Baru-baru ini, saya bertemu kembali dengan seorang kenalan lama. Selepas kami sama-sama menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia memulakan kerjayanya sebagai guru sementara. Namun, beliau membuat keputusan untuk mengetepikan cita-citanya kerana menemui jodoh pada usia muda dan memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Setelah bertahun-tahun berkahwin dan membesarkan anak-anak yang sudah mampu berdikari, minatnya untuk menimba ilmu kembali berkembang, dan dia ingin mengejar impian yang suatu ketika dulu terabai.
Bertuah baginya, syarat kelayakan program MyMaster dan MyPhD di bawah inisiatif MyBrain15, yang menyediakan pembiayaan untuk pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran, membuka peluang kepadanya untuk merealisasikan impiannya sebagai seorang pelajar pascasiswazah. Antara salah satu syarat untuk memohon ialah orang awam yang tidak bekerja ataupun berpendapatan tetap dan dia layak untuk memohon pembiayaan pengajian tersebut. Langkah pertamanya adalah mendaftar sebagai pelajar peringkat sarjana muda melalui program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ), dibiayai sendiri. Kemudian, dia meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah, dengan pembiayaan yang berjaya diperoleh melalui program tersebut.
Tujuan utamanya ialah dia ingin menjadi contoh teladan dan memberikan semangat kepada anak-anaknya. Dia ingin membuktikan bahawa ilmu tidak mengenal batasan usia dan cita-cita boleh dikejar pada bila-bila masa. Dengan usaha yang gigih selama dua belas tahun, bermula dari sarjana muda secara PJJ hingga ke peringkat pengajian tertinggi, dia berjaya menamatkan perjalanan akademiknya yang panjang. Kini, rakan saya kembali ke alam pekerjaan. Untung menyebelahinya kerana dia akhirnya berjaya mendapatkan pekerjaan di sebuah organisasi Badan Bukan Kerajaan. Keinginannya cuma satu, untuk menyumbang kepada negara, sebagai tanda terima kasih atas sokongan pembiayaan pengajian yang diterimanya.
Mengapa pembelajaran sepanjang hayat penting?
Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) merupakan satu bentuk pendidikan kendiri untuk mengejar minat peribadi atau cita-cita profesional yang dapat membantu seseorang itu mencapai kepuasan diri dan pemenuhan peribadi. Ia membuka peluang tanpa had untuk penemuan, kemahiran, dan ganjaran, baik dari segi profesional mahupun peribadi.
Di Malaysia, PSH merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negara melalui pelaburan dalam pembangunan sumber manusia. Antara kumpulan sasaran utama PSH adalah golongan dewasa yang bekerja, lepasan sekolah, warga emas dan suri rumah, yang ingin menyumbang kepada negara, meningkatkan potensi diri, serta mempelbagaikan kemahiran. Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi) telah menetapkan lonjakan ketiga, iaitu Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), sebagai salah satu agenda utama pendidikan tinggi negara.[1]
Sebenarnya terdapat pelbagai peluang dan ruang yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk rakyat meneroka dan mendalami ilmu sebagai satu usaha pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Misalnya, kursus pendek seperti ICT, industri agro, kecantikan, seni kulinari, audio video, fesyen, jahitan kreatif, elektronik, bahasa, fotografi dan banyak kursus-kursus lain ada disediakan di Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Di samping itu, mereka yang berminat boleh menyertai kursus-kursus pendidikan jarak jauh (PJJ) di universiti tempatan mahupun swasta sebagai pelajar sepenuh masa atau separuh masa.
Kecerdasan emosi
Mengharungi satu perjalanan akademik sememangnya amat mencabar, kerana seseorang itu memerlukan persediaan mental selain perasaan cinta akan ilmu pengetahuan yang bukan sedikit. Menerapkan pegangan sebegini memerlukan kesediaan untuk menghadapi cabaran yang datang ibarat “air pasang surut,” ada kalanya berdepan dengan peristiwa-peristiwa yang menyeronokkan, dan kadang-kadang terpaksa melalui saat-saat yang perit serta sukar ditelan. Ia memerlukan pengorbanan.
Terdapat dua perkara penting yang membawa manusia kepada sikap ingin membudayakan PSH. Perubahan cara fikir, iaitu keinginan hati atau hasrat untuk mengubah lanskap kehidupan dengan membangunkan kemahiran, menimba pelbagai ilmu dalam pelbagai keadaan. Perkara ini memerlukan kesediaan mental untuk mencari, menerima, menapis dan menyimpan maklumat. Sikap begini datang tanpa dipaksa-paksa, tetapi atas keputusan sendiri. Tanpa keputusan dalaman untuk berubah melalui “mata hati,” sukar sekali untuk meneruskan PSH demi mencapai tujuan ekstrinsik yang lebih bersifat perubahan tingkah laku daripada kurang mahir kepada separuh mahir dan lebih mahir.
Manakala perkara kedua ialah kecerdasan emosi, yang didorong oleh rasa tanggungjawab dan dahagakan ilmu. Kecerdasan emosi bukan sekadar mengenali emosi diri, tetapi juga melibatkan kematangan dalam menghadapi cabaran pembelajaran, seperti kesabaran, ketekunan, dan kegigihan—semuanya untuk mencapai matlamat pembelajaran yang lebih bermakna. Pembelajaran sering kali hadir bersama cabaran, kegagalan, atau situasi yang mencabar. Dengan kecerdasan emosi, seseorang mampu kekal positif dan terus berusaha meskipun berdepan cabaran. Ini membolehkan individu melihat cabaran sebagai peluang untuk berkembang.
Selain itu, kecerdasan emosi seperti empati dan kesediaan untuk belajar daripada pengalaman orang lain juga penting. Menghargai perspektif orang lain dengan melatih diri menjadi seorang “pendengar” serta mengambil iktibar daripada pengalaman pembelajaran yang berbeza setiap individu akan memperkayakan lagi pengalaman PSH.
Langkah menuju kejayaan melalui PSH
Sebilangan masyarakat mungkin bertanya mengapa ramai yang gigih menuntut ilmu melalui PSH, tetapi akhirnya menghadapi cabaran dalam mendapatkan pekerjaan. Rezeki itu sebenarnya ada di mana-mana, cuma perlu dicari dengan kesungguhan tanpa henti.
Selain mengukuhkan ilmu, adalah penting untuk memanfaatkan peluang-peluang yang ada semasa menuntut di institusi pendidikan seperti memohon untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengendali Tutorial di bawah Skim Graduate Teaching Assistant, Pembantu Penyelidik, kerja bebas (freelance work), kerja sukarela, menghadiri bengkel, mengambil bahagian dalam persidangan, dan sebagainya. Sesungguhnya pengalaman seperti ini memberi nilai tambah kepada PSH dan meningkatkan kebolehpasaran selepas bergraduasi.
Matlamatnya bukan sekadar memperoleh kelayakan akademik, tetapi juga membina pengalaman yang memperkasakan diri serta meningkatkan keyakinan dalam menghadapi dunia pekerjaan. Dengan kemahiran yang ada, individu juga mampu mencipta peluang pekerjaan, berdikari, dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.
Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) bukan hanya tentang mengejar ilmu semata-mata, tetapi juga tentang memperkasa diri, meningkatkan kemahiran, dan memberi sumbangan kepada masyarakat. Individu yang berjaya merealisasikan impian membuktikan bahawa tiada had umur dalam mengejar ilmu. PSH memberikan peluang untuk mencapai kepuasan peribadi dan profesional, serta meningkatkan daya saing di pasaran pekerjaan. Dengan cara fikir yang positif dan kecerdasan emosi yang tinggi, seseorang dapat mengatasi cabaran dan terus berkembang.
Tidak lupa juga peranan yang dimainkan terutama oleh orang terdekat, iaitu ahli keluarga dan sahabat handai, sangat penting bagi melonjakkan semangat untuk berjaya. Oleh itu, adalah penting untuk kerajaan dan masyarakat terus menyokong usaha ini, agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat memanfaatkan peluang PSH, mengukuhkan ekonomi negara, dan memberi impak positif kepada pembangunan sosial.
Islam mengajar kita untuk menjadi pelajar sepanjang hayat dan mencari ilmu selama mana kita hidup di bumi. Mencari ilmu bukan sahaja merupakan kewajipan agama dan moral, ia adalah kewajipan yang berterusan, yang tiada had dan berterusan sepanjang hayat.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.
[1] Kain Ching, M.Y. (2017). Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat. Berita Harian, Mei 19. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2017/05/284098/pembudayaan-pembelajaran-sepanjang-hayat