Saya kira, pada usia sebegini saya sudah perlu meninggalkan segala keghairahan saya terhadap hal-hal yang pernah memberi keselesaan kepada saya pada masa lalu. Orang kata, hidup bermula pada umur 30 tahun. Atau 40 tahun. Terpulang kepada sejauh mana kita kisah kepada diri sendiri. Saya sendiri sudah tidak jauh dari penanda aras itu.
Saya sudah selesai, dan sudah hampir tiba. Saya adalah Penguasa bagi hidup saya yang diancam oleh suatu konsep yang telah menghumban manusia dan segala kehidupan ke dalam jaring besar, terikat dengan segala tanggungjawab, dan disemat ke dalam pelbagai macam kemungkinan. Dalam cerita saya ini, masa adalah sebuah antagonis.
Masa sedang menatap saya tepat pada mata. Matanya yang cerah, muda, dan abadi itu mengingatkan saya kepada rasa sakit belakang yang saya alami kebelakangan ini. Sendi-sendi saya terasa sengal ketika udara sejuk menghembus kulit. Garis-garis halus yang ada di bawah mata saya ini adalah seperti garis-garis paling lembut yang diberus oleh seorang pelukis. Memang ianya tidak kelihatan, tetapi tetap ada. Ia membuatkan saya terbayang akan bau kopi yang masih belum dibancuh serta sisa-sisa dua musim yang sepatutnya saya lalui jika saya berusaha dengan lebih keras.
Masa juga mengingatkan saya bahawa saya perlu kembali ke Disneyland dan mengetahui apalah yang menarik sangat dengannya. Saya masih terlalu muda untuk mengerti kenapa saya meminati Minnie Mouse atau untuk memahami kenapa sepupu saya menangis-nangis apabila cerita-cerita kartun di televisyen tiba-tiba terhenti kerana ada berita tergempar. Seperti datuk dan nenek, saya cuba memujuk dia biarpun saya tidak pasti adakah cerita Mickey Mouse akan bersambung lagi atau tidak. Sejujurnya, saya menunggu muzik permulaan kembali berkumandang.
Namun, hal itu yang membuatkan saya jadi tertanya-tanya. Kenapa seorang kanak-kanak 5 tahun merasa perlu untuk menipu seorang kanak-kanak berumur 4 tahun bahawa mereka akan tetap dapat menonton semula cerita kartun tersebut? Masa merampas zaman kanak-kanak saya dan memberitahu bahawa saya perlu menjadi dewasa walaupun saya masih teruja untuk mendengar Mickey Mouse Club March.
Masa siap untuk melepaskan saya. Cengkamannya sangat kuat sehingga tidak ada ruang untuk kesilapan. Percayalah, saya sudah cuba. Saya pernah merasa dingin pisau lipat pada leher, dan saya juga mengerti makna bagi kata gemuruh. Maksud bagi kedua-duanya boleh datang menyerbu seperti sebiji bola getah yang melantun-lantun di dalam bilik kosong. Gema, bergema dengan kuat—tidak pernah memberitahu bila ia akan pergi.
Ada waktu-waktunya saya membalas balik masa, merancang untuk pergi pada detik-detik tertentu dalam hidup saya, agar ia tahu bahawa saya tidak pernah dikawal oleh jentera-jentera yang dicipta oleh para kapitalis. Namun, kadang-kadang masa hanyalah nombor-nombor yang tercetak pada sekeping piring—dengan tangan-tangannya yang jarang sekali ingin seiring. Masa cuba untuk memiliki jiwa, untuk hidup dengan kemunduran sambil merayu-rayu kepada penguasa dengan kenyataan bahawa kita tidak pernah lapar kerana kita bekerja dengan pemerintah dan bukan sekadar jentera.
Saya juga berjuang untuk tetap hidup kerana saya masih belum cukup meraikan Oscar Wilde. Saya juga tahu bahawa masa turut menjadikan saya seorang romantik. Kita sering berpegang kepada kata-kata sang bijaksana yang telah mati, biarpun tidak selalunya kata-kata mereka boleh dipakai pada hari ini. Namun, tiga baris kata dari De Profundis melekat di dalam diri saya—lebih lama dari sepatutnya.
Baris-baris itu juga yang mampu menitiskan air mata saya sewaktu saya asyik menjenguk telefon pintar di suatu pagi hari Ahad. “Tuhan-tuhan sungguh pelik. Mereka tidak menjatuhkan hukuman-hukuman hanya kerana kejahatan-kejahatan kita. Mereka menghancurkan kita melalui kebaikan, kelembutan, kemanusiaan, dan kasih sayang yang ada dalam diri kita.”
Kita sepakat dengan Wilde kerana cinta, kerana kelembutan yang ada dalam diri setiap daripada kita, kerana segala yang indah-indah. Mahu tidak mahu, kita akan pernah merasa sakit dari luka kerana terlalu mencintai. Cinta adalah contengan cat yang sesetengah daripada kita sapukan di muka, walaupun sebahagian orang cuba menyembunyikannya kerana percaya bahawa ianya akan menyelamatkan kita dari suatu kehilangan yang lebih besar.
Masa hadir dengan penempelan dan kebergantungan. Hati kita terus-menerus dijentik oleh pelbagai ingatan—oleh hal-hal yang seharusnya kita tinggalkan di masa lalu. Kita semua tahu bahawa tidur beralas bantal basah memang tidak menyenangkan. Kita tahu betapa seksanya apabila terpaksa menahan daripada ketawa dalam acara-acara rasmi. Biarpun rasanya seperti tercekik, kita tetap menyukainya dalam diam-diam. Kita berpura-pura senyum pada hal-hal remeh ketika jiwa-jiwa kita sudah tersesat di dunia lain—terhibur dan selesa.
Masa telah menjadikan segala yang abadi daripada kerapuhan, dan membentuk manusia daripada kata-kata. Kita bergayut pada hantu-hantu nenek moyang kita yang terperangkap dalam kelambu, pada sel-sel, pada jejak-jejak bayangan. Namun, hal yang paling utama adalah, masa menjadikan setiap daripada kita sebagai luar biasa. Kita adalah makhluk-makhluk lunak yang senang dibentuk oleh tangan-tangan konsep yang diciptakan oleh manusia. Akan tetapi, kita juga adalah lilin-lilin—menerangi dunia dengan cara kita sendiri—biarpun sementara, tapi tetap terang.
*Nurul Ismawi adalah seorang penulis dan penyair. Beliau sedang mengikuti pengajian pada peringkat sarjana dalam bidang Kesusasteraan Dunia di Universiti Putra Malaysia.