Bercuti selepas tempoh bekerja kuat amat penting untuk mengekalkan keseimbangan hidup dan kesejahteraan diri. Menurut dapatan utama Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, bilangan rakyat yang mengalami kemurungan telah meningkat dua kali ganda dari 2019 hingga 2023. Oleh itu, kerajaan memandang serius isu kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menekankan kepentingan melancong sebagai salah satu kaedah yang berkesan untuk pemulihan mental.
Aktiviti melancong bukan sekadar mengambil cuti daripada rutin harian dan pekerjaan, tetapi juga merupakan satu bentuk istirahat yang sangat berharga. Ia membantu memulihkan tenaga mental dan fizikal, menstabilkan semula kesejahteraan emosi dan mental. Kesan daripada proses pemulihan ini, kita akan kembali bekerja dengan semangat yang lebih segar, meningkatkan produktiviti serta membuka ruang kepada idea-idea kreatif yang baharu.
Meneroka Budaya Baharu dan Memperluas Pandangan
Meneroka tempat-tempat baharu memberi kita peluang untuk mendalami budaya, perspektif dan pengalaman berbeza, menjadikan pandangan kita lebih luas tentang dunia. Selain itu, bercuti juga memberi ruang untuk refleksi diri, serta peluang untuk merapatkan hubungan, terutamanya apabila kita melancong bersama orang tersayang. Hakikatnya, percutian bukanlah satu bentuk kemewahan semata-mata—ia adalah pelaburan untuk kebahagiaan hidup dan kejayaan jangka panjang dalam kerjaya kita.
Setiap insan yang berbakti dalam pekerjaannya sedar betapa pentingnya kerjaya bagi memperkasa diri dan memastikan kelangsungan hidup. Namun, tatkala beban kerja mula menghempas, dan rutin harian terasa semakin menghimpit jiwa, mungkin sudah tiba waktunya untuk berhenti sejenak dari arus kesibukan, dan mengambil ruang untuk mencari damai di luar kebiasaan.
Melancong telah menjadi salah satu aktiviti kegemaran rakyat Malaysia. Kita sering melihat pempengaruh di media sosial berkongsi video destinasi menarik yang mereka kunjungi, lengkap dengan cerita pengalaman peribadi serta tip-tip berguna. Bagi orang seperti saya, yang sudah lama tidak berkesempatan melancong, perkongsian pempengaruh di media sosial sememangnya membantu sebagai rujukan dan inspirasi.
Cabaran dan Persiapan Sebelum Melancong
Bukan kerana tidak suka melancong, bukan kerana takut untuk menaiki kapal terbang, tapi kerana masa dan keadaan tidak mengizinkan. Perasaan ‘teragak-agak’ setiap kali memikirkan hendak meneroka destinasi baru sendirian sudah pasti bercampur perasaan takut dan tidak selamat. Sebelum memulakan perjalanan, saya perlu melakukan homework terlebih dahulu: Apakah aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sana? Apakah hidangan tempatan istimewa yang wajib dicuba? Apakah bahasa yang mereka tuturkan? Dan, adakah mudah untuk mendapatkan makanan halal di sana?
Semua isu ini memerlukan penelitian yang mendalam. Dengan perancangan yang baik, melancong boleh menjadi pengalaman bermakna yang melegakan tekanan kerja. Dahulu, saya lebih gemar mengunjungi tempat-tempat berdekatan yang mudah dicapai dengan kenderaan darat. Aktiviti seperti brisk walking, beriadah bersama keluarga, atau sekadar menikmati secawan kopi di kafe bersama rakan-rakan lama sudah cukup untuk menyegarkan minda dan tubuh. Namun begitu, setelah mendengar pengalaman rakan-rakan yang melancong ke destinasi luar negara, semangat saya semakin membara untuk mencuba sesuatu yang baru—menjelajah keunikan destinasi di luar negara.
Ditambah pula dengan tawaran promosi penerbangan yang semakin menarik, mungkin inilah masa yang paling sesuai untuk memulakan pengembaraan dan melupakan seketika bebanan kerja. Inilah masa yang tepat untuk berehat dan menjelajah ke destinasi luar. Pilihan saya jatuh kepada Pattaya, Thailand, sebuah destinasi yang belum pernah saya kunjungi. Salah satu tempat menarik yang saya lawati ialah Muzium Sanctuary of Truth, terletak di Laem Ratchawet, Mukim Na Kluea, Chonburi. Muzium ini dibina di atas tanah seluas 13 hektar dengan ruang dalaman seluas 2,115 m², dan puncak tertinggi mencapai 30 meter (98 kaki). Pembinaannya bermula sejak tahun 1981 dan masih diteruskan hingga kini.
Sanctuary of Truth ialah sebuah muzium yang diukir sepenuhnya daripada kayu, hasil inspirasi Lek Viriyaphan, seorang usahawan terkenal. Beliau mendapat ilham daripada seni budaya, agama, dan falsafah yang mendalam. Keunikan muzium ini terletak pada reka bentuknya yang berkonsepkan Kerajaan Ayutthaya, sebuah kerajaan Siam yang wujud dari tahun 1350 hingga 1767 M, sebelum kemunculan kerajaan Thai. Keseluruhan muzium ini dibina menggunakan pelbagai jenis kayu seperti Mai Deang, Mai Takien, Mai Panchaat, dan Teak. Menariknya, binaan ini tidak menggunakan sebarang paku, dengan setiap ukiran kayu dihasilkan dengan begitu teliti dan halus.
Walaupun dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025, muzium ini, yang kelihatan seolah-olah terapung di atas paras laut apabila dilihat dari jauh, dikelilingi oleh taman-taman yang indah serta bengkel ukiran kayu dan kedai cenderamata. Bengkel dan kedai ini dibuka kepada pengunjung untuk menyaksikan sendiri para pekerja ukir menjalankan tugas mereka. Semasa di tapak pembinaan, pelawat diwajibkan memakai topi keselamatan yang disediakan.
Selain itu, kakitangan muzium akan memberikan penerangan mengenai ukiran-ukiran yang terdapat di muzium tersebut. Setelah sesi penerangan berakhir, pelawat bebas untuk menjelajah muzium dan merakamkan gambar kenangan. Kakitangan muzium akan menjelaskan tentang hasil ukiran kayu yang dicipta oleh tukang-tukang yang masih aktif berkarya di muzium ini, di mana setiap ukiran membawa makna kerohanian yang mendalam. Keindahan arca kayu yang diukir dengan begitu teliti dapat mengharukan sesiapa sahaja, terutamanya apabila mengetahui kesabaran Encik Lek yang selama lebih 10 tahun mengkaji dan menjelajahi seluruh Thailand untuk mengumpul data dan butiran dari setiap lokasi.
Setiap ukiran bukan sahaja melambangkan seni budaya, tetapi juga menyampaikan falsafah tentang kehidupan manusia. Ia membawa kita kepada persoalan penting: “Siapakah kita? Dari mana asalnya kita? Bagaimana seharusnya kita menjalani kehidupan? Bagaimana kehidupan ini akan diteruskan? Dan apakah tujuan sebenar hidup?”
Kesimpulan
Melawat muzium yang digelar “istana kayu ajaib di kaki langit” benar-benar menyegarkan minda dan memberi inspirasi kreatif kepada saya, kerana di negara kita belum ada muzium yang diperbuat sepenuhnya daripada kayu. Pengalaman ini seakan-akan membawa saya kembali ke zaman kegemilangan kerajaan Ayutthaya, ketika ia giat berdagang dengan pelbagai negara asing seperti Melayu Melaka, Majapahit, Sriwijaya, Kalinga, China, Arab, Parsi, Jepun, dan negara-negara Eropah. Pada waktu ini juga, kesenian, kesusasteraan, dan ilmu pengetahuan berkembang pesat.
Saya amat kagum dengan pemiliknya yang berwawasan, Lek Viriyaphan, yang bercita-cita untuk membina istana kayu terbesar di dunia, sepenuhnya diperbuat daripada kayu. Struktur yang mengagumkan ini melambangkan penghargaan mendalam terhadap nilai-nilai sejagat seperti kerohanian dan kewujudan manusia, yang berakar dalam falsafah agama Buddha dan Hindu.
Secara jujurnya, selepas melawat Sanctuary of Truth, saya berasa sangat terpesona. Seni bina kayunya adalah antara yang paling indah pernah saya lihat. Saya tertanya-tanya, mengapa saya tidak pernah mendengar tentang tempat ini sebelum ini? Dan mengapa tiada rakan atau keluarga saya yang menyebutnya?
Percutian ini sangat berbaloi, kerana bagi saya, ia adalah peluang sejenak untuk berehat daripada kesibukan kerja dan memberi ruang untuk menetapkan semula keadaan mental. Walaupun saya dapat melarikan diri seketika dari kerja dan rutin harian, saya juga tidak sabar untuk kembali bekerja dengan minda yang dipenuhi pemikiran baru yang segar dan kreatif.
Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam, Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.