Menurut laporan Bank Dunia (2023), ringgit telah mengalami trend penurunan sebanyak 5.2 peratus berbanding dolar Amerika dari 1 Januari sehingga 24 Ogos 2023, berikutan peningkatan kadar faedah yang dilaksanakan oleh sistem bank pusat Amerika Syarikat (Federal Reserve). Dasar ini dilaksanakan bagi mengatasi masalah inflasi yang tinggi di negara itu. Keadaan ini mendorong aliran masuk modal pelaburan ke Amerika Syarikat, yang seterusnya meningkatkan permintaan dan nilai tukaran dolar Amerika berbanding mata wang lain termasuk ringgit. [1]
Kejatuhan nilai ringgit bukanlah fenomena baharu. Terdapat dua episod besar kejatuhan nilai ringgit dalam dekad yang lalu. Episod pertama berlaku pada tahun 2014 hingga 2016, dan episod kedua berlaku sejak tahun 2021 (Rajah 1). Episod kedua berlaku disebabkan kadar faedah yang kian meningkat di Amerika Syarikat. Namun, episod sebelumnya pada tahun 2014 hingga 2016 disebabkan oleh faktor yang berbeza iaitu harga minyak dunia yang rendah dan aliran keluar modal dari Malaysia. [2]
Kesan terhadap isi rumah
Nilai ringgit yang lemah boleh meningkatkan kos sara hidup dan menghakis kuasa beli isi rumah. Isi rumah yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap barang dan perkhidmatan import akan paling terkesan oleh kejatuhan nilai ringgit. Nilai ringgit yang jatuh akan menyebabkan barang import menjadi lebih mahal, oleh itu pengguna perlu membayar harga yang lebih tinggi bagi barang dan perkhidmatan yang sama berbanding sebelum kejatuhan nilai ringgit. Sebagai contoh, akan berlaku peningkatan harga barang makanan import seperti daging dan sayur-sayuran. Tambahan pula, kini kebanyakan barangan melibatkan bahan-bahan import dalam proses pembuatan, dan ini juga akan menaikkan kos pengeluaran. Menurut analisis Bank Dunia, kejatuhan nilai ringgit boleh menyebabkan peningkatan kos sara hidup kerana harga barang dan perkhidmatan import dalam perbelanjaan pengguna mengalami kenaikan.[3] Namun begitu, kenaikan harga barang dan perkhidmatan dapat dikawal dengan adanya subsidi dan dasar kawalan harga.
Kesan terhadap perniagaan dan pembolehubah makroekonomi
Kesan penurunan nilai ringgit terhadap perniagaan sangat bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan. Sebagai contoh, perniagaan yang banyak menggunakan barang import untuk tujuan pengeluaran akan merasai kesan langsung daripada penurunan nilai ringgit. Ini kerana kos pengeluaran akan meningkat apabila harga barang mentah yang diimport naik berbanding sebelum kejatuhan nilai ringgit.
Peningkatan harga barang import ini bukan sahaja memberi kesan kepada perniagaan, tetapi juga kepada nilai import dan inflasi. Permintaan yang berkurang terhadap barang import dari Malaysia boleh menyebabkan nilai import menurun. Sementara itu, inflasi berlaku kerana peningkatan harga barang import.
Sebaliknya, perniagaan yang mengeksport barangan akan mengalami kesan yang berbeza. Penurunan harga barang eksport dari Malaysia disebabkan oleh penurunan nilai ringgit mendorong peningkatan permintaan terhadap barang buatan Malaysia di pasaran global. Ini boleh meningkatkan pendapatan bagi perniagaan eksport.
Permintaan yang meningkat terhadap barang buatan Malaysia boleh menyebabkan nilai eksport meningkat. Akibatnya, imbangan dagangan Malaysia akan mengalami peningkatan atau lebihan disebabkan oleh kenaikan jumlah nilai eksport dan penurunan nilai import.
Kesan terhadap aliran modal
Faktor-faktor seperti keadaan politik dan ekonomi, termasuk nilai mata wang dan kadar faedah, mempengaruhi aliran modal sesebuah negara. Aliran modal ini boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pelaburan langsung asing dan pelaburan portfolio asing.
Nilai mata wang dan kadar faedah mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pelaburan portfolio. Fenomena ini dikenali sebagai “hot money,” iaitu apabila para pelabur memindahkan dana pelaburan mereka dari satu negara ke negara lain yang menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi atau terdapat jangkaan perubahan dalam nilai mata wang.
Pelaburan jenis ini biasanya dilakukan untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek. Jika nilai ringgit dijangka jatuh, para pelabur akan memindahkan dana pelaburan mereka ke negara yang mata wangnya dijangka akan naik. Akibatnya, ringgit yang lemah boleh menyebabkan aliran keluar modal dari negara ini.
Kesan terhadap Pulau Pinang
Ekonomi Pulau Pinang bergantung kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan, dan pada tahun 2022, kedua-dua sektor ini menyumbang sebanyak 95 peratus kepada Keluaran
Dalam Negeri Kasar (KDNK) (2021: 94.7%). Industri elektrikal dan elektronik (E&E) memainkan peranan penting dalam sektor pembuatan dan eksport import negeri. Kejatuhan nilai ringgit boleh membawa kesan kepada eksport dan import. Namun begitu, semikonduktor dan industri elektronik lebih dipengaruhi oleh situasi global. Fasa kitaran upcycle dan downcycle semikonduktor mempengaruhi industri ini dan juga nilai eksport.[4]
Selain itu, semikonduktor terdedah kepada keadaan geopolitik (ketegangan antara Amerika Syarikat dan China). Perang cip Amerika Syarikat dan China membuka peluang kepada negara-negara lain dalam industri ini seperti Malaysia, dan Pulau Pinang khususnya menerima manfaat daripada situasi ini.[5] Di samping itu, industri semikonduktor telah menjadi semakin penting pada masa ini. Peranti semikonduktor, komponen yang penting dalam litar elektronik ini bukan sahaja digunakan dalam telefon dan komputer malah kereta, infrastruktur grid elektrik, mesin basuh serta perkembangan 5G dan artificial intelligence (AI).
Peranan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menstabilkan ringgit
Matlamat utama BNM adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.[6] Dalam aspek mata wang, Malaysia mengamalkan sistem kadar pertukaran terapung (flexible exchange rate), iaitu nilai ringgit ditentukan oleh pasaran. Walaupun sistem kadar pertukaran terapung diamalkan, BNM akan melakukan intervensi dalam pasaran tukaran mata wang asing sekiranya perlu bagi menstabilkan nilai ringgit.[7] Kaedah ini dilakukan dengan membeli semula ringgit. Namun begitu, terdapat kekangan dalam melaksanakan kaedah membeli semula ringgit kerana memerlukan rizab mata wang asing yang besar. Kaedah ini adalah bersifat jangka masa pendek dan tidak dapat dilaksanakan secara berterusan.
Kejatuhan nilai mata wang bukan hanya dialami oleh Malaysia. Keadaan ini adalah fenomena global yang turut dirasai oleh negara lain seperti Korea Selatan, Filipina, Thailand, dan Jepun. Prestasi ringgit yang turun naik bukanlah gambaran sebenar keadaan ekonomi Malaysia. Yang lebih penting adalah Malaysia mempunyai fundamental yang kukuh dalam memacu ekonominya.
Azmil adalah lulusan dari Universiti Malaysia Sabah dengan Ijazah Sarjana Ekonomi dan Sarjana Muda Ekonomi (Ekonomi Sumber Manusia). Bidang penyelidikannya adalah makroekonomi dan ekonomi kewangan.
Rujukan:
[1] World Bank. (2023b). “Raising the Tide, Lifting All Boats” Malaysia Economic Monitor (October). World Bank, Washington, DC.
[2] World Bank. (2023b). “Raising the Tide, Lifting All Boats” Malaysia Economic Monitor (October). World Bank, Washington, DC.
[3] World Bank (2023a). “Expanding Malaysia’s Digital Frontier” Malaysia Economic Monitor (February). World Bank, Washington, DC.
[4] Kumakura, M. (2005). Is the Yen/Dollar Exchange Rate Really Responsible for East Asia’s Export and Business Cycles? A Commentary on McKinnon and Schnabl (2003). The World Economy, Volume 28 (Issue 10), 1509–1537. https://onlinelibrary.wiley.com/doi/10.1111/j.1467-9701.2005.00745.x
[5] Financial Times. (2024, March 10). Malaysia: the surprise winner from US-China chip wars. Financial Times. https://www.ft.com/content/4e0017e8-fb48-4d48-8410-968e3de687bf
[6] Bank Negara Malaysia. (2021). Peranan Bank. https://www.bnm.gov.my/documents/20124/3026128/ar2020_bm_ch1_ourrole.pdf
[7] Bank Negara Malaysia. (2023, June 27). Statement by the Financial Markets Committee on the Ringgit Foreign Exchange Market. https://www.bnm.gov.my/-/fmc-stmt-jun2023#:~:text=%E2%80%9CAs%20per%20its%20statutory%20mandate,movements%20that%20are%20deemed%20excess-ive.