Akhbar New Straits Times baru-baru ini melaporkan bahawa kerajaan Pulau Pinang telah menerima 30,000kg beras putih tempatan untuk menangani kekurangan yang terjadi dalam pasaran. Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keselamatan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Y.B. Fahmi Zainol, mengumumkan pengagihan sebanyak 3,000 guni beras, masing-masing seberat 10kg menerusi inisiatif Beras Putih Tempatan (BPT). Bekalan ini akan tersedia untuk pembelian di seluruh negeri melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri.[1]
Perkara ini sudah tentunya dilakukan untuk menjaminkan sekuriti makanan tempatan. Sekuriti makanan tempatan merujuk kepada keadaan di mana masyarakat mempunyai akses kepada makanan yang mencukupi dan berkualiti, dan bebas daripada risiko pencemaran atau kontaminasi yang boleh membahayakan kesihatan manusia. Jelas bahawa sekuriti makanan tempatan di negeri Pulau Pinang dan seluruh negara kita semakin terjejas. Untuk menguruskan kekurangan bekalan negeri, pembeli individu seperti saya hanya dibenarkan untuk mendapatkan sehingga dua guni setiap satu pembelian. Manakala pembelian berkumpulan seperti golongan peniaga, mereka boleh memperolehi hanya 10 guni.
Mengapa Malaysia menghadapi isu kekurangan dalam keselamatan bekalan makanan sedangkan negara kita kaya dengan tanah yang subur untuk pertanian dan sumber asli? Apakah negara kita perlu berterusan bergantung pada import makanan untuk memenuhi keperluan asas masyarakatnya? Malaysia, seperti negara-negara lain, tidak terlepas daripada menghadapi isu bencana alam. Misalnya, perubahan iklim ketika musim banjir dan kemarau yang berpanjangan mengakibatkan kekurangan sumber air, dan keterbatasan tanah pertanian secara langsung mempengaruhi pengeluaran makanan tempatan dari segi kualiti dan keselamatan makanan.
Malaysia terlalu bergantung pada import makanan sehingga RM70b setahun untuk memenuhi keperluan asas masyarakatnya.[2] Makanan import telah menambahkan kos import sehingga menyebabkan harga bahan makanan meningkat kerana penghasilan produk tempatan terpaksa menampung permintaan pasaran tempatan. Selain itu, faktor seperti ketidakstabilan hasil dalam pasaran global, isu-isu seperti peperangan, dan sebagainya di negara pengeluar dan kadar pertukaran mata wang yang berubah boleh menyebabkan rantaian bekalan perdagangan antarabangsa terjejas dan ketidaktentuan harga pasaran makanan hasil pertanian.
Selain itu, ada juga kalangan masyarakat kita mungkin berasa kurang yakin terhadap kualiti makanan tempatan. Mereka lebih rela membeli produk luar kerana bimbang dengan tahap penggunaan racun perosak ke atas hasil pertanian tempatan. Penggunaan racun perosak yang berlebihan bukan sahaja memudaratkan alam sekitar, serta mencemari udara dan sumber air bersih tetapi juga menyebabkan kontaminasi makanan kepada manusia seperti komplikasi kepada sistem badan manusia seperti kulit, saraf, dan perut. Hal sedemikian boleh menganggu permintaan terhadap produk makanan tempatan mengakibatkan bekalan makanan terkesan.
Kesan wabak dan penyakit terhadap industri pertanian secara langsung mengganggu bekalan makanan. Selain itu, pembaziran makanan yang berlebihan juga boleh menyebabkan sumber makanan berkurangan atau mungkin kekurangan dalam pengagihan juga boleh menyebabkan golongan di kawasan, daerah atau negeri tertentu menghadapi kekurangan makanan walaupun cukup bekalan makanan secara keseluruhan di negara tersebut.
Kita perlu sedar bahawa isu sekuriti makanan tidak boleh diabaikan. Ia adalah aspek penting dalam kehidupan manusia. Maka adalah penting untuk memastikan bekalan makanan tempatan mencukupi, selamat dan berkualiti untuk kegunaan masyarakat.
Sokongan kepada pertanian tempatan memainkan peranan yang amat penting dalam memperkasa sekuriti makanan negara. Sedari itu, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang telah mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam usaha Tanaman bergilir bagi membangunkan Taman Agroteknologi Pertanian yang dikenali sebagai PERDA Food Valley di atas tanah seluas 138 hektar.
Initiatif kerajaan Pulau Pinang dalam memperkasa sekuriti makanan ini adalah menggunakan penggiliran tanaman yang mana formula pengurusan ladang adalah berbentuk konvensional, menggunakan teknologi yang minimum untuk tanaman sayur atau buah yang berbeza diusahakan di kawasan sama mengikut urutan. Walaupun teknik pengurusan adalah secara konvensional, petani dapat menjana pendapatan secara optimum, dan secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi luar bandar dan sekuriti makanan negeri.
Sudah sampai masanya untuk kerajaan mengambil langkah-langkah agresif dan usaha yang lebih mampan agar kita tidak terlalu bergantung kepada import agar kenaikan harga makanan dapat dikurangkan.
Dr. Rahida Aini merupakan lulusan Ph.D dalam bidang Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia. Kini, beliau bertugas sebagai Pegawai Penerbitan di Penang Institute.
[1] Audrey, D. (September 19, 2023). Penang gets 30,000kg of local white rice for sale to address shortage. https://www.nst.com.my/news/nation/2023/09/957226/penang-gets-30000kg-local-white-rice-sale-address-shortage
[2] Mohamed Farid, N & Omar, A. (25 Ogos 2023). Malaysia ada hujan, air, tanah subur, namun import makanan RM70b setahun. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/08/1144813/malaysia-ada-hujan-air-tanah-subur-namun-import-makanan-rm70b