Bangunan gudang peninggalan imperialisme Barat di Tapak Warisan Dunia George Town merupakan antara bangunan yang pernah menjadi tumpuan utama kegiatan perdagangan di zaman penjajahan British. Ia merupakan antara bangunan terawal yang dibina oleh Francis Light sebaik sahaja beliau menjejakkan kaki di George Town dan menaikkan bendera Union Jack.
Pada ketika itu, penjajah Barat berlumba-lumba dengan koloni Belanda untuk membangunkan empayar. Kuasa-kuasa Eropah meneroka dan menakluk Nusantara kerana ingin memungut hasil kekayaan bumi dan bagi tujuan perdagangan. Keagungan Empayar British, misalnya, pernah sering diungkapkan dengan ungkapan “matahari yang tidak akan terbenam dalam keluasan empayar mereka”. Hal ini menggambarkan tanah jajahan Inggeris yang berselerak di muka bumi, baik dari timur hingga ke barat mahupun utara ke selatan.
Di Pulau Pinang, pihak British membangunkan kemudahan yang perlu ada bagi sesebuah pelabuhan, seperti bangunan gudang. Gudang-gudang ini menjadi tempat penyimpanan barangan seperti kain sutera, rempah ratus, getah, kelapa, kopi, beras dan bijih timah untuk dieksport.
Kelengkapan dan kemudahan yang ditawarkan di pelabuhan bertujuan menarik para pedagang dari Selat Melaka untuk singgah di sesebuah pelabuhan. Gudang-gudang di George Town menjadi tempat untuk memproses barangan dagangan mentah sebelum dijual atau dipasarkan semula.
Pemuliharaan Bangunan Warisan
Kini banyak bangunan gudang lama dibiarkan kosong, usang dan terbiar. Hal ini akan melemahkan integriti dan keselamatan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia. Sebenarnya, bangunan gudang berpotensi besar untuk dimajukan dan dihidupkan semula melalui pemberian fungsi baharu. Usaha-usaha menghidupkan semula bangunan gudang lama melalui pemuliharaan bangunan penting untuk dilaksanakan dan mengambil kira beberapa faktor seperti nilai sejarah, warisan, seni bina, usia, fungsi, bahan binaan dan penyelenggaraan serta sokongan daripada pelbagai pihak yang berkaitan.
Bangunan yang dibiarkan kosong tanpa penghuni dan tanpa pemuliharaan akan mendedahkannya kepada pelbagai ancaman. Bangunan gudang lama ini perlu dipantau dan dikawal, malah perlu diambil-alih oleh pihak ketiga untuk dibaik pulih bagi manfaat seluruh masyarakat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan Tapak Warisan Dunia. Malah, semakin lama bangunan gudang ini tidak diuruskan dengan baik, semakin teruk kesan kerosakan dan kehilangan keaslian pada struktur, elemen dan fasad bangunan itu sendiri. Semakin teruk kerosakan yang terdapat pada bangunan, semakin tinggi kos pembaikan yang perlu dikeluarkan.
Memandangkan kos membaik pulih bangunan adalah tinggi, maka kebanyakan pemilik bangunan gudang lama di sini membiarkan bangunan mereka begitu sahaja. Para pemilik gudang juga tidak memiliki pengetahuan yang mendalam tentang kaedah memulihara bangunan mereka dengan cara yang betul tanpa menjejaskan strukturnya serta mengekalkan sejarahnya.
Pada hari ini terdapat 54 buah bangunan gudang lama di Tapak Warisan Dunia George Town yang masih berdiri utuh dan dilindungi sepenuhnya. Daripada 54 buah bangunan Gudang lama ini, 34 terbiar kosong, 12 masih dikekalkan fungsi sebagai gudang, manakala 6 telah ditukarkan fungsi dan 2 dijadikan kediaman.
Tukar Fungsi Bangunan Warisan
Penukaran fungsi bangunan warisan merupakan sebuah kaedah yang biasa digunakan untuk memulihara bangunan gudang lama daripada dibiarkan kosong. Walau bagaimanapun, kerja-kerja penukaran fungsi bangunan gudang kepada fungsi baharu mestilah dilakukan mengikut prinsip dan konsep yang ditetapkan oleh Jabatan Konservasi Warisan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang supaya identiti seni bina, sejarah dan sosial yang ada pada bangunan warisan tersebut sentiasa dipelihara. Pelaksanaan kaedah ini masih mampu mengekalkan identiti bangunan gudang lama dan boleh memanjangkan usia bangunan, menghormati kualiti bangunan, dan mengutamakan bahan asal serta keasliannya.
Terdapat beberapa buah gudang di Pulau Pinang yang telah berjaya ditukar fungsi dan dipulihara dengan baik. Contohnya, sebuah gudang yang dibina sekitar tahun 1950 telah ditukar fungsi kepada gudang kafe. Bangunan ini terletak di Lebuh Armenian telah dikekalkan dengan seni bina asal menjadikan kafe ini sangat fotogenik dari aspek reka bentuk dan nilai warisan sejarah yang ada padanya.
Reunion Heritage House terletak di tengah-tengah George Town kini menjadi tumpuan dan terkenal dengan keunikannya. Bangunan warisan pra-perang yang berusia lebih dari 100 tahun ini pernah menjadi gudang yang menampilkan Gaya Eklektik Cina Selatan yang dibina sekitar tahun 1840-1900-an. Bangunan ini telah beberapa kali menjalani kerja-kerja tukarguna fungsi bangunan di mana pada awalnya ia ditukarkan fungsi sebagai sebuah kafe warisan. Pada pertengahan tahun 2016 ia ditukarkan fungsi sebagai guest house yang berkonsepkan hotel warisan.
Di negara-negara luar juga, banyak bangunan lama yang telah berjaya ditukarkan fungsi asalnya. Antaranya ialah bangunan Tate Modern di London yang asalnya merupakan sebuah stesen janakuasa. Kini, bangunan lama itu bertukar menjadi galeri seni. Begitu juga dengan Muzium Louvre di Paris yang asalnya merupakan sebuah istana.
Pendekatan ini dapat memastikan bahawa warisan sejarah yang tersimpan di sebalik bangunan-bangunan gudang lama ini dapat dimanfaatkan dalam bentuk dan nafas yang berbeza oleh generasi hari ini. Dengan mengikut selera semasa, bangunan gudang yang bercirikan industri seperti yang ada di George Town ini umumnya sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat pameran, kafe, muzium, restoran dan hotel. Cadangan penukaran fungsi ini mampu untuk melindungi gudang-gudang lama daripada pelbagai kerosakan dan kemusnahan supaya dapat terus ditatap dan digunakan oleh generasi sekarang dan masa hadapan.
Secara tuntasnya, tukar fungsi bangunan ini bukan sahaja dapat menjaga harta warisan negara malah dapat mewujudkan peluang ekonomi kepada pemilik bangunan gudang lama. Ianya juga dapat menarik aktiviti pelancongan tempatan dan luar negara. Keunikan seni bina bangunan gudang lama dengan wajah baharu semestinya akan menjadi daya penarik utama yang mampu memberi impak kepada Tapak Warisan Dunia George Town.
Dr Muhammad Hafiz abd Razak merupakan seorang penyelidik kajian dalam bidang pemuliharaan bangunan warisan, perancangan pembangunan dan pembangunan sosial.