Ramadan tahun ini, kita masih berjaga jarak, masih harus berwaspada. Meskipun tidak sebebas dulu, Ramadan tahun ini sekurang-kurangnya mampu menguntumkan senyum buat ibu bapa, kaum keluarga, dan merpati cinta. Setelah dua musim Ramadan kita disekat seri dan luhurnya, Ramadan kali ini disambut dalam kerangka berbeza. Tiada lagi sekatan di jalan raya, tiada lagi wajah si ibu yang bermuram durja merindui hangat tubuh anaknya. Perlahan-lahan, dunia kembali memulihkan dirinya. Perlahan-lahan, kerinduan pada suasana Ramadan mulai sirna.
Menjalani ibadah puasa pada musim pandemik, ia tidak hanya berkisar tentang menahan lapar dan dahaga semata-mata, tetapi juga harus menahan rindu tidak bertemu mereka yang selama ini ada di dalam ruang memori bulan puasa. Ada yang bertahun lamanya terpisah oleh negara dan benua, langsung membibitkan kerinduan yang tidak berhasil diterjemah oleh kata-kata.
Ada apa dengan rindu pada bulan Ramadan?
Di bawah terik matahari di sebuah pekan kecil, di sempadan Negeri Kedah, Perak, dan Pulau Pinang, saya belajar memaknai Ramadan dalam ruang lingkup ciptaan sendiri. Saya memerhati dan menyelami erti Ramadan mengikut definisi gadis kecil yang sentiasa mempersoal itu dan ini. Pada usia itulah, saya mula mengenali Ramadan sebagai bulan yang sangat memenatkan dan menakutkan, tetapi juga menggembirakan pada masa yang sama. Apa tidaknya, kehadiran Ramadan saban tahun itu bermakna tidak lain dan tidak bukan akan disusuli oleh hari yang lebih istimewa – Lebaran Eidulfitri.
Semasa kecil, tiada yang dapat menandingi rasa gembira daripada mendapat persalinan baju dan sepatu baru, dan juga keghairahan mendapat sampul beraneka warna yang di dalamnya terselit not-not biru, hijau, dan merah. Ah, meskipun terpaksa berhempas-pulas menahan lapar dan dahaga selama sebulan lamanya, bergaya pada pagi Hari Raya, merakam detik kenangan bersama sanak saudara di desa, bertukar-tukar cerita – itulah definisi kegembiraan pasca Ramadan bagi kami, sekurang-kurangnya bagi saya dan teman sepermainan. Bagi kami, di suatu sudut di pekan kecil itu, Ramadan adalah syarat untuk merayakan hari yang lebih gembira dan bermakna.
Mendewasa, saya akhirnya percaya bahawa Ramadan bukan sekadar bulan untuk melatih manusia untuk merasa kecukupan dalam kesederhanaan, tidak sekadar menguji iman dan kesabaran sesama insan. Di suatu sisi, Ramadan mengajar untuk menumbuh subur kerinduan yang tidak bertepi pada sebuah kehilangan.
Di sebalik kegirangan menyambut hadirnya Ramadan, hakikatnya ada terselit sebuah kerinduan pada nama-nama yang pernah bersama kita dalam menghidupkan Ramadan suatu ketika dahulu, namun kini tidak lagi ada untuk memuliakannya. Hakikatnya, Ramadan tahun ini tidak akan pernah sama dengan Ramadan yang berlepas di musim-musim lalu. Virus dan pandemik hanyalah asbab terjadinya kehilangan, kisah-kisah pengakhiran antara manusia yang terperangkap di dalam jaring-jaring masa yang memisahkan dua dunia.
2020-2021. Tahun-tahun kehilangan.
Dua puluh empat purnama – itulah tempoh masa seluruh umat manusia dipaksa menerima hakikat yang dunia hanyalah tempat persinggahan semata-mata. Hampir setiap hari kita melihat dan mendengar berita keberangkatan mereka yang terpilih ke negeri abadi. Begitu sahaja dalam sekelip mata, manusia-manusia kehilangan seluruh kehidupannya.
Detik terakhir mereka tidak dikelilingi kaum keluarga, perjalanan terakhir mereka juga tidak seindah seperti yang didoa. Tiada kucupan terakhir, tiada ruang masa untuk berduka sebelum jasad dikembali ke tempat asalnya. Yang ada cuma air mata yang deras mengalir, jiwa-jiwa yang tersinggung pedih. Dipilih untuk diuji dengan dugaan yang telah mengubah seluruh kehidupan. Adakala jiwa berdetik, “…mungkin selepas ini adalah giliran saya, atau si dia”.
Begitulah dekatnya kita semua dengan kematian.
Pada usia kecil, saya melihat kematian adalah sesuatu yang menakutkan. Manusia berhenti bersukacita, berhenti mencintai dan menyayangi, berhenti dari hidup apabila jantung terhenti. Kematian sering kali hadir secara tiba-tiba, justeru meranapkan segala-gala yang ada di laluannya. Kisah cinta, impian, dan harapan terlebur begitu sahaja, pada saat mata terpejam buat selamanya. Lalu tanpa sedar, soalan yang sama sering kali bergema: “untuk apa kita mulai sesuatu jika itu akan berakhir? Untuk apa hidup jika akhirnya kita akan mati?”.
Hakikatnya, di sebalik cerita-cerita kepulangan bertemu ibu bapa, cinta dan kesayangan pada akhir Ramadan nanti, ada yang mudik mereka kelak hanya untuk disambut ruang kosong yang sunyi, yang dicari hanya tanah kuburan yang sepi. Yang ada untuk memujuk hati hanya kata yang bergelar “takdir”. Tidak kurang juga yang enggan kembali ke desa kerana luka dan kecewa itu masih segar di dada. Akhirnya memilih untuk memperjauh langkah dan berpura-pura terlihat baik-baik sahaja di tengah-tengah manusia.
Maka ketahuilah, pada Ramadan kali ini, ada jiwa-jiwa yang terasing sepi. Ada yang merindui memori disuapi si ibu, ada yang merintih agar diberi peluang terakhir untuk bertemu, untuk pulang ke masa lalu. Ada yang menyisih diri kerana mahu memaksa tahan rindu itu daripada kembali. Ada di antara mereka yang sudah lupa bagaimana caranya untuk tertawa kerana Ramadan tidak lagi sama buat mereka.
Sungguh, kehilangan oleh kematian itu sangat melelahkan.
Semakin menginjak usia, saya akhirnya akur tentang peritnya akan sebuah pengakhiran, namun di baliknya ada terselit hikmah dan harapan. Kematian tidak lagi berkisar tentang detak jantung yang berhenti kali terakhir. Hakikatnya, ia adalah suatu proses yang memaksa kita untuk mendewasa, untuk terus gembira di dalam luka dan duka. Pedih, sakit, dan kecewa itu biasa dan harus ditelan sahaja pahitnya. Layangan rindu yang hadir pada Ramadan, bukanlah rindu yang mengguris perasaan, namun ia adalah manifestasi keutuhan sebuah perhubungan, yang walaupun sudah terpisah dunia, terlerai janji antara jasad dan nyawa, memori bersama mereka tetap akan disimpan rapi di ruang ingatan, selamanya.
Untuk jiwa-jiwa yang memilih untuk menutup hati pada Ramadan kali ini, kalian merasakan bahawa kematian itu adalah perpisahan abadi. Tidak akan pernah mendengar lagi suara yang kita cintai, tidak akan mampu menyentuh tubuh yang kita kasihi, tidak akan ada peluang lagi menatap mata yang kita sayangi. Namun, kita terlupa bahawa kematian itu adalah awal perjalanan bertemu Tuhan yang Maha Hidup. Keberangkatan mereka adalah manifestasi bahawa kehidupan ini tidak kekal selamanya. Kematian juga hakikatnya bukanlah “tiada apa-apa” – kekosongan dan kelupaan, tetapi ia hanyalah transisi dari dunia ke dunia yang lebih kekal, lebih abadi. Dengan berlalunya dunia, moga-moga syurga adalah sebaik-baik pengakhiran mereka, dan kita.
Sudah terencana, hidup ini penuh dengan pertanyaan tentang misteri kelahiran dan kematian, permulaan dan pengakhiran. Ia membuktikan bahawa yang terkuat bertahan juga ada batas waktunya. Sampai detiknya, menerima akhir keberadaan diri adalah jawapan. Bersama alur kenangan, ia membawa seribu makna, pengalaman, dan pengertian akan sebuah aturan kehidupan. Bahkan, itu yang mengajar kita untuk menjadi dewasa dalam segala penerimaan.
Sesungguhnya, Ramadan kali ini adalah mengenai mereka – tentang yang meninggalkan dan ditinggalkan. Pada titik-titik akhir Ramadan, ada yang hanya mampu mengutip cebisan-cebisan rindu untuk diukir menjadi rantaian kenangan, sebagai bekal mengharungi badai kerinduan pada masa depan.
Ramadan; seperti musim-musim yang lalu, tidak pernah sesekali ia curang dengan manusia. Hadirnya tidak pernah cepat sesaat, tidak pernah lewat dalam taat. Meskipun diibaratkan dengan bulan yang penuh dengan ujian dan dugaan, kehilangan dan perpisahan, tetapi hadirnya juga umpama penyejuk di tengah gersangnya kehidupan. Sebelas bulan kita terlarut oleh hiruk-pikuk duniawi dan sandiwara sesama insan, dianugerahkan satu bulan yang penuh dengan harapan, pengampunan, dan pembebasan. Pada akhirnya, kita akan berterima kasih di atas segala ketetapan.
Selagi ada masa; selagi ada waktu.
Ucaplah kata sayang; hitunglah setiap pertemuan.
Sebelum berangkatnya kehidupan kepada keabadian.
Ainis Azreen merupakan seorang penulis yang sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah di Universiti Utara Malaysia. Seorang yang optimis kepada perubahan, dan gemar menyusun peristiwa-peristiwa dari hakikat pengalaman.