SEDARI dulu lagi daripada muzik rakyat tradisional Cina Malaysia hinggalah kepada jazz moden, Pulau Pinang telah menjadi pentas kepada pelbagai genre muzik. Seperti bentuk seni yang lain, seni muzik berkembang dan berubah seiringan dengan masa, bergantung kepada sokongan dan minat dari para penggemar dan penontonnya.
Perkara yang menarik tentang muzik ialah kemampuannya untuk dijadikan sebagai kerjaya seni. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas di Pulau Pinang, khususnya dalam apa yang dikenali sebagai “dunia gig” dalam bahasa harian— Di sini persembahan muzik menghidangkan lagu-lagu popular (yang sering dikenali sebagai “40 Hits Paling Popular”) menjadi tarikan utama selama tiga jam. Seorang pemuzik gig akan muncul pada malam hari untuk menyajikan persembahan rutin mereka tanpa memerlukan variasi dalam persembahan mereka sambil mengumpulkan bayaran. Sementara tempat persembahan pula menuntut pemuzik mematuhi pilihan lagu dan gaya muzik tertentu, kekadang menyebabkan penyampaian muzik menjadi monoton dan kurang menarik. Tetapi tempat persembahan tetap mahukan cara begitu. Mereka ingin aksi muzik yang dapat memenuhi jangkaan penonton untuk memastikan penonton akan kembali untuk menikmati persembahan mereka lagi.
Untuk menjadikan muzik sebagai satu bentuk seni yang sentiasa berkembang, penerokaan muzik dan ekspresi diri harus digalakkan. Ruang-ruang yang sesuai perlu diwujudkan. Walaupun ruang-ruang sebegini amat sedikit bilangannya, ruang seperti ini sememangnya wujud di sekitar Pulau Pinang.
Salah satu penyokong utama seni dan muzik ialah Hin Bus Depot. Pada hujung minggu, pasar komuniti mingguan, Pasar Hin berlangsung bersama-sama perniagaan kecil dan sederhana yang beroperasi di dalam kawasannya.
Di Pasar Hin, pemuzik tempatan Pulau Pinang berpeluang membuat persembahan, Artis-artis daripada genre muzik yang berbagai-bagai tampil untuk membuat persembahan di Hin Bus Depot: akustik folk, jazz, rock dan RnB, dan sebagainya. Menurut laman webnya, Hin mahu menyokong dan mempamerkan karya artis dan pakar kreatif dalam laluan kerjaya mereka, dan inilah caranya mereka menyokong kreativiti dan bakat pemuzik.
Vokalis berpengalaman, Wendy Tan, berkata, “saya berharap agar dapat terus membuat persembahan di Hin Bus Depot; komuniti di sini sentiasa menyokong muzik memberi kebebasan untuk saya berkreatif. Bukan mudah untuk mendapat sokongan dari peminat. Tak tergambar betapa seronoknya bila berada di sana bila dapat membuat persembahan dengan kumpulan saya, The Wild Marigolds, selain berpeluang berkolaborasi dengan pemuzik-pemuzik lain seperti Spunk Unit, On Curfew, dan Instyle Pockets.”
“Pasar Hin telah mewujudkan ruang yang sesuai untuk berkreatif, ramai yang datang dari pelbagai pelosok untuk berkongsi minat dan menonjolkan bakat dan ini penting untuk kelangsungan seni dan muzik Pulau Pinang,” katanya.
“Acara-acara diuruskan oleh Hin Bus termasuk persembahan kumpulan muzik secara “live-band”, yang mana ia memberi kami pendedahan dan peluang untuk mempamerkan muzik kami dan bertemu dengan pemuzik-pemuzik terkenal,” kata Jacob Nair, seorang pemain drum yang mula cuba untuk berjinak-jinak dalam industri muzik kreatif. Jacob mula menyertai persada muzik tempatan Pulau Pinang setahun lalu dan merupakan pemain dram untuk kumpulan indie, Pickmystrings.
***
Pemuzik baru yang ingin memulakan langkah dalam industri muzik seringkali berdepan dengan cabaran, sama ada sebagai penyanyi-penulis lagu atau sebagai pemain muzik gig pada waktu malam. Meneroka jalan kerjaya yang jarang ditempuh oleh kebanyakan orang, begitu sukarnya mencari peluang serta ruang untuk menunjukkan bakat pada peringkat awal kerjaya.
Makanya, konsep mikrofon terbuka (open mic) inilah ruang selamat di mana individu berpeluang mempamerkan bakat di khalayak ramai. Pemain muzik mikrofon terbuka diberikan slot masa yang ditetapkan. Mereka boleh tampil membuat persembahan, mengasah bakat mereka tanpa sebarang sekatan pada genre muzik. Menurut Michael Andrews dari Penang Open Mic, “inisiatif seperti ini membuka peluang kepada penyanyi dan pemuzik mengembangkan diri, memperluaskan rangkaian menjalin hubungan dengan komuniti muzik yang lain. Dengan sokongan komuniti yang kukuh, konsep mikrofon terbuka secara langsung dapat mempromosikan bakat-bakat tempatan dan mendorong pertumbuhan industri muzik di Malaysia”.
Walaupun pemuzik yang sememangnya sudah dikenali ramai sering diundang untuk menghiburkan tetamu, namun masih terselit ‘ruang-ruang’ memberi peluang kepada pemuzik baru yang begitu bersemangat untuk menunjukkan bakat mereka.
The Canteen di China House merupakan salah satu tempat yang menyediakan ruang lengkap untuk pemuzik baru di Pulau Pinang. Pada hari Ahad minggu pertama setiap bulan, pentas di The Canteen dibuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menunjukkan bakat muzik mereka. Mulai jam 10 malam, kumpulan muzik China House senantiasa sedia membantu pemuzik dalam sesi mikrofon terbuka untuk membuat persembahan. Jika berminat, anda boleh turut serta “jam” bersama kumpulan tersebut.
Jetty 35, satu lagi ruang terbuka yang tertumpu kepada gabungan seni tradisional dan kontemporari membuka peluang kepada pemuzik. Diuruskan oleh penyanyi-penulis lagu tempatan, Evvone, Jetty 35 sering dikunjungi oleh pelajar-pelajar sekitar Pulau Pinang yang ingin membuat persembahan. Untuk mengetahui jadual persembahan terbaru di Jetty 35, anda boleh mengunjungi halaman Instagram resmi Evvone, @eevonesofcial.
Ruang ‘mikrofon terbuka’ adalah penting untuk membantu perkembangan kerjaya pemuzik. Tanpa platform ini bakat-bakat muda sukar untuk bersinar, pertumbuhan industri muzik tempatan mungkin terbantut kerana kekurangan peluang untuk mereka menunjukkan kebolehan dan mendapatkan pendedahan. Untuk memastikan seni muzik kita terus berkembang dan aktif, kita memerlukan lebih banyak platform seperti Open Mic Penang dan ruang-ruang seperti Hin Bus Depot, The Canteen, dan Jetty 35.
Ruang-ruang sebegini memainkan peranan penting dalam sokongan kepada muzik live-band yang telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat kita. Mereka membantu membentuk sebuah komuniti yang menghargai dan memahami nilai sebenar bakat muzik. Tambahan pula, ruang-ruang seperti ini memberikan pengalaman baru kepada penonton yang ingin mendengar muzik baru daripada lagu-lagu popular yang sudah biasa mereka dengar, seperti “Hotel California”.
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel hasil pena Issac Ho (2024). Penang Offers Spaces for Musicians to Dare to Grow. Penang Monthly, February Issue. Issac Ho merupakan seorang penyanyi, pencipta dan penulis lirik dari Pulau Pinang. Di waktu santai, dia ditemui tampil membuat persembahan di pelbagai lokasi di sekitar Pulau Pinang. Dia gemar memainkan lagu-lagu hasil ciptaannya dan lagu-lagu yang popular pada zaman kecilnya.
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Issac Ho (2024). Penang Offers Spaces for Musicians to Dare to Grow. Penang Monthly, February Issue.
Issac Ho merupakan seorang penyanyi dan pencipta lagu dari Pulau Pinang. Pada waktu terluang, dia membuat persembahan muzik di ruang-ruang selesa di sekitar Pulau Pinang, memainkan lagu-lagu hasil ciptaannya dan lagu-lagu nostalgia yang enak didengar sewaktu kecil.