Perkongsian seorang rakan sepejabat tentang bengkel rekaan batik telah membangkitkan semangat saya yang sekian lama terpendam. Hasrat hati untuk menimba ilmu seni batik terus membara bila mendapat khabar ada bengkel batik di Straits City Concept Centre, Seberang Perai.
Dahulu, semasa di bangku sekolah, saya pernah mengikuti kelas tuisyen lukisan dan di waktu senggang saya melakar untuk terapi minda. Tapi, seiring masa dan kesibukan mengejar cita-cita ke menara gading serta tuntutan dunia pekerjaan, hobi itu kian terpinggir, disimpan jauh di sudut kenangan.
Setahu saya, batik merupakan seni kraf tekstil tradisional Melayu yang berasal dari kepulauan Melayu, namun masih banyak warisan khazanah bangsa ini yang belum saya ketahui, termasuklah pelbagai jenis batik yang dihasilkan melalui teknik seperti blok, tulis, skrin, dan penggunaan pewarnaan asli. Buat pertama kali saya berpeluang bersua muka dengan maestro batik negara, Encik Samsuddin Abu Bakar, serta Pengarah Pengurusan Acara yang tersohor, Encik Joe Sidek.
Di atas meja terbentang kain kapas putih yang sudah distaplekan rapi pada bingkai segi empat yang luas permukaannya, sedia menanti untuk dilukis. Bagi Encik Shamsuddin dan Encik Joe Sidek, bengkel ini bukan sekadar platform untuk memperkenalkan teknik menghasilkan batik, tetapi sebagai usaha menyemai semula kecintaan terhadap seni batik. Hasrat mereka adalah untuk melahirkan gelombang baharu penggiat seni yang mampu mengangkat martabat Seberang Perai, Pulau Pinang, dan Malaysia sebagai pusat nadi kesenian batik yang unggul.
Kami diminta memulakan rekaan dengan melakar corak pilihan masing-masing menggunakan pensel di atas kain kapas putih yang telah ditegangkan pada bingkai kayu. Motif yang dipilih boleh berasaskan unsur tradisional atau etnik, flora dan fauna, bentuk geometri, garisan dan ruang, organik, semi-abstrak, dan pelbagai lagi. Dalam proses ini, terlihat setiap peserta menampilkan cita rasa tersendiri; ada yang mereka corak baharu, manakala ada juga yang lebih selesa meniru rekaan sedia ada yang telah terbukti estetik dan harmoni.
Antara corak yang menjadi pilihan ramai ialah motif bunga-bungaan seperti teratai, tanjung, dan lain-lain selain pemandangan jalan raya di atas Jambatan Pulau Pinang, suasana kampung, dan juga bendera Malaysia. Saya memilih motif bunga raya, simbol kebangsaan yang telah diisytiharkan sebagai bunga rasmi Persekutuan Tanah Melayu sejak tahun 1960. Lima kelopaknya melambangkan prinsip Rukun Negara, manakala warna merah menyala kelopak itu mencerminkan keberanian, perpaduan, serta kepesatan pembangunan rakyat Malaysia.
Setelah corak dilakar, tibalah masa untuk mencanting, iaitu suatu proses yang memerlukan ketelitian, kesabaran, dan sentuhan seni yang halus. Kami diberikan canting, sejenis alat tradisional berbentuk muncung logam kecil yang berfungsi untuk menyalurkan lilin cair ke atas permukaan kain mengikut garisan lakaran pensel.Setiap titisan lilin perlu dikawal dengan cermat. Suhu lilin yang terlalu panas akan menyebabkan garisan kembang dan tidak sekata, manakala jika terlalu sejuk pula, alirannya tersekat-sekat dan mudah membeku di muncung canting. Ada masanya, kami perlu menuang semula lilin ke dalam bekas pemanas dan menceduk lilin yang baru, demi memastikan aliran yang lancar dan konsisten.
Selesai mencanting, kami beralih ke proses mewarna. Berus dan warna-warna disediakan dalam bekas kecil seperti hijau zamrud, merah jambu, kuning kunyit, biru laut sedia menanti untuk dihidupkan di atas kanvas putih. Teknik mewarna batik bukanlah sekadar mewarnakan ruang kosong, tetapi turut melibatkan kawalan air dan pencampuran warna bagi menghasilkan gradasi dan kesan dramatik.
Setelah proses mewarna selesai, kami dimaklumkan oleh penganjur bahawa kain-kain batik yang telah dihasilkan akan dibawa pulang untuk menjalani proses penjemuran dan rawatan seterusnya, iaitu merebus kain ke dalam air panas mendidih bagi menanggalkan lapisan lilin yang telah mengeras. Perlahan-lahan, garisan lilin yang sebelum ini membentuk sempadan corak mula menghilang, mendedahkan hasil akhir yang berwarna-warni dan menyatu indah dengan serat kain. Kain akhirnya dibilas dengan air bersih dan dijemur sekali lagi sehingga kering sepenuhnya. Hasilnya: sehelai batik yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi menyimpan cerita, kenangan, dan proses yang menyatukan seni, warisan, dan ekspresi diri.
Sepanjang menghadiri bengkel ini, saya berpeluang berkenalan dengan para peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk seorang guru pesara yang berkongsi pengalamannya mengendalikan kelas lukisan batik. Lebih daripada sekadar bengkel, program ini menjadi medan pertemuan antara insan seni untuk menjana dan bertukar idea, menyemai inspirasi baharu, mengasah kemahiran, membina portfolio, serta mengenal pasti gaya seni masing-masing. Ia bukan sekadar pengalaman berkarya, tetapi sebuah perjalanan jiwa yang menyatukan warisan, kreativiti, dan rasa cinta terhadap batik.
Proses membatik dan penerapan motifnya mampu merangsang kreativiti. Batik bukan sekadar corak pada kain, tetapi merupakan unsur penting dalam budaya masyarakat Malaysia. Walaupun kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan budaya, batik tetap menjadi simbol penyatuan, yakni menjadi pakaian kebangsaan yang dikongsi bersama tanpa mengira latar bangsa. Imej batik sebagai warisan bersama ini amat bermakna dalam membentuk identiti kebangsaan Malaysia yang inklusif dan harmoni.
Seni ini bukan sahaja kaya dengan nilai warisan, malah berpotensi besar sebagai sumber rezeki kepada usahawan baharu sama ada melalui penghasilan batik, reka bentuk, pendidikan seni, mahupun pelancongan budaya. Aktiviti membatik juga sangat sesuai dijalankan bersama keluarga kerana ia mampu mengeratkan hubungan, mencipta kenangan indah, dan menanamkan rasa cinta terhadap seni warisan. Ia boleh menjadi hobi yang menyeronokkan dan sekaligus membuka peluang untuk menceburi bidang keusahawanan serta membina kerjaya dalam dunia batik yang penuh warna, kreativiti, dan makna budaya.
Mungkin suatu hari nanti, Pulau Pinang juga mampu mewujudkan hab batiknya sendiri seperti di Pantai Timur dan setanding dengan pusat-pusat batik ternama di Indonesia, melalui pendekatan yang mengekalkan identiti tempatan sambil merangkul pasaran global.
Nota : Sekali lagi, setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak penganjur, Encik Joe Sidek, Batik Maestro, Encik Samsuddin Abu Bakar, serta rakan kolaborasi, Think City atas usaha keras mereka menjayakan bengkel batik ini.Kredit juga kepada saudara Fahim Hafiz Bin Azhar,jurugambar bertugas.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.