Penyu menyumbang kepada kesihatan dan produktiviti ekosistem terumbu karang dunia. Ia amat penting untuk keseimbangan ekosistem marin planet. Penyu boleh ditemui di seluruh dunia, di Asia Tenggara, dan juga di Malaysia. Biodiversiti Malaysia dianggap antara yang terkaya dengan flora dan fauna marin. Negara ini adalah rumah kepada empat daripada tujuh spesies penyu laut seperti penyu belimbing (Dermochelys coriacea), penyu sisik (Eretmochelys imbricata), penyu olive ridley (Lepidochelys olivacea) dan penyu hijau (Chelonia mydas). Kebanyakan spesies ini adalah species hidupan terancam yang perlu kita selamatkan, termasuk penyu belimbing ikonik, yang tergolong dalam kategori bahaya kepupusan tempatan. Dua jenis penyu khususnya adalah nadi pemeliharaan di Malaysia iaitu penyu hijau dan penyu sisik. Penyu laut misalnya berukuran sehingga 2 meter panjang dan berat merekodkan sekitar 950 kg. Mereka bertelur sekali atau beberapa kali setahun, pada waktu malam, di pantai manakala jangka hayat mereka ialah selama 40 tahun.
Ancaman kepada penyu di Malaysia
Punca utama ancaman kepada penyu-penyu di Malaysia ialah perubahan iklim dan pengaruh manusia melalui pencemaran plastik dan pemburuan.
Bedah siasat ke atas penyu mendedahkan kematian mereka adalah akibat tercekik dari tali pancing, tertelan kepingan plastik dan lain-lain lagi. Sharnietha, ahli Projek Penyu Juara menjelaskan, “Masalah dengan pembuangan plastik ialah kita tidak mempunyai cara untuk menghilangkannya. Satu-satunya jalan penyelesaian terbaik ialah mengurangkan penggunaan plastik”. Di premis persatuan itu, terdapat kepingan pukat dan sisa plastik di atas meja. Sisa-sisa plastik yang menyerupai obor-obor akan dimakan oleh penyu. Kisah tragis seperti ini diwar-warkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai. Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Marine Science, penyelidik mendedahkan bahawa terdapat serpihan plastik dalam saluran gastro usus mereka.
Telur dan daging penyu dikatakan mempunyai banyak kebaikan perubatan, tanpa sebarang bukti saintifik sebenar, ia dijual dengan harga yang mahal. Undang-undang Negeri Terengganu 2020 mengumumkan undang-undang baharu untuk mengharamkan penjualan telur penyu, satu langkah ke hadapan untuk melindungi spesies terancam ini. Di Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Pulau Pinang mengesa pihak berkuasa agar mematuhi amaran dan membuat usaha serius untuk menyelesaikan masalah itu. Pemburuan haram terus menyebabkan kematian lebih daripada 50,000 penyu setiap tahun di Asia Tenggara dan Pasifik Selatan, menurut NGO alam sekitar WWF.
Menurut Rangkaian Penyu Marin, selain pemburu memakan daging dan telur penyu, kehidupan penyu juga terancam dengan aktiviti-aktiviti memancing. Mereka sering terperangkap dalam jaring. Trafik kenderaan di pantai dan aktiviti manusia juga mengancam kelangsungan hidup penyu. Semua adalah disebabkan penangkapan tidak sengaja oleh nelayan-nelayan yang menyebabkan penyu-penyu “terkandas”.
Penyu sangat sensitif terhadap suhu dalam proses pembiakan. Pada suhu 28 darjah Celsius, penyu jantan lebih cenderung untuk dilahirkan, manakala pada 29 darjah Celsius, atau 1 darjah Celsius, penyu betina lebih cenderung untuk dilahirkan. NGO WWF memaklumkan, “terdapat 100% penghasilan penyu jantan jika keadaan cuaca pada 25 darjah dan 100% penghasilan penyu betina pada cuaca 33 darjah”. Tidak seperti manusia, kelamin penyu ditentukan oleh perubahan suhu. Contohnya akibat pemanasan global, populasi penyu betina pada tahun 2022 adalah sebanyak 99% berbanding penyu jantan. Maka usaha berganda amatlah diperlukan untuk memastikan pembangunan sama rata penyu jantan dan penyu betina. Perubahan iklim juga mengancam habitat semula jadi dan tempat makan penyu. Menurut WWF, perubahan iklim adalah salah satu faktor yang “memusnahkan dan merendahkan kawasan pemakanan asas untuk penyu, seperti terumbu karang dan dasar rumpai laut”. Begitu juga dengan peningkatan paras laut, keadaan cuaca yang panas dan bencana alam.
Selain ancaman, kehilangan habitat penyu juga boleh disebabkan oleh pembandaran dan pembangunan infrastruktur pantai. WWF memahami faktor ini adalah antara faktor yang memusnahkan dan merendahkan habitat semula jadi dan bekalan makanan penyu.
Usaha pemuliharaan
Pihak kerajaan telah menyusul masalah kepupusan spesies penyu untuk melindungi biodiversiti penyu sebagai tambahan kepada undang-undang yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2020. Menurut NGO alam sekitar WWF, di Malaysia, membunuh penyu yang dilindungi adalah jenayah yang boleh menyebabkan pesalah dihukum penjara dan dikenakan denda yang berat. Namun pemburuan haram penyu dan kegiatan sindiket penyeludupan penyu masih terus berleluasa antara faktor utama kepupusan penyu.
Sementara itu, di Taman Negara Pulau Pinang terdapat santuari penyu di Pantai Kerachut, juga dikenali sebagai Pantai Penyu. Antara objektif utama adalah untuk memulihara, memelihara dan mendidik orang ramai tentang pentingnya perlindungan penyu. Tapak ini terbuka kepada pelancong-pelancong dari taman untuk melawat penyu dan mempelajari lebih lanjut tentang hidupan ini daripada kakitangan pusat. Santuari Penyu di Pulau Pinang didedikasikan untuk perlindungan penyu marin yang terancam, terutamanya ridley zaitun dan penyu hijau. Tindakan yang diambil oleh santuari itu termasuklah program penyelamatan dan pemulihan penyu yang cedera, pemantauan pantai bersarang, pengeraman telur terkawal untuk meningkatkan kadar kemandirian dan pembebasan penyu yang menetas untuk kembali ke habitat semula jadinya. Matlamat persatuan itu adalah untuk melindungi telur dan membenarkan anak penyu kembali ke laut tanpa cedera.
Kesimpulan
Masyarakat mempunyai peranan yang besar untuk melindungi spesies penyu. Kita perlu mengurangkan penggunaan plastik dan jangan teragak-agak untuk mengumpul sisa plastik di pantai! Apabila menginap di pulau yang menjadi habitat penyu, pastikan anda menutup lampu yang boleh dilihat dari pantai pada waktu malam. Penyu laut suka kepada kegelapan, menggali sarang pada waktu malam. Manakala pencahayaan buatan boleh mengganggu penyu laut dan anak-anaknya. Para pengguna juga digalakkan tidak membeli barangan yang berasaskan penyu laut seperti aksesori yang diperbuat daripada kulit penyu.
Adalah penting bagi semua pihak untuk sama-sama melindungi spesies hidupan marin ini, bertanggungjawab ke atas kehadiran mereka sama ada untuk mendarat atau bertelur di pantai.
Diterjemah dan disunting semula oleh Dr. Rahida Aini Mohd Ismail, Pegawai Penerbitan, Penang Institute.
Safiya Waligorski adalah pelajar Sains Pengurusan tahun kedua di Universiti Aix-Marseille di Marseille. Kini mengikuti latihan praktikal (internship) di Penang Institute sambil melancong, menimba pengalaman baru di negeri orang.