Suatu ketika dahulu, trend kenderaan hybrid menjadi bualan hangat tetapi kini industri automotif nampaknya lebih memberi tumpuan terhadap pembangunan kereta elektrik secara sepenuhnya. Hal ini disokong oleh perkembangan teknologi bateri yang semakin hari semakin baik. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana memiliki kenderaan elektrik (EV) adalah perkara biasa bagi kita pada masa hadapan.
Kelebihan kenderaan elektrik adalah sangat besar. Enjinnya tidak perlu diisi dengan minyak fosil, sebaliknya, ia digerakkan oleh kuasa elektrik. Dengan demikian, tiada pengeluaran asap dari ekzos. Kenderaan yang saya gunakan sekarang menggunakan minyak fosil. Ia secara tidak langsung menyumbang kepada pelepasan karbon daripada ekzos, selain daripada bunyi bising kenderaan kerana tahap bunyi yang dihasilkan tidak seperti kenderaan elektrik yang boleh dikawal.
Berbaloikah jika saya ingin menukar kepada kenderaan elektrik? Semuanya bergantung kepada keadaan kewangan kerana kos pembelian dan penyelenggaraan kereta elektrik di negara kita adalah masih tinggi untuk orang kebanyakan seperti saya. Kebanyakan model EV yang saya jumpa dengan reka bentuk serupa masih tidak mampu menawarkan harga yang setanding dengan harga kereta yang berasaskan minyak fosil.
Antara perkara lain yang perlu diambil kira ialah kos mengecas kenderaan elektrik, sama ada di rumah atau di stesen pengecasan. Jika mengecas kenderaan elektrik di rumah, pengecas jenis biasa boleh saja disambungkan ke soket elektrik rumah. Sesetengah kenderaan seperti kenderaan Nissan Leaf, memerlukan masa yang lama iaitu tujuh jam untuk mengecas bateri sehingga penuh. Jika mengecas kenderaan di stesen pengecasan Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau mana-mana pengendali stesen pengecasan pula, tahap tenaga elektrik untuk pengecasan adalah lebih tinggi manakala kadar masa pula adalah lebih singkat iaitu selama 30 minit sahaja berbanding di rumah.
Pengecasan oleh pengendali stesen pengecasan biasanya menawarkan perkhidmatan pengecas yang dikira berasaskan tempoh minit penggunaan. Jadi, saya perlulah membuat perhitungan dan pilihan yang bijak jika saya ingin mengecas kenderaan di rumah, iaitu dengan mengambil kira penggunaan elektrik lain di kediaman saya. Jika mengecas kenderaan di stesen pengecasan pula, sekali cas penuh, sejauh mana pula kenderaan saya boleh bergerak, dan berapa pula kosnya?
Persoalan lain ialah masalah kehabisan bateri. Saya tidak bimbang dengan cas kenderaan yang sudah mula menurun ke satu tahap, kerana sistem amaran dibunyikan untuk mengingatkan pemandu untuk mengecas kenderaan. Seandainya kenderaan elektrik saya kehabisan bateri, ia hanya boleh dicas semula di lokasi yang ada sambungan elektrik, maka apakah kemudahan mengecas yang tersedia di stesen-stesen pengecasan di Malaysia berada pada tahap yang memuaskan?
Apa yang saya tahu, kadar pengecasan di stesen pengendali pengecasan mengambil masa yang agak lama kerana bilangan alat pengecas adalah terhad. Mereka yang beratur mulalah hilang sabar dan bermasam muka kerana terpaksa menunggu lama untuk mengecas kenderaan mereka. Bayangkan jika bilangan alat pengecas yang terhad ditambah pula dengan keadaan mereka yang terpaksa menunggu mengikut giliran, keadaan lebih kecoh lagi terutamanya ketika cuti umum, cuti sekolah atau perayaan. Mereka tiada pilihan melainkan terpaksa memanggil trak tunda jenis rata, bukan jenis tarik untuk mengangkut kenderaan elektrik yang tersadai untuk dihantar pulang ke rumah.
Untuk meluaskan penggunaan kenderaan elektrik, syarikat insurans dan tukang tarik kereta perlu menambahbaik perkhidmatan mereka, misalnya mewujudkan sistem pengecas mobil yang dapat membantu pemandu yang tersadai di tepi jalan.
Di Malaysia, landskap kenderaan elektrik masih berada dalam peringkat awal pembangunan. Tidak seperti sesetengah negara, contohnya China yang jumlah kenderaan elektriknya adalah sebanyak 10.33 juta dan merupakan peneraju penting dalam transformasi industri kenderaan elektrik global. Di China, terdapat sejumlah 492,000 tiang pengecas termasuk 85,000 tiang pengecas awam dan 407,000 untuk kegunaan peribadi.
Untuk menyokong penggunaan EV dan pertumbuhan infrastruktur, kerajaan Malaysia memperkenalkan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik Nasional (NEMB) pada 2019. Pelan tindakan ini menetapkan sasaran untuk mempunyai 100,000 EV di jalan raya Malaysia menjelang 2030. Usaha ini telah disahut oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, selaras dengan wawasan Pulau Pinang2030. Visi ini memberi penekanan yang kuat terhadap pelaburan dalam persekitaran terbina untuk meningkatkan daya tahan dan meletakkan Pulau Pinang sebagai peneraju dalam menggalakkan mobiliti sifar pelepasan.
Khususnya di Pulau Pinang, usaha kerjasama antara Kerajaan Negeri, Penang Green Council (PGC), dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah membawa kepada pemasangan stesen pengecasan motosikal elektrik percuma. Stesen-stesen ini telah beroperasi sejak tahun 2022 dan boleh didapati di sembilan lokasi strategik di seluruh pulau.
Menurut ahli exco kerajaan negeri Pulau Pinang dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Zairil Khir Johari, langkah itu bertujuan mempromosikan penggunaan e-motosikal selaras dengan visi Pulau Pinang untuk mengurangkan jejak karbon sebanyak 50% menjelang 2030.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan dan menggalakkan pengeluar e-motosikal tempatan dan syarikat penghantaran barangan atau makanan utama untuk menjalankan usaha sama di Pulau Pinang. Ini akan membantu menggalakkan mobiliti sifar pelepasan dan meningkatkan taraf hidup dan kebajikan kumpulan B40 yang aktif menceburi sektor penyampaian negeri ini.
Kenderaan elektrik di Malaysia semakin mendapat perhatian dan minat orang ramai apabila kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif untuk pemilik EV, seperti pengecualian duti import dan duti eksais ke atas EV, serta kadar cukai jalan yang lebih rendah untuk EV.
Inisiatif kerajaan dan pendedahan terhadap kenderaan elektrik menunjukkan bahawa penggunaan EV di Malaysia berupaya untuk meningkat pada tahun-tahun akan datang. Dengan timbulnya kesedaran tentang betapa pentingnya pengangkutan jalan raya yang dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon ke arah kehidupan yang lebih mampan, ia secara tidak langsung membantu merangsang pelaburan dan penciptaan pekerjaan dalam industri automobil yang dapat memajukan lagi inisiatif kerajaan untuk merancakkan lagi penggunaan dan pembuatan enderaan elektrik.
Dr. Rahida Aini merupakan lulusan PhD dalam bidang Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia. Kini, beliau bertugas sebagai Pegawai Penerbitan di Penang Institute.