SELEPAS sepuluh minit menaiki feri dari Jeti Batu Musang di Seberang Perai, kami tiba di Pulau Aman. Terkenal dengan syurga nelayan, kami sedar bahawa “syurga” dan “memancing” jarang seiringan pada masa kini.
Pulau Aman terletak lima darjah di utara khatulistiwa. Di laut ketika menaiki feri, kawasan ternakan ikan dapat dilihat bersama rumah penjagaan kecil, menandakan usaha penduduk tempatan meneruskan pencarian rezeki mereka di sekitar pulau itu. Pinggir pantai pulau ini ditandai dengan jeti kayu yang panjang dan bergelombang menuju ke kafe makanan laut. Sebuah sekolah rendah terbentang di tepi bukit di atas tempat pendaratan feri, manakala buaian kecil yang digantung di bawah pokok sukun menandakan wujudnya tempat beristirehat di lokasi yang tenang ini. Bagaimanapun, pengabaian alam sekitar di laut menimbulkan banyak masalah kepada penduduk asli pulau itu.
Seorang lelaki tempatan menjerit keluar dari teratak kecil yang terletak di antara hutan hijau dan lautan, menyuruh kami supaya tidak pergi terlalu jauh di sepanjang pantai. Jelas sekali, lelaki ini mempunyai sesuatu untuk dikatakan tentang keadaan semasa industri perikanan di sini: “Pulau Aman tidak lagi berfungsi sebagai tempat ternakan udang sejak 90-an!” kata Saiful, yang pernah menjadi seorang nelayan di suatu masa dahulu.
Belacan adalah satu keperluan dalam kebanyakan resipi Asia Tenggara, dan bahan paling penting dalam belacan iaitu udang, kian berkurangan, semakin hilang dari perairan tropika Malaysia. Walaupun belacan masih dihasilkan di pulau itu, spesies udang yang dikenali sebagai udang geragau—diternak di negeri lain dan kemudian dihantar semula ke Pulau Pinang. Jelasnya, industri perikanan di pulau ini kian merosot. Saiful, mencemuh sambil menunjuk ke arah tanah besar dari pantai timur Pulau Aman, “Pembangunan baru ni menyebabkan pencemaran air mengalir ke pulau-pulau. Tak baik untuk karang, tak baik untuk ketam, musnahlah alam semula jadi untuk ikan.”
Di sepanjang pantai di Bandar Cassia dan Batu Kawan, 50,000 unit rumah dibina untuk menampung unjuran pertambahan penduduk. Kesalinghubungan yang lebih baik antara Pulau Pinang dan Seberang Perai melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Jambatan Pulau Pinang telah menyediakan insentif untuk pembangunan pesat di sana.
“nelayan perlu mengembara lebih jauh sekarang untuk menangkap ketam bunga. Malangnya, bila jambatan Pulau Pinang dibina, laluan perkapalan berubah. Kapal-kapal tidak lalu di sini lagi; terpaksa mengelilingi pulau. Dahulu, lebih senang untuk menangkap ketam dan udang kerana mereka boleh mengikuti laluan perkapalan. Terdapat jejak kerang dalam lumpur di sepanjang laluan kapal di sana”, Kata Saiful.
Sambung Saiful lagi, “kini, nelayan perlu pergi lebih jauh untuk mencari kawasan baru dan mereka hanya mempunyai enjin yang mempunyai 15 kuasa kuda. Bahan api menjadi lebih mahal, dan ia berbahaya sekarang apabila nelayan perlu menempuh jarak yang lebih jauh. Ombak boleh mendatangkan malapetaka bagi mereka yang menaiki bot kecil. Semua ini tidak boleh diteruskan.”
Saiful, seperti kebanyakan nelayan lain, telah mengambil keputusan untuk pergi lebih jauh untuk mencari pendapatan. Dia kini menjadi pemandu bot, membawa pekerja ke platform perlombongan luar pesisir (offshore) dari Singapura. Penguasaan bahasa Inggerisnya sangat baik, satu kelebihan bila bekerja dengan orang luar. Ramai nelayan lebih selesa di tempat sekarang, jarang mahu mengembara keluar dari tempat asal mereka. Tetapi Saiful tidak mahu berdiam diri mengeluh menyesali nasib yang menimpa dirinya.
“nelayan telah diberi pampasan atas kehilangan pendapatan daripada pembangunan baharu—tetapi hanya sedikit. Ini termasuk menyediakan visa memancing tahunan yang lebih murah kepada keluarga nelayan. Sesetengah nelayan menjual visa memancing tahunan mereka kepada orang lain dengan harga yang tinggi, tiga kali ganda daripada harga asal, dan mereka kurang menangkap ikan sekarang.” Menurut Saiful, ketam betina yang banyak telah membantutkan pembiakan.
“Kerang yang bersepah di laluan perkapalan juga jauh lebih kecil daripada dahulu. Kerang sekarang saiznya lebih kecil. Yabby (udang hantu) dulu banyak. Inilah akibat perubahan alam sekitar.”
Rantau Pulau Pinang kini bergantung pada pengimportan makanan laut— dalam sebuah negara yang disenaraikan sebagai mempunyai keselamatan makanan kedua terbaik di Asia selepas Singapura. Pulau Aman adalah antara tiga kawasan akuakultur utama di rantau ini. Penangkapan ikan haram dan pencemaran alam daripada pertanian intensif di darat, dan tapak pelupusan sampah juga menyekat industri akuakultur yang semakin terancam. Penangkapan ikan di Pulau Pinang membentuk 77% daripada industri makanan laut tempatan, dengan akuakultur pada kadar 22%, yang amat membimbangkan.
Antara unsur yang paling ketara tentang perubahan alam sekitar adalah perlindungan perikanan yang tidak mencukupi. Begitu juga pemetaan tapak sumber perikanan yang lemah mengakibatkan kurangnya penceburan diri di kalangan nelayan dalam bidang perikanan akuakultur. Pendidikan awal sangat penting yang mana anak-anak perlu tahu kesan pemanasan global dan akibat pembuangan barangan plastik ke laut. Ikan lumba-lumba masih melalui pulau ini dan ini adalah suatu petanda baik. Tetapi janganlah lalai dengan tanggungjawab kita!
Misalnya, kesan perubahan iklim terhadap ekosistem perikanan menyebabkan berlakunya peningkatan paras laut, dan suhu lautan yang lebih panas. Hal ini memudahkan wabak penyakit dalam fauna marin membiak dan peningkatan aktiviti siklonik yang mana kualiti nutrien marin dan kemasinan akan terjejas.
Saya juga berkesempatan bertemu dengan seorang ibu kepada sembilan orang anak dewasa datang daripada keluarga nelayan bernama Noraini. Dia menceritakan kehidupan keluarganya di pulau itu. “Kami menangkap ikan keli, ketam, pari yang besar! Beberapa ikan pari boleh mencapai berat sehingga 30kg. Bos besar akan tiba dari Batu Kawan dan membeli terus dari rumah kami di sini. Dia kemudian menjual hasil tangkapan kami di pekan.”
Penduduk pulau juga bergantung pada tangkapan hidup udang mantis, bersama-sama dengan tenggiri raja gelama (kuak), kurau (sirip benang) dan ikan bawal emas. Ikan masin adalah satu lagi cara untuk menjana pendapatan.
“Saya mempunyai tiga anak lelaki dan enam anak perempuan. Mereka bekerja di kilang di Batu Kawan”, tambah Noraini. “Salah seorang anak lelaki saya sering keluar dengan bot untuk memancing. Masa sekaranglah yang paling sesuai memancing sebab hujan lebat dan angin kencang, lebih banyak ikan. Antara bulan Oktober hingga Disember, ikan kurang, jadi waktu itu kami akan berehat.
“Pada zaman datuk saya, semua orang memancing sepenuh masa, nelayan turun ke laut pukul 4 pagi. Tangkapan mereka tidak tertumpu pada spesies ikan tertentu. Sekarang ni tangkapan makin kurang, kos memancing pula semakin tinggi.”
Bayangkan alam sekitar yang tercemar yang dialami oleh penduduk pulau ini. Kesan alam sekitar yang berlaku ini sepatutnya diuruskan dengan baik. Projek tebus guna tanah menjadikan dasar laut lebih cetek yang selama ini didiami udang, ketam dan spesies ikan. Lumpur dan pasir dikorek dari dasar laut dan dibuang untuk projek penambakan menganggu ekosistem kawasan perikanan dan padang rumput laut memberi kesan kepada siratan makanan. Tidak kira lagi, pembersihan hutan bakau dan hutan daratan meningkatkan pelepasan kelodak ke lautan, kemudian memperlahankan arus air dan mengganggu dataran lumpur antara pasang surut. Manakala kekurangan undang-undang perlindungan terhadap industri akuakultur menjejaskan secara negatif sistem semula jadi dan sosial.
Pada 2016, eksport udang Malaysia telah diharamkan oleh Amerika Syarikat kerana kehadiran nitrofuran dan kloramfenikol. Walaupun dilarang di Malaysia, penggunaan banyak bahan kimia sedemikian adalah realiti di ladang udang. Pencemaran yang meresap ke dalam air bawah tanah telah mengganggu kemakmuran hidrologi sistem tanah lembap. Pengumpulan sisa berbahaya dan kekurangan air tawar bermakna kawasan kolam akan hilang penggunaannya.
Pulau Aman bukan lagi “syurga udang” seperti dahulu. Pulau itu semakin sepi, generasi muda kini perlu mencari sumber pendapatan lain atau berhijrah meninggalkan terus pulau itu untuk mencari pekerjaan lain.
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Jay Penfold dan Ian Browne. (2024). Fishing for a Living: The Case of Pulau Aman. Penang Monthly, April Issue.