Selayang pandang, kita memahami istilah keselamatan sebagai rasa selamat daripada sebarang gangguan yang boleh memudaratkan diri. Akan tetapi, bergantung kepada konteks, keselamatan juga boleh membawa pelbagai makna. Dalam konteks politik, kita akan bertemu dengan keselamatan dalam aspek sempadan. Bagi sesebuah negara yang berdaulat, keselamatan sempadan adalah sangat penting. Namun demikian, topik ini tidak selalu diberi perhatian.
Keselamatan sempadan atau garis keluar masuk bagi sesebuah negara adalah benteng awal bagi menghalang sebarang ancaman luar yang berupaya menjejaskan keselamatan — baik keselamatan manusia, makanan, ekonomi dan sebagainya. Kegiatan penyeludupan kontraban, barangan bersubsidi, penggubahan wang haram dan penyeludupan manusia adalah aktiviti yang sering mengancam keselamatan sempadan dan turut mengancam ekonomi sesebuah negara.
Peri penting keselamatan sempadan sudah terbukti di banyak negara. Di Turki dan Syria, kelemahan dalam kawalan sempadan di kedua-dua negara itu telah memudahkan pergerakan kumpulan pengganas Islamic State (IS) bagi menjalankan aktiviti keganasan mereka di Timur Tengah serta di pelbagai negara lain. Kesannya, wujud krisis pelarian. Malah, perang terhadap keganasan masih belum menemui titik noktahnya.
Jika diimbas kembali semasa kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menjadikan isu keselamatan sempadan Amerika Syarikat-Mexico sebagai modal dalam kempennya. Isu ini menjadi salah satu faktor kemenangan beliau dalam pilihanraya tersebut. Sudah jelas bahawa isu keselamatan sempadan bukanlah suatu isu yang remeh. Malahan, ia mampu mempengaruhi corak politik dan pentadbiran sesebuah negara.
Malaysia dan Cabaran Menjaga Sempadan
Dengan kedudukan geografi yang unik, Malaysia tidak terlepas daripada isu keselamatan sempadan, baik di darat, laut mahupun udara. Kegiatan jenayah rentas sempadan, pencerobohan nelayan asing di perairan negara, dan pencerobohan pesawat tentera asing ke ruang udara negara adalah sebahagian daripada isu keselamatan sempadan yang terpaksa dihadapi oleh Malaysia. Sehinggakan, terdapat anggota keselamatan terkorban di perbatasan demi mempertahankan keselamatan negara.
Namun, persamaan budaya dan talian persaudaraan yang wujud antara sebahagian kumpulan masyarakat di Malaysia dan negara-negara jiran menyebabkan isu keselamatan sempadan negara ini agak kompleks dan memerlukan penelitian mendalam. Pertalian yang wujud — khususnya di negeri-negeri Perlis, Kelantan, Sarawak, dan Sabah — menguatkan lagi kegiatan rentas sempadan.
Sebagai contoh, ketika insiden pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013, kebanyakan suspek pengganas yang ditangkap pihak keselamatan mempunyai pertalian darah dengan penduduk tempatan. Lebih mengejutkan, penduduk tempatan ini yang memberi maklumat dan perlindungan kepada suspek pengganas tersebut. Perkara sebegini sukar untuk dihalang. Sekiranya dihalang, ianya seperti menghalang hak individu untuk bersama dengan keluarganya sendiri.
Hakisan tembok politik yang ditembung tuntutan budaya ini telah membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan ancaman keselamatan terhadap Malaysia. Dengan menggunakan alasan kekeluargaan sebagai contoh untuk menyeberangi sempadan, mereka melakukan aktiviti seperti penyeludupan dadah, penyeludupan kontraban dan lain-lain lagi. Jika dibiarkan terjadi, Malaysia akan mengalami pelbagai konflik pada masa hadapan yang sekali gus akan memburukkan imej negara.
Tugas menjaga keselamatan sempadan bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya hadir dengan pelbagai cabaran rumit sehingga menuntut pengorbanan nyawa. Meskipun pasukan keselamatan dan agensi kerajaan lain tetap melaksanakan tugas mereka, kekurangan kelengkapan yang moden dan jangka hayat aset dan peralatan milik pasukan keselamatan yang berusia merupakan cabaran yang perlu dihadapi dalam memelihara keselamatan sempadan.
Perkara ini bukan sesuatu yang asing tetapi sudah berlarutan sejak sekian lama. Aset yang usang — seperti yang dapat dilihat daripada usia beberapa buah kapal laut milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) — ini telah merencatkan keberkesanan operasi untuk mengawal sempadan negara. Lebih parah, pasukan keselamatan kekurangan peralatan yang canggih dan moden bagi menjalankan tugas kawalan sempadan dengan lebih efektif. Kesannya, aset sedia ada dikerah semahunya hingga mendatangkan kerosakan.
Selain daripada kewujudan banyak “lorong tikus” yang tidak mampu dikawal, kerendahan tahap integriti pihak yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan sempadan juga menjadi cabaran yang sangat getir. Setiap tahun, masyarakat pasti akan disajikan dengan berita berkaitan gejala rasuah yang melibatkan pihak keselamatan sempadan, seperti menjadi satu kewajipan bagi kita untuk mendengar berita sedemikian setiap tahun.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengekang gejala rasuah. Namun semuanya hanya sia-sia. Perbuatan tidak bermoral ini akan memperlihatkan kepada musuh bahawa negara kita mudah untuk dicerobohi dengan hanya menaburkan wang ringgit kepada pengkhianat negara. Bukankah perkara sebegini sangat menakutkan?
Tanggungjawab Bersama
Namun demikian, usaha memelihara keselamatan sempadan bukanlah tugas yang mudah, ianya hadir dengan pengorbanan dan juga air mata. Tanggungjawabnya juga bukan semata-mata terletak di bahu kerajaan. Masyarakat juga perlu bertanggungjawab dalam perkara ini. Sikap masyarakat yang turut bersekongkol dan menjadi tali barut penyeludup dan penjenayah rentas sempadan telah memberikan cabaran kepada usaha pemeliharaan keselamatan sempadan.
Akhbar Berita Harian bertarikh 22 Jun 2021 pernah melaporkan, terdapat golongan nelayan di perairan utara Malaysia menjadi tali barut membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini. Sekiranya negara ini terancam kerana perbuatan mereka, sudah tidak guna lagi untuk menyesali perbuatan khianat sebegini. Harga bagi sebuah keamanan amatlah mahal dan kerana itulah kita perlu memelihara keamanan yang dikecapi sekarang.
Tidak seharusnya kita memandang keselamatan sempadan ini secara bermusim. Sebaliknya kita perlu terus memikirkan langkah yang wajar dan bersifat jangka panjang supaya kejadian tidak diingini dapat diatasi pada masa akan datang.
Lokman Redzuan merupakan seorang Pembantu Penyelidik/Pentadbiran di Penang Institute. Bidang kajian beliau adalah keselamatan sempadan, dasar luar negara, jenayah rentas sempadan dan polisi keselamatan.
Gambar oleh Jannik Kiel (Unsplash)