Pulau Pinang dijangka menjadi negeri pertama di Malaysia yang memasuki fasa masyarakat menua. Namun, menurut laporan yang diterbitkan oleh Penang Institute pada Oktober lalu,[1] negeri ini belum cukup bersedia untuk mengurus cabaran demografi tersebut. Laporan itu turut menekankan keperluan untuk memperkukuh dasar berkaitan usia demi memenuhi keperluan populasi warga emas pada masa akan datang.
Exco Kebajikan, Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang, YB Lim Siew Khim, menyatakan bahawa negeri ini menyasarkan untuk menjadi negeri mesra warga emas menjelang Disember 2027 ,dengan visi yang jelas serta komitmen yang menyeluruh dalam menangani penuaan penduduk yang kian pesat.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), ketika ini, sebanyak 8% penduduk Pulau Pinang berusia 65 tahun ke atas , bersamaan kira-kira 144,000 orang. Dalam kategori umur 60 tahun dan ke atas pula, jumlahnya mencecah 228,400 orang atau 12.7% daripada keseluruhan populasi.Merujuk takrifan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sesebuah masyarakat dikategorikan sebagai “masyarakat menua” apabila sekurang-kurangnya 7% penduduknya berumur 65 tahun dan ke atas; “masyarakat tua” apabila peratusan itu meningkat kepada 14%; dan “masyarakat sangat tua” atau super-aged apabila angka tersebut mencecah 20%. Maka, secara definisi, Pulau Pinang kini sudah tergolong dalam kelompok masyarakat menua.
Namun, menurut Lim, usaha ini bukan sekadar memenuhi keperluan warga emas, tetapi turut bertujuan mewujudkan persekitaran yang inklusif dan mesra untuk semua lapisan usia — khususnya golongan berumur dan Orang Kurang Upaya (OKU).Laporan DoSM tahun 2024 turut mengenal pasti Seberang Perai Tengah sebagai salah satu daripada 11 daerah baharu yang diklasifikasikan sebagai kawasan menua, di mana lebih 7.1% penduduknya berusia 65 tahun ke atas.
“Pulau Pinang bertekad untuk menjadi negeri mesra warga emas menjelang Disember 2027. Kami komited untuk mempertingkatkan kualiti hidup bagi semua peringkat umur. Bayangan kami ialah sebuah negeri di mana semua , termasuk warga emas dan OKU ,dapat hidup berdikari, mengakses kemudahan yang diperlukan, serta terus aktif dalam komuniti,” jelas Lim.
Apakah Maksud Negeri Mesra Warga Emas?
Konsep negeri mesra warga emas, menurut Lim, bukan semata-mata tentang penyediaan perkhidmatan untuk golongan berusia. Ia juga merangkumi pendekatan holistik yang memastikan dasar, infrastruktur dan khidmat komuniti benar-benar menyantuni keperluan warga emas.
“Sebuah negeri mesra usia akan menitikberatkan kesejahteraan warga emas melalui penyediaan persekitaran inklusif yang menggalakkan penuaan secara aktif,” tambahnya.Matlamat utama adalah untuk memastikan golongan warga emas kekal sihat, berdikari, dan terlibat secara sosial selama mungkin. Pada masa yang sama, usaha ini turut memupuk rasa hormat terhadap sumbangan mereka dalam masyarakat.
Dalam mencapai sasaran ini, Pulau Pinang mengadaptasi kerangka kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di bawah Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Warga Emas. Kerangka tersebut menekankan lapan domain utama: ruang awam dan bangunan, pengangkutan, perumahan, penyertaan sosial, penghormatan dan keterangkuman sosial, penyertaan sivik dan pekerjaan, komunikasi dan maklumat, serta sokongan komuniti dan perkhidmatan kesihatan.
“Kami berhasrat untuk cemerlang dalam setiap domain ini , memastikan akses mudah, keterangkuman dan kualiti perkhidmatan yang memenuhi keperluan warga emas.”
Lim menjelaskan bahawa sebilangan besar warga emas di Pulau Pinang mengalami kekurangan fizikal dan deria. Maka, kerajaan negeri berusaha untuk menerapkan prinsip reka bentuk sejagat (universal design) agar kemudahan awam dapat diakses oleh semua, termasuk warga emas dan OKU.
Mengiktiraf Peranan Penting Warga Emas dan OKU
Data menunjukkan seramai 41,267 individu di Pulau Pinang hidup dengan pelbagai bentuk ketidakupayaan. Daripada jumlah ini, lebih 16,000 mengalami kekurangan fizikal, hampir 4,000 mengalami masalah penglihatan, lebih 3,000 mengalami masalah pendengaran dan sekitar 2,500 menghidap ketidakupayaan mental.Kerajaan negeri kini melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif bersifat jangka panjang untuk memenuhi keperluan warga emas dan komuniti OKU ,dengan menekankan bahawa mereka bukan hanya sebagai penerima bantuan, tetapi juga sebagai penyumbang penting kepada masyarakat.
Usaha negeri ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya berkaitan kesihatan, kesejahteraan dan pengurangan ketidaksamaan. Lim turut menegaskan bahawa penuaan aktif bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan, malah mampu mengurangkan kos penjagaan kesihatan dan membolehkan golongan warga emas serta OKU yang sihat terus memberi sumbangan ekonomi.
Infrastruktur, Digital & Komuniti: Ke Arah Kesejahteraan Menyeluruh
Fokus kerajaan negeri kini tertumpu kepada peningkatan tahap aksesibiliti di pelbagai lokasi, termasuk taman awam, laluan pejalan kaki, dan pusat komuniti. Usaha juga sedang dirancang bagi memperluas sistem pengangkutan awam yang lebih mesra warga emas, selain memperkukuh perkhidmatan geriatrik serta penjagaan berasaskan komuniti.
Bagi sektor perumahan pula, reka bentuk kediaman yang mesra usia sedang diperkenalkan, termasuk kerja-kerja pengubahsuaian pada rumah sedia ada bagi memastikan keselesaan dan keselamatan warga emas.
Dalam era digital masa kini, akses kepada teknologi turut menjadi keutamaan. Inisiatif seperti penyediaan latihan kemahiran digital dan alat keterhubungan kepada golongan berusia sedang digiatkan bagi merapatkan jurang celik digital. Pada masa yang sama, pelbagai program digerakkan untuk menyemarakkan penuaan aktif serta penyertaan sosial dalam kalangan warga emas.
Antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR), yang berfungsi sebagai sistem “rakan bantu” untuk menyokong warga emas dan OKU yang tinggal bersendirian. Melalui program ini, sukarelawan terlatih akan melakukan lawatan berkala ke rumah, membantu tugasan harian seperti penyediaan makanan, pembersihan, menemani ke janji temu kesihatan, dan memberi sokongan emosi.
“Program seperti ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap penjagaan institusi, malah memperkukuh peranan sokongan komuniti,” ujar Lim.
Keseluruhan pendekatan ini mencerminkan hasrat Pulau Pinang untuk tampil sebagai perintis dalam menghadapi realiti populasi menua , bukan sekadar bertindak secara reaktif, tetapi dengan strategi yang menyeluruh dan bersifat jangka panjang.
“Ketika negeri-negeri lain mula menyedari kepentingan dasar mesra usia, Pulau Pinang sudah pun melangkah ke hadapan dengan pelbagai program yang menyokong penuaan aktif. Kami melihat ini sebagai peluang untuk memimpin dan memberi inspirasi kepada negeri-negeri lain,” kata Lim.
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Carolyn Khor(2025). Towards An Age-friendly State By 2027. Penang Monthly, April Issue.
Carolyn Khor merupakan bekas setiausaha akhbar kementerian, bekas sukarelawan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) dan juga seorang pengkaji bebas..
Nota kaki
[*] Kredit : Gambar oleh Yuin Zhi di portal Unsplash [1] A Sustainable Active Ageing Policy for Penang, ISSUES, Yeong Pey Jung & Chan Xin Ying, 28 October 2022. Baca di ;https://penanginstitute.org/publications/issues/a-sustainable-active-ageing-policy-for-penang/