Bak kata pepatah, air yang dicincang tidak akan putus. Begitu yang terjadi dalam keluarga—apa lagi dalam sebuah keluarga biologi. Biarpun sekali-sekala bermasam muka dan bersengketa, ikatan kekeluargaan sentiasa kental dan sukar untuk putus. Namun, apakah itu benar? Sejak masuk ke usia dewasa, saya kerap sahaja mendengar keluhan ramai kenalan jauh dan dekat bahawa mereka lebih rapat dengan sahabat handai berbanding keluarga sendiri. Hal ini lebih-lebih lagi terjadi kepada mereka yang sedang berkonflik dengan anggota keluarga. Untung kalau memang ada keluarga yang tidak pernah bersengketa dan mampu berdialog antara satu sama lain dengan aman.
Jauh di mata, dekat di hati?
Jika diimbau kembali zaman kanak-kanak, musim perayaan menjadi satu peluang untuk bertemu semula dan mengambil peluang mengutip duit raya daripada sanak-saudara. Setiap kali tibanya Tahun Baru Cina, perasaan gembira menerpa kerana dapat bertemu dengan ahli keluarga yang pulang dari luar negara. Pada waktu dahulu, media sosial masih belum ada dan komunikasi sesama saudara hanya terjadi melalui telefon atau surat. Mungkin hubungan kita adalah lebih erat sebelum adanya media sosial. Kekurangan peluang atau wadah untuk mendapat khabar tentang keadaan hidup orang tersayang di kejauhan menjadikan kita semakin rapat.
Pada hari ini, walaupun Internet telah menjadikan komunikasi lebih pantas dan boleh terjadi di mana jua, ada harga yang perlu dibayar. Kepantasan yang dirasai sebaliknya mengurangkan perasaan rindu dan menjadikan kita mengambil mudah hubungan kekeluargaan. Di zaman media sosial seperti hari ini, kita berpusu-pusu memaparkan imej-imej sendiri. Namun, boleh dikatakan bahawa setiap imej yang dipaparkan itu sebagai sebuah gambaran yang disunting dan dipentaskan.
Bayangkan kalau masa yang diambil di Instagram atau TikTok digunakan untuk berbual secara bersemuka dengan sesiapa sahaja di sisi kita. Namun demikian, itulah yang terjadi, keutamaan biasanya diberikan kepada mereka yang berada di alam maya.
Lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang
Sebagai seorang dewasa, perasaan setiap kali berada dalam perhimpunan keluarga agak berbeza jika dibandingkan dengan zaman remaja atau kanak-kanak. Sewaktu kecil, semakin dekat hari perayaan, tumpuan di sekolah semakin hilang kerana terbayangkan keseronokan berkumpul dengan sepupu-sepapat yang hampir sebaya. Malah, perkara pertama yang dilakukan sebaik sahaja bangun pagi adalah dengan memangkah tarikh pada takwim, mengira hari untuk balik kampung, berjumpa dengan saudara-mara.
Semasa zaman remaja pula, perasaan teruja masih kekal tetapi untuk alasan yang agak berbeza. Pada usia remaja, perjumpaan keluarga menjadi peluang untuk membandingkan telefon bimbit terbaru atau berbual tentang permainan komputer mahupun selebriti kegemaran. Walaupun semua masih bersekolah, kami tidak akan berbincang mengenai pelajaran kerana ia dianggap topik yang skema. Pada usia remaja, semua ingin menampilkan imej yang paling bergaya, malah akan sentiasa memakai baju fesyen terkini.
Apabila sudah dewasa, keterujaan beralih kepada hal-hal yang lebih rasional, misalnya dalam menguruskan perkara logistik seperti menempah bilik hotel, menyantuni sanak-saudara, dan merancang permainan untuk kanak-kanak. Topik-topik yang diutarakan semasa berbual dengan saudara-mara juga selalunya agak serius dan sering menyentuh hal kerja, politik, ekonomi, dan kesihatan. Kadang-kadang, sekadar merancang untuk mengadakan perjumpaan keluarga sahaja sudah meletihkan.
Air dicincang tidak akan putus
Walaupun terdapat perubahan dalam topik perbincangan apabila berjumpa semula dengan saudara-mara yang tinggal berjauhan, tidak dapat dinafikan bahawa hubungan keluarga tidak boleh ditukar ganti. Sama ada hubungan tersebut mesra atau tidak, ia bergantung kepada cara setiap orang berkomunikasi dan berfikir. Biarpun ada saudara-mara yang sering cemburu dengan ahli keluarga lain, tetap ada yang turut menumpang gembira dan bangga atas pencapaian saudara-mara lain. Malah, banyak pertelingkahan keluarga berpunca daripada salah faham yang tidak pernah dibincangkan secara terbuka. Perkara sebegini amat berbahaya kerana konflik yang tidak diselesaikan mampu memecah-belahkan keluarga sehingga hubungan tidak dapat dibaiki semula.
Namun, keluarga sepatutnya menjadi sebuah institusi yang paling dekat dengan kita. Walaupun tidak berjumpa untuk berbulan atau bertahun lamanya, perasaan mesra akan muncul secara semula jadi, bagaikan tidak pernah berjauhan. Begitulah hubungan kekeluargaan yang sempurna dalam dunia ideal. Setiap kali terdapat perjumpaan keluarga, detik apabila berjumpa semula dengan saudara-mara, terutamanya dengan yang sudah berlanjutan usia merupakan cucuran rahmat Ilahi yang perlu dihargai.
Sekiranya terdapat satu pengajaran daripada wabak Covid-19, pengajarannya sudah pasti tentang betapa rapuhnya kehidupan ini, dan perlunya kita meluangkan masa bersama orang yang tersayang. Apabila batasan antarabangsa disekat untuk jangka masa panjang, ramai keluarga tidak dapat bersatu, malah ada yang tidak sempat melihat ahli keluarga terdekat untuk kali terakhir. Ada juga yang tidak dapat menyambut detik-detik gembira seperti kelahiran anak ataupun peristiwa penting seperti perkahwinan mahupun pengijazahan keluarga tersayang.
Ada hikmah di sebalik upaya berlapang dada apabila berdepan dengan sebarang pertelingkahan dengan ahli keluarga. Namun, saya juga tidak akan menafikan bahawa terdapat keadaan di mana perbalahan lebih bagus jika dibiarkan tanpa mencari jalan penyelesaian. Bagi saya, apabila berbicara tentang perjumpaan keluarga yang hanya terjadi setahun sekali, pertemuan sebegini adalah bagus untuk mengekalkan hubungan keluarga terutamanya bagi generasi akan datang. Hal ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengenal ahli keluarga sendiri dan memahami adat resan nenek moyang mereka. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Dr Beh May Ting merupakan penyelidik projek di Program Kajian Sejarah dan Serantau, Penang Institute. Beliau mendapat ijazah sarjana kedoktoran dalam bidang antropologi dari Monash University, Malaysia.