dan wanita dalam masyarakat dan ia tidak semestinya benar. Manakala gender merujuk kepada peranan lelaki atau wanita yang dibentuk melalui pemahaman budaya dan kepercayaan tempatan. Stereotaip gender kadangkala boleh mengakibatkan berlakunya ketidakadilan sama ada di media sosial dan di sekeliling kita akibat tanggapan tertentu masyarakat.
Tanggapan Meleset
Sebahagian daripada kita seringkali menganggap wanita lebih beremosi dan selalu membuat keputusan mengikut perasaan berbanding lelaki. Kefahaman umum ini lazimnya terbentuk daripada tanggapan bahawa lelaki itu lebih gagah dan rasional berbanding wanita. Di media sosial, perkara ini menjadi bahan jenaka dan sindiran. Sebagai contoh, wanita sering dijadikan bahan jenaka bahawa mereka sahaja yang “sentiasa betul.” Sindiran ini lazim kita temui di media sosial kerana wanita dikatakan suka merengek, memaksa, dan sering membuat keputusan terburu-buru berbanding lelaki. Malah, wanita sering dikaitkan dengan perwatakan yang beremosi dan sentiasa marah-marah, manakala lelaki pula perwatakan lebih tenang.
Suatu ketika dahulu, pernah ada seorang selebriti di media sosial yang mengatakan bahawa seorang isteri yang lebih tinggi pangkat daripada suaminya akan kehilangan sifat santunnya. Kenyataan ini bukannya perkara baru yang diperdebatkan di media sosial melainkan mencerminkan stereotaip gender yang masih meresap dalam budaya kita tanpa disedari.
Kenyataan ini menggambarkan prasangka bahawa wanita dengan pencapaian dan kedudukan tinggi cenderung kehilangan etika dan kesantunan; seolah-olah adab dan santun menjadi cap mohor untuk wanita sahaja sejak azali lagi. Kenyataan ini juga menatijahkan stereotaip gender dengan meletakkan peranan tertentu bagi lelaki dan wanita.. Dalam konteks rumahtangga, suami dianggap sebagai penentu keputusan, sementara wanita diharapkan akur tanpa bantahan. Asuhan sebegini adalah lazim yang sudah lama dipupuk dalam masyarakat di Malaysia.
Maka, tidak hairan jika kenyataan selebriti tersebut seolah-olah menggambarkan bahawa wanita perlu taat di bawah perintah suami. Jika seorang wanita mempunyai taraf hidup dan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding suami, hal itu akan memadamkan sifat taat serta menghilangkan ciri adab dan sopan seperti dibayangkan dalam masyarakat.
Mengubah tanggapan
Adab dan kesopanan telah menjadi sebahagian daripada identiti kita sejak kecil. Namun demikian, pada kebiasaannya wanita lebih diberi penekanan tentang peri penting untuk beradab dan santun. Wanita juga dilihat sebagai lambang kepada kesopanan dan keayuan. Manakala lelaki yang mempunyai ciri-ciri tersebut disindir dan dihina seolah-olah kehilangan kejantanannya.
Wanita sering menjadi sasaran untuk dikritik, dikeji, dan ditegur atas tingkah laku mereka di media sosial, sementara lelaki jarang kali menghadapi teguran serupa. Contohnya apabila wanita dan lelaki memuat naik video mereka menyanyi beramai-ramai di konsert yang sama, wanita lebih terdedah dengan kritikan dan teguran untuk bersikap lebih beradab.
Media sosial mencerminkan pemikiran masyarakat kita dan kebanyakan rakyat Malaysia memperhatikan adab dan akhlak dalam menilai sesuatu peristiwa. Atas keprihatinan ini kadang-kadang menyebabkan segelintir pengguna media sosial menjadi biadap dan mengecam orang yang tidak memenuhi jangkaan mereka tentang kesopanan.
Tidak dinafikan, lelaki atau wanita dianggap sebagai maruah perlu dipelihara dalam sesebuah keluarga. Namun, tanggapan ini kadangkala mengekang perkembangan kesedaran sivik masyarakat jika ianya berlaku secara berlebih-lebihan dan ditumpukan kepada wanita sahaja. Malah, perkara ini juga tidak memberi keadilan kerana lelaki tidak diberi perhatian terhadap perkara ini.
Seharusnya, soal adab dan akhlak tidak seharusnya hanya ditekankan kepada wanita. Ianya perlu bersifat umum untuk dijadikan teladan tanpa mengira sempadan gender. Adab dan akhlak juga bukanlah alasan untuk menghadkan kemajuan wanita. Sewajarnya, garis panduan tentang adab dan akhlak itu perlu terangkum sifatnya supaya manusia menjadi lebih baik dan maju ke hadapan tanpa dipaksa dengan kekerasan.
Stereotaip gender boleh membunuh potensi dan kemajuan lelaki dan wanita dalam masyarakat. Kecaman, sikap prejudis, dan menghukum akan menjauhkan lelaki dan wanita untuk saling memahami dan melengkapi dalam membina masyarakat yang sivik. Sampai bila lagi kita mahu terperangkap dengan kebodohan ini?
Nidhal Rawa merupakan Pegawai Kanan Program Bahagian Keterangkuman Gender di Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).