Bayangkan anda seorang petani Melayu dua ratus tahun dahulu. Anda sedang berarak ke tengah sawah. Dari jauh anda dapat lihat marak api mengelilingi sebuah pentas kayu. Semua orang diam seolah-olah sedang berdoa di dalam hati kepada “anak sembilan bulan.” Di atas pentas, anda melihat Pawang Sari sedang menyembelih kepala seekor kambing. Darahnya menitis-nitis ke tanah. Malam itu, setelah daging kambing siap dimasak, kalian menanam kulit dan isi perut di bawah pentas.
Ini adalah antara upacara yang pernah diamalkan oleh orang Melayu sebelum menanam padi. Menurut Amat Juhari Moain dalam bukunya Kepercayaan Orang Melayu Berhubung dengan Pertanian, upacara sebegini diadakan bagi mendapat izin daripada roh-roh moyang dan membina perdamaian dengan jembalang. Dari kaca mata hari ini, amat mudah untuk kita menilai generasi dahulu sebagai sesat dan mengamalkan sihir. Namun, sihir itulah puisi dan imaginasi alam Melayu. Masyarakat Melayu membina hubungan intim dengan alam di sekeliling mereka. Terutama sekali hubungan dengan semangat padi. Amat Juhari Moain menulis:
Orang Melayu percaya bahawa semangat padi wujud dan ia boleh lari ke tempat lain kalau tiada mendapat layanan yang memuaskan atau datang semula ke tempat asalnya kalau dipanggil dan dipujuk.
Hampir setiap negeri di Tanah Melayu dahulu percaya kepada kewujudan semangat padi. Berdasarkan nama-nama yang diberikan kepadanya—“anak sembilan bulan,” “anak maharaja cahaya,” “si dang sari,” “si dang rupa seri,” “si dang muri”—kita boleh simpulkan bahawa semangat padi yang dipuja mempunyai keperibadian perempuan. Ada sifat keibuan yang memberi kesuburan kepada tanaman padi, dan ada juga sifat kekasih yang mudah merajuk, dan tidak akan fikir dua kali untuk memusnahkan tanaman. Mitos alam sebagai lambang seksualiti perempuan ternyata hadir dalam pelbagai tamadun.
Dalam mitos Yunani, Hera dan Aphrodite sentiasa kekal dara dan tidak perlu bergantung kepada benih dewa lelaki. Dalam mitos Mesir, Net melahirkan Ra dengan kuasa tubuhnya sendiri. Antara artifak purba yang menggambarkan kesuburan tubuh perempuan ialah patung Venus of Willendrof di Austria yang berusia lebih dari 30,000 tahun. Venus of Willendrof diukir mengikut pandangan alam masyarakat purba yang masih hidup di dalam gua. Tubuhnya gempal, matanya buta, dan kepalanya tidak berwajah. Ada nilai keindahan yang masih tersembunyi daripada capaian bahasa masyarakat.
“Alam menyembunyikan diri,” kata ahli falsafah Heraclitus. Alam juga mempunyai pelbagai wajah dan rupa, termasuk semangat padi. Di Chenderong Balai, Perak, semangat padi dikatakan sebagai kuasa ghaib yang boleh mengeluarkan biji padi dan bentuknya seperti budak. Di Solok Hilir, Melaka, semangat padi pula ialah “sarang telur sejenis labah-labah” yang selalu terdapat di sawah. Di Pahang, semangat padi ialah budak yang mudah merajuk kalau tidak dilayan sungguh-sungguh. Di Padang Tengir, Terengganu, ia menjelma sebagai gadis cantik di tengah sawah. Oleh sebab itu, orang Melayu percaya upacara memanggil semangat padi perlu dilakukan dalam keadaan hening. Pekerjaan yang kasar pun boleh memeranjatkan semangat padi.
Dari segi satu sudut, hubungan petani Melayu dengan semangat padi adalah bersifat empirikal. Di sini bomoh atau pawang padi memainkan peranan penting. Sebagai contoh, permulaan musim untuk turun ke sawah ditentukan melalui cara “guling padi” iaitu menantang benih padi di telapak tangan yang dibedekkan ke “bintang ketika” dan “bintang tujuh” pada waktu dinihari. Tetapi pendekatan ini hanya digunakan untuk menyelesaikan masalah. Hubungan sebenar manusia Melayu dengan alam adalah bersifat fenomenologikal iaitu alam adalah lanjutan daripada keberadaan dirinya di dunia ini. Justeru keterasingan manusia Melayu dengan alam—melalui bahasa, melalui teknologi moden—ialah keterasingan manusia Melayu dengan kewujudan dirinya.
Bahasa menterjemahkan objek alam menjadi konsep minda yang abstrak. Padi bukan lagi sekadar padi. “Padi” telah berubah menjadi unit fakta dalam suatu sistem permainan bahasa. “Padi” seakan-akan tidak wujud tanpa melihat hubungannya dengan unit lain seperti “kuasa,” “kampung,” “masyarakat,” “agama,” “ekonomi,” “kapitalisme,” dan “negara.”
Apabila kita membaca karya-karya Shahnon Ahmad, kita dapat melihat dilema manusia moden yang terperangkap dalam suara mindanya sendiri. Watak Shahnon ingin bersatu kembali dengan alam seperti moyang Melayu terdahulu, namun apabila mereka melihat alam, ia seolah-olah sudah terasing dan mati. Alam bukan lagi budak atau gadis cantik yang perlu dimanjakan. Alam telah menjadi musuh atau kekasih lama yang dibenci.
Kita ambil contoh watak Siti dalam cerpen Shahnon berjudul “Perempuan.” Di permulaan cerpen ini, Siti mendapat tahu ada seorang Tok Guru yang ingin melamarnya. Ini bukan sahaja menyebabkan Siti merajuk, dia turut melepaskan kemarahan pada kucing, cicak, dan semut. “Memang bedebah segala yang bernafas. Memang!” Kemudian apabila Siti melihat sawah di luar tingkap, dia tidak nampak semangat padi seperti moyangnya; dia nampak sawah “sebagai belukar yang amat tebal memagari dunia wanitanya.”
Bahasa bukan sahaja pagar yang memisahkan manusia dengan alam, bahasa juga meninggalkan jejak di luar pintunya. Apakah jejak atau bayang-bayang ini? Mungkin roh moyang, mungkin jin dan iblis, mungkin “anak sembilan bulan” yang sesat dan marah. Mungkin ia adalah rusa atau harimau Latiff Mohidin yang terluka. Ada trauma dari masa lalu yang sentiasa menghantui sejarah kesusasteraan Melayu. Pengarang kita masih mencari-cari doa, jampi, mantera, dan kuasa magis yang boleh menghalau semangat moyang keluar daripada tubuh mereka.
Wan Nor Azriq merupakan seorang novelis kelahiran Alor Setar. Beliau telah menerbitkan tujuh buah buku, antaranya novel berjudul D.U.B.L.I.N. yang memenangi Sayembara Penulisan PENA-BH pada 2014. Beliau kini bekerja sebagai Penolong Naib Presiden di bank MIDF. Esei ini lahir daripada karya yang pernah terbit dan hilang di ruang lain sebelum ini.