Hubungan antara saya dengan puisi tidak pernah senang. Sering sahaja terjadi turun naik dan tolak tariknya. Saya membaca puisi tidak sesungguh membaca prosa, esei-esei, atau apa sahaja bentuk tulisan kreatif bukan-cereka. Puisi jarang-jarang hadir, dan selalunya secara kebetulan. Jadi, saya berasa beruntung apabila terpaksa menyunting sebuah terjemahan bahasa Melayu karya penyair Jerman, Paul Celan oleh seorang penterjemah tempatan. Membaca puisi pada waktu itu seakan-akan mengaji dengan penuh tekun.
Namun, barangkali juga kerana puisi-puisi yang ada pada hari ini menurut saya kurang mencuit atau menyengat. Kebanyakan datang dan pergi tanpa terlalu meninggalkan sebarang kesan. Barangkali juga saya ini sudah terbiasa berfikir dalam kerangka ilmu sosial. Melaluinya, dunia semacam menjadi sesuatu yang rasional, perlu masuk akal, dan objektif. Bahasa akhirnya hilang keajaibannya dalam kedua-dua ranah ini. Jadi, apa lagi yang boleh puisi tawarkan kepada dunia yang sudah hilang pesonanya ini?
Sebagai penulis, saya berminat untuk memerhati dinamik politik dan hubungan kuasa yang wujud antara negara dengan seni dan budaya, khususnya di Asia Tenggara. Di Kelantan misalnya, saya banyak meluangkan waktu untuk menulis tentang seni-seni persembahan seperti mak yong, wayang kulit, menora, dikir barat, dan juga main puteri. Untuk beberapa tahun, saya menyelami luar dalam kehidupan masyarakat yang menggelarkan diri mereka sebagai “orang mene (permainan)” atau mereka yang terlibat secara langsung dengan seni persembahan tradisional Kelantan. Secara umum, perjalanan tersebut merupakan suatu bentuk kepulangan saya ke kampung halaman. Saya pulang untuk mengenal salasilah dan mengenali Kelantan melalui kaca mata seorang penulis yang sudah lebih dua dekad meninggalkan negeri asalnya. Saya berminat untuk melihat bagaimana ritual, muzik dan seni persembahan tradisional yang berakar dalam tradisi Islam dan Hindu-Buddha menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat. Pertanyaan mudahnya adalah, kenapa segala tradisi ini masih diamalkan di negeri yang kononnya sangat konservatif itu?
Namun demikian, saya kemudiannya menyedari bahawa seni persembahan tradisional bukannya sekadar muzik dan tarian, tetapi juga suatu bentuk puisi yang menjelma dalam bentuk doa, mantera, dan juga jampi. Ia selalunya dibaca dalam pelbagai upacara kehidupan, baik ketika menyambut hari lahir sehinggalah kepada merawat penyakit. Puisi-puisi ini juga diperturunkan dari generasi ke generasi. Ketika bertemu dengan seorang tok puteri (bomoh), saya juga sedar bahawa bahasa dan cerita memainkan peranan yang sangat penting di rantau Asia Tenggara, bukan hanya sebagai hiburan, tetapi juga merawat masalah psikologi.Sebelum perubatan moden belum lagi terkenal, orang sering bergantung kepada bomoh untuk menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan. Malah, dalam banyak kes, mereka tidak hanya berperanan sebagai pengubat, tetapi juga pemimpin yang menjadi tempat orang kampung bergantung. Di Kelantan, orang mencari bomoh-bomoh seperti tok puteri, tok minduk, dan bomoh berbageh untuk mencari kekasih, memacak benteng, mahupun menewaskan lawan.
Saya pernah cuba untuk merakamkan pelbagai jenis jampi yang dibacakan oleh para tok puteri yang saya temui. Walaupun kebanyakannya sukar untuk difahami, kebanyakan istilah yang citra yang disebutkan ini memiliki bau pelbagai tradisi agama dan budaya. Wujud semacam bentuk hubungan timbal balik antara manusia dengan alam, antara yang hidup dengan yang telah mati, serta yang nyata dan tidak nyata. Segala jampi dan mantera ini merupakan antara bentuk puisi terawal yang menghubungkan kita dengan yang fana dan menyentuh alam bahawa sedar manusia dengan menggunakan bahawa yang membangkitkan hal-hal yang bukan biasa.
Upaya saya untuk memahami jampi dan puisi juga tidak hanya terikat dalam lingkungan kebudayaan Kelantan. Melalui beberapa projek penerbitan, saya berkesempatan untuk meneroka perkara yang sama di wilayah-wilayah lain. Antaranya adalah jampi dan puisi di kepulauan Borneo. Dari situ saya juga kemudiannya sedar bahawa ramai penulis dan penyair Borneo hari ini yang memanfaatkan tradisi lisan, dongeng, cerita rakyat, lagu, dan jampi dalam penulisan mereka, baik prosa mahupun puisi. Tidak sedikit yang meminjam motif dan perlambangan daripada sastera lisan, serta menghasilkan semula struktur dan naratif lisan dalam karya-karya mereka. Lihat misalnya tradisi ensera dan kissa dalam tradisi masyarakat Iban dan Suluk. Kearifan tempatan dan sastera lisan yang ditutur, dicerita, dan dinyanyikan oleh pelbagai masyarakat, khususnya Orang Asal di Sabah dan Sarawak, kuat terpahat dalam ingatan dan identiti penduduk kepulauan Borneo. Dalam kata lain, para penulis dan penyair Borneo sedang menulis sendiri kisah hidup mereka, dan secara tidak langsung melawan naratif yang selama ini disogokkan oleh kuasa Eropah.
Pertemuan saya dengan ensera dan kissa turut membawa saya kepada pelbagai lagi bentuk tradisi lisan, termasuklah tradisi jampi dalam pelbagai konteks yang berbeza. Ia sudah tentunya memperkayakan lagi pemahaman saya terhadap tradisi dari tempat saya sendiri. Tidak hanya itu, ia turut menjelaskan lagi pemahaman saya terhadap makna serta keajaiban yang dimiliki oleh bahasa dan puisi.Pendek kata, persamaan yang dimiliki oleh para penulis dan penyair yang saya temui ini adalah, mereka cuba untuk berhubung kembali dengan salasilah mereka melalui proses peminjaman dan kemudiannya mencipta sendiri bahasa kesusasteraan mereka yang tersendiri. Mereka menguji kaji bahasa-bahasa mereka seperti Iban, Kadazan-Dusun, Suluk, dan Kayan dan dalam masa yang sama mengakui akan kerapuhan dan ketidaksempurnaan pemahaman yang mereka miliki.
Bagi saya, tradisi lisan mampu untuk memberi tenaga kepada pelbagai bentuk penulisan semasa, baik prosa mahupun puisi. Sudah tentunya tidak ada takrifan puisi yang mutlak. Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa kerja-kerja mengarang puisi boleh mengambil pelajaran daripada pelbagai bentuk jampi dan mantera yang merupakan suatu bentuk bahasa yang menyambungkan kita dengan diri sendiri dan kebenaran.
Izzuddin Ramli merupakan seorang penulis, penterjemah, dan penyunting. Beliau menguruskan portal esei Suara Nadi dan mengendalikan audio siar Bual Nusantara.