Dalam dunia yang sering dipenuhi dengan ketidakpastian dan persaingan, kita sering berada dalam keadaan tergesa-gesa dari satu pencapaian ke pencapaian yang lain. Konsep gap year adalah adalah amalan biasa di luar negara; sering disebut sebagai ‘tempoh rehat’ diperlukan yang mana golongan muda diberi fleksibiliti untuk mengambil cuti selama setahun sama ada selepas tamat sekolah, menamatkan pengajian di universiti, atau perubahan rancangan kerjaya. Gap year atau tempoh rehat ini menawarkan peluang hebat untuk penemuan diri, pembangunan kemahiran, dan penerokaan. Walaupun pada asalnya konsep ini amat popular di negara-negara Eropah, semakin ramai pelajar di seluruh dunia menerima konsep ini. Mereka melihat gap year bukan sebagai masa yang “hilang” tetapi sebagai masa yang dilaburkan untuk pertumbuhan peribadi.
Walaupun tempoh rehat kedengaran seperti ‘masa untuk bercuti’ yang mana ada yang memilih untuk melancong, mengikuti latihan kerja (internship), menjadi sukarelawan, menyertai penyelidikan, memulakan perniagaan, namun ia jauh lebih bermakna daripada itu. Pengalaman seperti itu akan menjadikan kita lebih matang, seimbang serta mendapat kebebasan yang amat diperlukan dalam sebuah kehidupan.
Gap year atau tahun rehat saya didorong oleh masa yang diperlukan untuk permohonan mengikuti program siswazah Doktor Falsafah (PhD). Saya yakin dengan cita-cita saya untuk mendapatkan ijazah PhD sejak saya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana. Walau bagaimanapun, jalan untuk mendapatkan tawaran PhD tidak semudah seperti memperolehi tawaran mengikuti program ijazah sarjana. Pemohon dikehendaki menulis cadangan penyelidikan yang teliti dengan topik unik yang boleh meyakinkan bakal penyelia untuk menyelia projek. Malangnya saya telah gagal dalam permohonan PhD pertama saya pada tahun 2022. Kegagalan itu telah membawa kepada perubahan rancangan. Saya kemudiannya telah memutuskan untuk mendapatkan pengalaman bekerja. Pekerjaan pertama saya ialah sebagai perhubungan pelabur di syarikat perhubungan awam. Di situlah saya mendapati diri saya tidak dapat mengimbangi kerja, sementara perlu menulis semula cadangan penyelidikan. Akhirnya, saya telah memutuskan untuk mengambil tahun rehat pada tahun 2023.
Lawatan keluarga ke Dresden
Tahun rehat saya bermula dengan perjalanan pulang ke kampung halaman di Jerman, untuk melawat ibu bapa saya. Di sana, saya menemui ‘tempoh rehat’ yang sangat diperlukan. Angin musim sejuk, pasar Krismas, dan cahaya hangat di Altmarkt Dresden, Semperoper, dan di tepi Sungai Elbe telah mengubati jiwa saya ke dalam proses penyembuhan. Di situ saya memperlahankan langkah menikmati momen kehidupan melalui irama muzik secara langsung, melihat senyuman di wajah orang lain, dan menghargai musim perayaan. Tahun 2023 berakhir dengan projek berpindah rumah keluarga saya. Selepas 13 tahun, keluarga saya telah memutuskan untuk kembali berpindah ke tanah air iaitu di Pulau Pinang.
Permohonan PhD dan keluarga
Permohonan PhD saya bermula sejurus selepas kami selesai berpindah rumah kembali ke Pulau Pinang. Tahun rehat (gap year) ini menjadi peluang yang baik untuk saya meluangkan masa sepenuhnya bagi menumpukan perhatian semula pada permohonan PhD. Proses ini mengambil masa selama lebih kurang dua bulan untuk diselesaikan – pembacaan literatur, merangka cadangan penyelidikan, menghubungi penyelia yang berpotensi, menghantar permohonan dan menjalani temuduga. Dalam tempoh ini, bukan sahaja saya dapat pengalaman bekerja dalam usaha untuk mencapai cita-cita saya, saya juga mempunyai masa yang cukup untuk mengenali semula bandar baru saya, iaitu Pulau Pinang. Selain itu, saya juga mempunyai masa yang berkualiti untuk bersama keluarga, terutamanya ibu bapa dan menziarahi datuk serta nenek saya. Sejak berada di universiti, saya merantau jauh menuntut ilmu di UK jarang sekali dapat menghabiskan, masa bersama ibu bapa yang menetap di Jerman jauh sekali dapat melawat datuk nenek di Malaysia. Secara kebetulan, tahun ini juga merupakan tahun di mana saya kehilangan nenek dan datuk. Tempoh rehat ini sedikit sebanyak menyedarkan saya, kita sering mengejar hal-hal lain walhal peruntukan masa kualiti bersama keluarga juga tidak boleh diabaikan.
***Pertumbuhan Peribadi***
Tahun rehat (gap year) merupakan peluang untuk pertumbuhan peribadi. Keluar dari suasana akademik atau pekerjaan membolehkan saya fokus pada refleksi diri, hobi baru, dan disiplin diri. Pada Jun 2024, saya memulakan lawatan selama dua bulan mengunjungi bandar-bandar dan pekan-pekan seperti ke Canterbury, York, Saltburn, Nottingham, London di U.K.; Dresden di Jerman dan Singapura. Ketika ini juga saya menerima keputusan bahawa permohonan PhD saya gagal buat kali kedua. Sedih mengenangkan permohonan saya ditolak tetapi mujurlah ketika melancong di Eropah, saya bertemu dengan beberapa orang rakan yang sedang mengikuti program siswazah Doktor Falsafah (PhD). Mereka menasihatkan saya agar tidak berputus asa dan menjentik semula semangat saya untuk memohon. Terfikir sejenak mungkin saya kekurangan pengalaman dalam penyelidikan menyebabkan permohonan research proposal saya tidak diterima. Biarkan dulu, teruskan saja dengan tempoh rehat meneroka dunia bersantai-santai sambil refleksi diri. Menghadapi persekitaran baharu, menyelami budaya dan berdepan dengan cabaran tertentu membawa kepada penemuan diri – kematangan yang lebih besar, kebolehan menyelesaikan masalah, dan perspektif kehidupan yang lebih luas.
Pembangunan Kemahiran
Tahun rehat (gap year) adalah peluang untuk pembangunan kemahiran. Untuk meneroka kerjaya masa depan saya sepanjang tempoh rehat ini, saya telah memanfaatkannya sepenuhnya untuk membina kemahiran dan mempertingkatkan pengalaman kerja dengan mengikuti kursus bahasa Jerman sambil mendapatkan pengalaman langsung dalam sebuah badan pemikir penyelidikan. Saya menyertai pasukan Penang Monthly di Penang Institute sebagai seorang intern. Di sini, saya cuba mendalami pemahaman tentang kerja penyelidikan dalam sebuah badan pemikir sebagai persediaan untuk permohonan mengikuti program siswazah saya yang ketiga. Tahun rehat bukan sekadar rehat dari rutin harian; ia adalah masa untuk menyegarkan diri, menumpukan semula perhatian, dan mencari semula apa yang benar-benar memberi motivasi dan inspirasi kepada saya. Sama ada ketika mengembara ke bandar-bandar atau pekan-pekan kecil atau melakukan kerja sukarela dalam komuniti tempatan, tahun rehat adalah perjalanan pembelajaran yang amat bermakna kerana ia mengajar pelajaran yang tidak diajarkan dalam bilik darjah.
Tahun rehat saya belum berakhir tetapi apa yang pasti ia memberi ruang waktu menerokai dunia, memberi peluang kepada proses refleksi diri, dan pembangunan kemahiran. Bagi mereka yang pernah tidak pasti tentang hala tuju kerjaya, terutama pada usia muda, tahun rehat menawarkan kebebasan untuk meneroka bidang yang berbeza, berintern atau menjadi sukarelawan yang membantu menjelaskan matlamat dan minat jangka panjang.
Yi Xhuen, rakyat Malaysia yang dibesarkan di Jerman dan tamat pengajian sarjana di U.K., kini ingin meneroka tanah airnya, Malaysia. Setelah menghabiskan separuh hidupnya di luar negara, pada tahun 2024 dia bersama keluarga kembali ke Pulau Pinang.