Apabila 42 Penang Campus secara rasmi dibuka di George Town, ia bukan sekadar pelancaran sebuah sekolah teknologi baharu, tetapi lebih kepada permulaan babak baharu dalam perjalanan digital negeri Pulau Pinang. Terletak di Wisma Yeap Chor Ee yang kaya dengan warisan, sekolah pengaturcaraan terbaharu ini melatih generasi muda kemahiran dalam pembangunan perisian, kecerdasan buatan (AI), dan keselamatan siber. Apa yang istimewa dengan sekolah ini bukanlah apa yang diajar, tetapi bagaimana ia diajar.
Mengikut model global 42, 42 Penang Campus menolak konsep bilik darjah tradisional, kuliah, dan yuran pengajian. Sebaliknya, pelajar belajar bersama dengan rakan sebaya melalui pembelajaran berasaskan projek. Dalam kaedah ini, pelajar mendalami sesuatu bidang dengan meneroka cabaran dan masalah sebenar industri. Pendekatan ini menekankan pembelajaran melalui amalan dan pemikiran kritis, bukannya arahan atau hafalan semata-mata. Ia bukan sahaja membina pengetahuan, tetapi juga melatih keyakinan, kreativiti, dan sikap proaktif pelajar dalam menyelesaikan masalah dunia nyata.
Bagaimana projek dinilai jika tiada guru? Di 42 Penang Campus, pelajar menjadi guru antara satu sama lain. Mereka belajar bukan dengan menghafal, tetapi dengan mencuba, gagal, bangkit semula, dan akhirnya menemui jawapan sendiri. Setiap kod yang ditulis mesti mampu “diceritakan” kepada rakan, kerana nilai sebenar bukan hanya pada hasil, tetapi pada kejelasan pemikiran dan kekuatan hujah. Penilaian rakan sebaya memerlukan pelajar menilai kerja masing-masing dengan menggunakan skala pemarkahan yang ditetapkan oleh pasukan pedagogi. Inilah pendidikan yang bukan sekadar membina kemahiran, tetapi juga melahirkan keyakinan, kreativiti, dan daya tahan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow, yang merasmikan pelancaran kampus 42 Penang Campus menyifatkan inisiatif tersebut sebagai penanda aras strategik di bawah visi Penang2030. Katanya, “Pulau Pinang sentiasa dikenali kerana keupayaannya menyesuaikan diri.” “Ketika AI, automasi dan transformasi digital mengubah landskap industri, kita perlu membina ekosistem supaya bakat, idea dan keusahawanan boleh berkembang bersama.”
Kampus ini juga sejajar dengan agenda inovasi negeri yang lebih meluas. Bersama-sama dengan inisiatif seperti Creative Digital District, Penang Silicon Design @5km+, dan Rancangan Induk Ekonomi Digital 2.0 yang bakal dilancarkan, 42 Penang Campus menjadi satu lagi tiang kukuh yang menyokong hasrat Pulau Pinang untuk muncul sebagai hab ekonomi digital yang dinamik.[1] Lebih daripada sekadar sekolah teknologi, 42 Penang Campus adalah platform untuk mobiliti sosial. Keistimewaannya terletak pada keterbukaan dan akses yang luas. Selaras dengan keperluan Akta Pendidikan, syarat minimum ialah menamatkan Tingkatan Lima.[2]
Pendekatan ini menjadikannya terangkum dan sejajar dengan aspirasi negara sekaligus melengkapkan golongan muda dengan kreativiti, dan berdaya saing. Lebih daripada sekadar mengajar kemahiran teknologi, kampus ini bertujuan mencetuskan inovasi dan keusahawanan. Program sampingan seperti StartupPenang500 dan Hardtech & Deeptech Commercialisation Accelerator membantu pelajar mengembangkan idea mereka menjadi produk atau perkhidmatan yang boleh dipasarkan, dengan matlamat melahirkan graduan yang mampu mengembangkan kemahiran dan idea mereka ke arah usaha niaga yang berdaya saing di peringkat global.
Usaha ini menuntut kerjasama pelbagai pihak khususnya syarikat korporat, institusi pengajian tinggi, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta organisasi masyarakat. Sama ada melalui bimbingan, latihan industri, projek bersama atau peluang pekerjaan, sektor awam dan swasta memikul tanggungjawab bersama dalam membina ekosistem yang mampan.[3] Kolaborasi ini amat penting bagi memastikan kejayaan transformasi digital negara, khususnya dalam menjamin inklusiviti digital untuk golongan muda.
Bagi ramai anak muda di Pulau Pinang dan seluruh negara, 42 Penang Campus bukan sekadar tempat untuk mempelajari kod tetapi ia adalah pintu masa depan—masa depan di mana kemahiran digital bukan sahaja dihargai, tetapi menjadi keperluan. Masa depan di mana mereka berpeluang untuk membina kerjaya sendiri, memulakan perniagaan sendiri, dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
Dalam dunia yang semakin digerakkan oleh algoritma, data dan kecerdasan buatan, penguasaan pengaturcaraan bukan lagi kemahiran sampingan, tetapi merupakan bentuk celik digital yang asas. Dengan pelancaran 42 Penang Campus, iaitu sekolah pengaturcaraan terbaharu di negeri ini, Pulau Pinang bukan sahaja memperkukuh ekosistem digitalnya, malah melahirkan generasi baharu bakat teknologi yang bersedia bersaing di peringkat global.
Rujukan
1) Lee, E. (2025). 42 Penang Campus launched. Buletin Mutiara. May 16-31. https://www.buletinmutiara.com/42-malaysia-expands-to-penang-to-boost-innovation-and-nurture-talents/
2) K.H. Ong. (2025). 42 Penang set to open, offering new pathways in tech education. Bulletin Mutiara, February.
3) Ibid.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.