Sekitar kurun ke-5, negara kita yang kini dikenali sebagai Malaysia adalah tempat pertemuan para pedagang khususnya dari India dan Cina. Sejak itu, banyak kota pelabuhan di pesisir pantai yang mereka singgahi sudah membangun dengan rancak berbanding tempat-tempat lain di kawasan pedalaman. Migrasi beramai-ramai orang Cina dan India sejak abad ke-19 atas galakan penjajah Inggeris itu tiba di Tanah Melayu—nama yang dikenali pada masa itu. Pada mulanya, mereka datang dengan sehelai sepinggang. Ramai daripada mereka mati. Ada juga yang pulang semula ke China atas alasan kesihatan.
Tidak terkecuali datuk dan nenek saya. Yang tinggal adalah mereka yang sihat dan ingin mengadu nasib dengan membuka hutan, melombong, membina jalan, dan sebagainya. Merekalah yang mewariskan perdagangan getah, bijih timah, dan lain-lain setelah bergelut dengan penyakit dan konflik, selain menanggung kesusahan sebagai peneroka. Dalam bancian yang dilakukan pada tahun 1921, bilangan mereka lebih banyak daripada bilangan orang Melayu.
Apa yang penting adalah pembangunan negara yang kita saksikan pada hari ini. Hakikatnya, pembangunan ini adalah hasil titik peluh dan jerih payah para leluhur kita pada masa dahulu serta anak cucu mereka pada hari ini. Sumbangan dan jasa mereka sudah diakui oleh pemimpin negara iaitu Tunku Abdul Rahman yang mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah Inggeris pada tahun 1957. Pada tahun itu juga diumumkan Reid Commission’s Report, iaitu dokumen penting bagi menggubal perlembagaan untuk rakyat yang merdeka. Dalam dokumen itu dinyatakan hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dengan Islam sebagai agama rasmi negara, selain memperuntukkan kerakyatan kepada orang Cina, India, dan lain-lain setelah mereka memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Peruntukan untuk mengambil kira lebih ramai orang di negara ini pada ketika itu juga adalah kerana kepentingan pembangunan negara. Hal itu juga mungkin boleh ditafsirkan sebagai balasan penjajah Inggeris yang menghargai jasa orang Cina dan India menolong membangunkan industri di England pada masa itu. Untuk menunjukkan taat setia mereka kepada tanah air baru, ribuan orang Cina dan India bersama-sama orang Melayu telah terkorban dalam perjuangan melawan penjajahan Jepun dan komunis serta konfrontasi dengan Indonesia. Pengorbanan mereka telah membolehkan kita hidup aman damai dan mengecap kebebasan—kebebasan yang hanya menjadi impian oleh banyak negara lain pada masa itu.
Untuk mempersatukan rakyat dari pelbagai latar kaum, Kerajaan Perikatan pada masa itu telah menggalakkan semua rakyat mempelajari bahasa Melayu sebagai alat perpaduan. Pada masa itu saya masih menuntut di Sekolah Menengah Nan Hwa, Kampung Koh, Sitiawan. Saya tertarik dengan kempen Bulan Bahasa Kebangsaan dan telah mempelajari bahasa tersebut secara bersungguh-sungguh dengan mengikuti siaran radio Malaya dalam bahasa Melayu. Tidak terkecuali cerpen-cerpen dalam Berita Harian pada setiap Khamis. Walaupun pada awalnya sukar untuk memahami bahasa Melayu melalui siaran radio, saya sudah boleh menyanyi banyak lagu Melayu yang popular pada waktu itu.
Langkah kecil ke arah perpaduan kaum
Selain bahasa kebangsaan, hampir semua kegiatan di negara ini adalah bersifat perkauman. Bila direnung semula, biarpun pendidikan sehinggalah parti politik adalah berasaskan kaum, kedua-duanya berfungsi dengan baik kerana dua perkara: 1) adanya kepercayaan (trust) antara kaum; 2) sistem yang teratur. Dengan kata lain, Kerajaan Perikatan pada masa itu berjaya membina kepercayaan antara kaum. Kejayaan itu dapat membenam rasa syak wasangka dan ketakutan dalam kalangan rakyat. Disebabkan adanya kepercayaan juga maka adik perempuan saya diberikan kepada seorang jururawat Melayu di hospital Lumut beberapa hari selepas dia lahir.
Saya tahu ramai lagi anak Cina dibela oleh orang Melayu sebagai anak angkat. Bagaimanapun, hal sedemikian mungkin sudah menjadi sejarah. Adakah ini terjadi kerana rakyat berbilang kaum di negara ini semakin berwaspada dan berasa takut antara satu sama lain kerana merebaknya politik perkauman? Memang ada ahli politik yang menimbulkan isu perkauman untuk memancing undi kaum sendiri tanpa mempedulikan kaum lain. Negara ini sudah berpecah-belah, walaupun masih ramai lagi orang Melayu, Cina, India, dan lain-lain tinggal berjiran, bertegur sapa, dan masih menziarahi antara satu sama lain. Walaupun nampak aneh, kenyataan itu membuktikan bahawa banyak perubahan sudah berlaku di negara ini sejak kita merdeka. Tidak ada yang lebih penting bagi rakyat selain keharmonian yang berkekalan, biarpun sekali-sekala terguris kerana krisis-krisis kecil.
Pada tahun 1960 dan 1970-an, walaupun saya dapati lebih ramai orang Cina dan India berbanding orang Melayu menjadi pengarah di jabatan-jabatan kerajaan, bank, syarikat, dan institusi-institusi lain pada masa itu, hubungan antara kaum dalam kalangan kakitangan u adalah baik. Segala-galanya dijalankan mengikut peraturan, dasar, sistem, dan tingkah laku profesional. Tidak timbul masalah diskriminasi kaum. Semua kesalahan dan aduan terhadap salah laku, salah guna kuasa, diskriminasi, penyelewengan, dan pilih kasih akan diadili mengikut sistem disiplin, tanpa mengira pangkat, etnik, mahupun agama.
Hubungan antara kaum juga tidak kurang baiknya di institusi pendidikan. Semasa mengaji di Universiti Malaya pada lewat tahun 60-an, ramai orang Cina, India, dan orang putih menjadi dekan dan ketua jabatan—kecuali di Jabatan Pengajian Melayu dan Fakulti Pengajian Islam. Malah, di Institut Teknologi Mara tidak ada diskriminasi kaum apabila pengarahnya, Arshad bin Ayub telah melantik ramai orang Cina dan India sebagai tenaga pengajar, selain menghantar mereka untuk mendapat ijazah tinggi di universiti di seberang laut.
Kegiatan ahli politik yang bersifat perkauman
Disebabkan sebahagian ahli politik mencari modal politiknya dengan memperlagakan satu kaum dengan yang lain, rakyat di negara ini akhirnya terperangkap dalam wacana berpaksikan identiti kaum, khususnya tentang perbezaan antara orang Melayu dengan orang bukan-Melayu. Selagi keamanan sosial dan keharmonian dalam kalangan rakyatnya terpelihara, selama itulah rakyat dapat meneruskan hidup mereka dengan cara berbalik kepada masyarakat asal mereka masing-masing bagi mendapatkan kekuatan kerohanian, politik, ekonomi, pendidikan, tunjuk ajar, pedoman, dan identiti. Dengan perlindungan itu, mereka dapat menepis hasutan yang terasa semacam barah daripada parti dan ahli politik kaum lain.
Selepas 60 tahun merdeka, rakyat negara ini masih terperangkap dalam perang psikologi yang tidak berhenti-henti antara satu dengan yang lain. Kepercayaan antara satu kaum terhadap yang lain yang wujud pada tahun 1960 dan 1970-an dahulu sudah hilang, dan diganti dengan rasa takut, waspada, dan curiga. Kita masih terikat dan berpegang kuat kepada warisan budaya masing-masing kerana belum ada lagi alternatif baru dan sesuai. Hal ini kerana pemimpin kita tidak sanggup berfikir di luar kotak untuk membayangkan semula diri sendiri sebagai rakyat yang disebut sebagai warga Malaysia.
Negara ini kepunyaan semua rakyatnya yang taat setia kepada raja dan negara, menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, selain juga yang bersopan dan bersusila dan mempercayai Tuhan. Kelima-lima sifat mulia itu adalah Rukunegara yang boleh dihafal dan difahami. Adalah diharapkan kerajaan yang memerintah boleh memainkan peranannya dalam menegakkan semula dan mengembalikan negara kepada prinsip-prinsip asas pembinaan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukunegara. Kerja itu mesti dijalankan berterusan selama puluhan malah ratusan tahun. Reformasi yang diingini itu mesti bermula sekarang.
Ding Choo Ming, Pesara dari UKM. Bekas Felo Penyelidik Utama (Profesor) di ATMA, UKM, Bangi. Pernah menghasilkan belasan buah buku dan puluhan buah esei, khususnya dalam pengajian Melayu.