Tidak banyak kata antara aku dan ayah. Sejak kecil, perbualan kami ringkas, singkat, dan
langsung ke agenda. Dia tidak gemar berlengah-lengah ketika berbicara. Malah, sejauh
cerapanku, dia tidak mampu untuk duduk dan bertukar buah fikiran, atau mengomel tentang
hal-hal yang tidak mendesak semisal muzik, filem, dan sastera. Jadi, untuk menghilangkan
rasa canggung ketika makan bersama di meja, dia akan memecah kesunyian dengan
bertanya tentang sekolah, atau lebih khusus tentang tahap kemampuanku dalam matematik.
Hari ini, ketika sesekali pulang menjenguk, di meja makan yang sama, ayah membuka
mulut dan menyiasat tentang pekerjaanku. Sampai ke saat ini belum ada jawapan yang
puas baginya. Namun demikian, ada seperkara di luar kelembaman hal-hal harian yang
paling gemar dia ceritakan: serpihan-serpihan pengalamannya ketika menjadi seorang
askar, atau lebih khusus pengalamannya mengikuti operasi membanteras Komunis di
tengah-tengah hutan Gerik, di negeri Perak.
Setelah tamat sekolah pada tahun 1960-an, ayah terus berangkat menaiki bas dari
kampungnya di Terengganu ke Port Dickson untuk menjalani latihan ketenteraan di kem
tentera darat di sana selama lebih kurang dua tahun. Sebaik tamat mengikuti latihan, dia
masuk bertugas sebagai prebet, dan tidak lama kemudian menjadi sarjan di Rejimen
Semboyan Askar Melayu Diraja, sehingga dia pencen 12 tahun kemudian. Ketika bercerita
tentang kepayahan-kepayahan yang dilaluinya apabila terpaksa berpindah-pindah
kem—sekejap di Kuching, sekejap di Alor Star, dan sekejap di Pengkalan Chepa—riak
wajah dan nada suaranya terpancar rasa bangga, bagaikan tiada hal lain lagi yang boleh dia
banggakan.
Ayah bercerita tentang bagaimana dia pernah berjalan sambil memikul beban beg dan
senapang M-16 sejauh beratus-ratus kilometer, terjun dari perut pesawat Hercules, dan
tersadai di hutan teman-teman seangkatan dengan bekalan makanan yang hanya cukup
untuk dua atau tiga kali makan. Dia gemar mengulang cerita bahawa di hutan tebal Gerik,
nasibnya baik kerana beberapa kali terlepas daripada terkena jerangkap samar sewaktu
menghalau Komunis ke sempadan Malaysia-Thailand.
Ayah tidak selalu mengungkit cerita-cerita kepahlawanannya, dan jika diceritakan
sekalipun, perkara itu hanya terjadi di jalan raya, atau lebih tepat di jalan raya yang
menyambungkan pantai timur dan utara, melalui daerah Jeli, Gerik, Pengkalan Hulu, dan
Baling. Setiap kali melewati jalan raya yang panjangnya lebih daripada 200 kilometer itu,
ayah semacam masuk ke dalam kapsul masa, kembali ke tahun 1967, ketika jalan dua
lorong itu mula dibina. Kata ayah, selain mempercepatkan perhubungan antara wilayah
Kelantan, Perak, dan Kedah, tujuan Tunku Abdul Rahman menarah hutan dan
membangunkan Jalanraya Timur-Barat adalah untuk memerangi gerila Komunis yang pada
ketika itu giat keluar masuk hutan.
Kerja-kerja pembinaan jalan tersebut mengambil masa selama 20 tahun kerana sering
terbantut akibat pengkhianatan Komunis. Betapa banyaknya jentolak dan jengkaut yang
dibom Komunis pada ketika itu. Malah, sewaktu jalan itu mula dibuka kepada orang awam
pada tahun 1989, askar-askar masih berkawal di sepanjang jalan dan orang ramai hanya
dibenarkan untuk menyeberang pada waktu siang atas alasan keselamatan. Biarpun
kedudukan ayah dalam sejarah panjang melawan Komunis tidaklah sebesar mana, caranya
bercerita bagaikan dialah yang duduk semeja dan berunding dengan Chin Peng.
***
Memang kita selalu menempel dan menyimpan pelbagai cerita pada jalan. Ayah tidak
terkecuali. Jalan, baik yang kecil mahupun besar, yang bertar atau berselut, bagaikan suatu
garis masa yang panjang, dan pada titik-titik tertentu yang jarak jedanya tidak menentu, ada
ingatan-ingatan yang timbul bagaikan buih-buih yang meletus ditiup angin saat kita
melewatinya. Ketika menelusuri sesebuah jalan, kita bagaikan memasuki sebuah muzium
hidup yang segala pamerannya berubah-ubah akibat pergeseran antara waktu dengan
tempat.
Malahan, ingatan-ingatan yang timbul tidak semestinya atau selalunya ingatan-ingatan
yang dikongsi bersama, tetapi ingatan-ingatan yang sangat peribadi sifatnya. Ketika
menelusuri jalan rusuk di negeri Kelantan misalnya, kita tidak hanya mengingati cerita
tentang para pembesar setempat mempertahankan jajahan masing-masing, tetapi
barangkali bagaimana kita membina jaringan-jaringan antara peribadi yang melampaui
batas-batas politik. Di sini kita tahu bahawa jalan tidak hanya menyambungkan satu tempat
dengan tempat yang lain, tetapi juga berfungsi sebagai tempat untuk kita membangunkan
kehidupan. Kita membina rasa akrab, rasa kesebatian dengan sesebuah jalan. Ia
mempermudahkan manusia untuk mengenali satu sama lain dan menghubungkan kita
dengan perkara-perkara yang tidak nampak, yang melatari binaan-binaan yang kita nampak
di tepi jalan.
Hanya jalan yang menyambungkan aku dengan ayah, menjentiknya untuk membuka
kisah-kisah silam. Biarpun demikian, di sebalik kemampuan jalan untuk merakam pelbagai
jenis ingatan, kita sedar bahawa jalan juga adalah seperti pisau bermata dua yang turut
menghapuskan pelbagai cerita dan ingatan yang kita rakam sekian lama. Hal ini lebih-lebih
lagi dalam dunia moden hari ini yang mengejar kecepatan dan keselesaan. Jika dahulu
orang menelusuri denai-denai untuk ke sesuatu tempat, tetapi akibat peredaran masa,
denai-denai kemudiannya berubah menjadi jalan-jalan berturap. Kini, untuk mempercepat
dan mempermudahkan perjalanan, kita membina lebuh raya merentasi jalan-jalan kecil yang
pernah menjadi sebahagian daripada tempat kita membesar.
Ketika melewati lebuh raya, kita menyaksikan pemandangan alam yang terbina rapi,
sekata, dan terpisah daripada pelbagai cerita tentang kehidupan. Apa yang dapat kita lihat
di sepanjang jalan dan di sekeliling kita umumnya adalah bukit-bukit yang ditarah dan hutan-
hutan yang ditebas dan digantikan dengan ladang-ladang yang lebih memberi keuntungan
ekonomi. Tidak seperti jalan raya dua lorong yang menerobos kampung-kampung dan kota-
kota tempat kita bermain, kita seakan-akan memasuki sebuah ruang vakum yang terlepas
daripada masa. Matlamat kita hanyalah untuk cepat sampai ke tujuan dan kita hanya
melambai di pintu-pintu daerah tanda berpeluang untuk masuk menjenguknya. Cerita-cerita
kita akhirnya hilang tanpa kubur.
Izzuddin Ramli merupakan seorang penulis, penterjemah, dan penyunting. Beliau
menguruskan portal esei Suara Nadi dan mengendalikan audio siar Bual Nusantara.