Air, seperti api, tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Semasa musim kemarau, hujan yang membasahi bumi dialu-alukan bagaikan kurniaan Tuhan. Petani lega melihat tanah tandus mula subur semula dengan datangnya hujan untuk memberikan nafas baharu kepada ladang. Akhirnya, segala kerja payah memeras keringat membuahkan hasil. Apabila berbincang tentang perubahan iklim El Niño dan La Niña semasa zaman persekolahan dahulu, begitulah imej yang sering diberikan.
Kali pertama saya mendengar dua patah istilah Sepanyol ini semasa saya masih di darjah dua, ketika guru kelas meminta kami supaya menyediakan sepasang baju dan makanan kering seperti biskut untuk disimpan di sekolah. Pada masa itu, tidak terlintas dalam fikiran bahawa tugasan yang diberikan ini adalah suatu langkah berjaga-jaga sekiranya terperangkap dan terpaksa bermalam di sekolah kalau banjir melanda. Saya gembira kerana menyangka akan ada kegiatan perkhemahan bersama kawan-kawan di sekolah.
Mujur, bekalan baju dan makanan tersebut tidak perlu digunakan dan hanya dibawa balik ke rumah selepas sebulan. Pada musim hujan, kami tahu bahawa Jalan P. Ramlee bukan sahaja terkenal sebagai lokasi rumah seniman teragung Allahyarham P. Ramlee, malah jalan itu juga mempunyai reputasi sebagai kawasan yang sering ditenggelami banjir. Saya masih ingat lagi dengan kisah seorang rakan sekelas saya yang tidak dapat hadir ke sekolah hampir seminggu kerana rumahnya di jalan itu digenang banjir.
Bagi saya yang berumur lapan tahun pada ketika itu, hujan lebat bukanlah perkara yang begitu merisaukan. Hujan lebat kadangkala menjadi alasan kukuh untuk ponteng sekolah. Malah, sekiranya bernasib baik, dapat pula bermain hujan di hadapan rumah. Saya dan kakak saya selalu bertarung dalam perlumbaan kapal kertas dan daun kering sebelum mak dan ayah menengking kami supaya masuk semula ke dalam rumah agar tidak jatuh sakit.
Apabila difikirkan semula, tidak pernah sekali pun kami jatuh sakit akibat bermain hujan. Namun, saya tahu bahawa risiko paling besar adalah jika terjatuh ke dalam longkang yang dilimpahi air yang mengalir deras. Malah, sudah tentu lebih parah sekiranya terdapat ular atau terpijak benda tajam dalam longkang tersebut.
Fenomena Banjir di Bandar
Banjir di Malaysia, terutamanya di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu, merupakan bencana yang berlaku saban tahun. Namun, baru-baru ini, kawasan bandar di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pula yang sering ditimpa ribut petir sehingga munculnya gambar dan video di media sosial yang memaparkan lebuh raya dan kereta habis ditenggelami banjir. Malah, malapetaka ini berlaku dengan semakin kerap, iaitu hampir setiap bulan. Hal ini menunjukkan bahawa pembangunan pesat tanpa mengambil kira kemusnahan alam sekitar mendatangkan musibah.
Walaupun pembangunan bandar pada dasarnya merupakan lambang kemajuan bagi sesebuah negara, namun ia perlu dirancang dengan baik. Sekiranya kita meratapi kemusnahan alam semula jadi sebagai nasi yang sudah jadi bubur, maka hilanglah harapan untuk memulihkan keadaan. Beberapa usaha telah diambil di Pulau Pinang untuk mengawal keadaan banjir. Projek Tebatan Banjir bernilai RM150 juta meliputi pembinaan dan penambahbaikan pelbagai infrastruktur seperti kolam takungan, rumah pam, penaiktarafan parit monsoon, sungai, dan sistem perparitan dalaman.
Projek-projek ini dilaksanakan di tiga daerah negeri dan tumpuan diberi di lapan kawasan hotspot. Selain itu, sebuah Unit Bencana telah ditubuhkan untuk menjalankan penyelidikan sebagai langkah bersiap-siaga menghadapi sebarang risiko banjir. Ahli-ahli dalam unit ini diberi latihan pertolongan cemas serta protokol kesediaan bencana, pengurusan pasca bencana, dan pencegahan penyakit. Usaha-usaha ini amatlah wajar dipuji dan harus diteruskan demi keselamatan semua.
Kita juga boleh mengambil iktibar daripada negara-negara maju lain seperti Singapura dan Belanda yang berjaya mengatasi masalah banjir walaupun mempunyai pembangunan pesat. Di Singapura, semua pemaju kawasan perumahan dan bangunan baharu diwajibkan mengambil langkah pengelakan banjir seperti membina kolam takungan ataupun taman hujan di mana air hujan boleh mengalir dan diserap oleh tanah. Selain itu, rangkaian perparitan bawah tanah juga diperluaskan dan ditambah dengan beberapa terusan lencongan bagi mengurangkan beban di saluran utama parit yang sedia ada.
Di Belanda pula, sungai-sungai diperluaskan untuk menampung pengaliran air semasa hujan lebat. Malah, mereka telah memperluaskan tebing sungai sehingga mengorbankan kawasan-kawasan pertanian yang terletak bersebelahan. Walaupun pada mulanya petani-petani yang terpaksa menyerahkan tanah mereka terasa berat hati, namun selepas melihat bahawa cara ini berkesan bagi mengurangkan banjir, mereka pun sedar bahawa pengorbanan mereka adalah berbaloi.
Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing
Pengajaran yang boleh kita pelajari daripada pengorbanan petani-petani Belanda ini bukan sahaja dari segi teknik jurutera dalam menguruskan masalah banjir, malah dari segi cara pemikiran rakyat jelata dalam membantu menyelesaikan masalah bersama.
Walaupun infrastruktur moden dan perancangan bandar yang jitu berkesan untuk memastikan keselamatan penduduk daripada bencana banjir, namun semua orang juga mempunyai tanggungjawab sendiri dalam hal ini. Sebagai contoh, orang awam perlu mempunyai hati nurani sivik supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat sehingga menyebabkan longkang tersumbat. Para penjaja dan pekerja restoran juga tidak harus membuang sisa makanan dan minyak ke dalam parit sehingga menyebabkan longkang tersumbat dan permukaan jalan dilapisi minyak.
Jika Sungai Pinang pernah dikenali sebagai salah satu sungai terkotor di Malaysia, maka tidak lain tidak bukan ia adalah hasil tangan kita sendiri. Walaupun kita tidak boleh mengawal keadaan cuaca, namun sebagai rakyat kebanyakan, kita perlu mempunyai kesedaran diri supaya tidak melakukan perkara yang akan memudaratkan alam sekitar. Seperti semua benda dalam hidup, setiap kelakuan kita mempunyai balasannya bagai bulatan kehidupan.
Oleh itu, dalam menangani masalah banjir yang semakin kerap melanda Pulau Pinang, pihak berkuasa mestilah mengambil tindakan secepat mungkin dengan kerja-kerja penambahbaikan dan rakyat jelata juga harus bekerjasama dalam memastikan longkang dan sungai tidak tercemar. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Dr Beh May Ting merupakan penyelidik projek di Program Kajian Sejarah dan Serantau, Penang Institute. Beliau mendapat ijazah sarjana kedoktoran dalam bidang antropologi dari Monash University, Malaysia.