Ungkapan yang menjadi tajuk esei ini kerap digunakan untuk mendorong kita menuntut ilmu di mana-mana juga. Memang itulah juga maksudnya. Untuk membincangkan dengan lebih lanjut, kita perlu memberi perhatian kepada dua perkara yang besar ruang lingkupnya. Perkara yang pertama adalah ilmu, iaitu pengetahuan dan kefahaman manusia tentang dunia, manusia, alam dan pelbagai lagi secara sistematik dan sedar. Sepanjang yang kita tahu, ada dua cara datangnya ilmu, iaitu melalui pengalaman diri sendiri atau sumber lain.
Perkara kedua adalah dunia. Apa itu dunia? Kita tahu dunia ini besar dan sudah wujud jutaan tahun dahulu. Tidak kira sebesar mana dan selama mana dunia ini, pemahaman kita tentang sesuatu dibatasi oleh tembok yang tidak kita nampak. Tembok yang dimaksudkan di sini adalah tembok pemikiran, pemahaman atau ilmu. Hanya setelah tembok itu diterobos, lahirlah pemahaman kita tentang sesuatu atau setidak-tidaknya pemahaman kita tentang sesuatu akan menjadi berbeza. Tembok ini jugalah yang membezakan manusia dengan manusia lain. Hanya dengan pemahaman, pengetahuan, dan ilmu yang baharu kehidupan kita boleh menjadi berbeza daripada sebelumnya.
Satu-satunya penghalang yang menghambat kita untuk bergerak ke depan atau berundur ke belakang, naik ke atas atau turun ke bawah, berbelok ke kiri atau ke kanan adalah minda kita. Hanya dengan mengubah pemikiran tertentu yang telah menguasai kehidupan kita, barulah kita boleh membentuk semula hidup mengikut ilmu, pemikiran dan pengetahuan baru. Di sini, ilmu, pengetahuan, dan pengalaman adalah enjin kuasa besar yang menggerakkan bahtera kehidupan kita.
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa minda kita adalah penjara kita yang terbesar. Jika kita bermati-matian berpegang kepada ilmu, pemikiran, atau pengalaman lama dan usang, kita bukan sahaja tidak boleh maju, tetapi juga akan ditinggalkan orang lain kerana ilmu, pemikiran, dan maklumat baru. Ini jelas terjadi kepada masyarakat atau negara yang berdegil dengan pemikiran dan ideologi lama. Kerana tidak ingin menyesuaikan diri dengan perubahan, kesudahan mereka adalah kematian.
Minda adalah penjara
Walaupun pengalaman itu penting untuk menghalang kita daripada melakukan kesilapan berulang kali, kita juga harus berhati-hati dengan tanggapan bahawa pengalaman adalah suatu yang tidak salah dan baik untuk selama-lamanya. Ada sesetengah pengalaman hanya boleh diguna pakai dalam masa dan kes yang tertentu tetapi telah membelenggu pemikiran kita buat sekian lama. Dengan kata lain, kita perlu meninggalkan pengalaman lama yang tidak lagi sesuai dan yang membawa kebaikan.
Perbincangan tentang pengalaman seeloknya bermula dengan mengatakan bahawa tidak ada yang kekal dalam dunia ini. Lubuk jadi pantai, pantai jadi lubuk. Kalau kehidupan penuh dengan pembolehubah, maka semakin kita mengejar kestabilan, semakin sempitlah laluan hidup kita. Untuk mengelak kita terperangkap, maka kita perlulah berani membuat perubahan yang diperlukan. Sekalipun perubahan lazimnya akan membawa ketidakstabilan, gangguan, dan masalah pada peringkat awal, kita akan berada di sebuah dunia baru yang lebih baik.
Sejak kecil lagi, kita sudah mendengar banyak kisah tentang orang yang berjaya. Kisah-kisah kejayaan itu sangat memberangsangkan, terutamanya yang dicapai oleh rakyat biasa dan keluarga miskin. Walaupun kita tahu tidak ada jalan pintas ke mercu kejayaan, setidak-tidaknya mendapat penunjuk daripada kisah perjuangan mereka. Walaupun kisah perjuangan setiap orang itu berbeza, petua kejayaan mereka adalah sama: kegagalan masa sekarang adalah ibu kejayaan masa depan. Ini bermakna mereka berani dan yakin pada diri untuk membuat sesuatu yang baru.
Sehubungan itu mereka yang gagal pada mula-mulanya tetapi berjaya selepas itu adalah contoh yang perlu kita teladani. Mesej lain di sebalik kejayaan mereka adalah kita sendiri perlu bergantung pada diri sebagai tukang feri untuk membawa kita ke kejayaan di pantai seberang sungai atau laut. Maklumlah dunia yang kejam dan penuh dengan persaingan ini tidak akan bersimpati kepada sesiapa juga. Hanya orang yang berani, tabah, cekal dan yang dapat bangun semula setelah jatuh akan berjaya.
Memanfaatkan pertolongan orang lain
Kesemua maklumat, ilmu, pengajaran dan pengalaman yang diperkatakan itu bukan hanya boleh didapati daripada buku fizikal tetapi juga dalam bentuk digital. Kita sungguh bertuah kerana berpeluang mendapat ilmu dan maklumat yang tidak terkira banyaknya dengan gabungan maklumat bercetak dan digital ini. Kalaupun bukan semua boleh dijadikan pedoman, maklumat tersebut sekurang-kurangnya boleh digunakan sebagai lampu untuk menyuluh kegelapan di depan kita. Yang penting, kita jangan sekali-kali mensia-siakan ilmu, maklumat dan pengajaran yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita. Itulah mutiara kearifan yang sudah mereka tinggalkan setelah melalui pelbagai kegagalan. Kejayaan kita bukan sahaja bergantung pada usaha kita sendiri, tetapi juga pertolongan orang lain.
Dengan kata lain, setelah tahu memanfaatkan kuasa dari sumber lain barulah dapat kita menyiapkan kerja dengan lebih baik dan cepat. Ada kalanya kapal terbang yang bertolak dari London boleh mendarat di KLIA setengah jam lebih awal. Apa yang berlaku adalah kapal terbang itu ditolak angin, walaupun juruterbangnya hanya dibenarkan untuk terbang menurut kelajuan yang ditetapkan. Angin yang menolak di belakang itu adalah pertolongan yang kita tidak dinampak. Walaupun kita harus bergantung pada diri, tetapi ada kalanya pertolongan juga diperlukan.
Belajar memperkasakan diri
Kita hidup di era persaingan intelek, kreativiti dan inovasi yang hebat antara individu, syarikat dan negara. Dalam persaingan yang hebat ini, hanya yang benar-benar kuat dan hebat akan mengatasi yang lain. Asas kepada kekuatan dan kehebatan mereka sebahagiannya datang daripada ilmu, pemikiran dan maklumat yang sedia ada, manakala sebahagian yang lain pula datang daripada penyelidikan sendiri. Walaupun banyak ilmu, maklumat dan pemikiran boleh disaring daripada buku dan Internet, tetapi setelah dianalisis semula tidaklah sama hasilnya. Hasil yang dimaksudkan di sini bukan sahaja produk baru, tetapi juga harta intelek yang baru.
Menyedari hal itu, banyak negara telah memberi perhatian serius dan peruntukan besar kepada pembangunan intelek rakyat mereka dengan harapan dapat melahirkan lebih ramai pakar dalam pelbagai bidang. Di sini, wang yang dibelanjakan itu dipandang sebagai satu lagi bentuk pelaburan untuk masa depan negara. Hanya dengan terus belajar dan memperkasakan diri dapatlah kita mengekalkan diri di jalan pertumbuhan ke arah kejayaan yang sudah dicapai orang lain di negara maju dan kaya seperti Amerika Syarikat, Jerman, China, Jepun dan Korea. Dengan kata lain, menuntut ilmu adalah pelaburan yang terbaik bukan sahaja untuk masa depan diri kita, tetapi juga masa depan negara kita.
Berdepan dengan situasi kejar-mengejar antara negara-negara di Asia Tenggara ini, janganlah kita kecewa dan sedih. Yang perlu dilakukan oleh pelajar hari ini adalah, kita mesti bersemangat tinggi untuk terus belajar bagi memperkasakan diri dengan ilmu, maklumat dan pengetahuan baru, selain menganggap “kesusahan” itu hanyalah sementara. Ini bermakna walaupun jalan di hadapan kita bergelombang dan penuh onak duri, janganlah kita melarikan diri sebagai pengecut. Asalkan kita berani berdepan dan tahan menghadapi segala macam cabaran dan ujian, kita pasti akan bangun semula sebagai orang yang berjaya, kuat, dan hebat.
*Ding Choo Ming, Pesara dari UKM. Bekas Felo Penyelidik Utama (Profesor) di ATMA, UKM, Bangi. Pernah menghasilkan belasan buah buku dan puluhan buah esei, khususnya dalam pengajian Melayu.