Kalau kita percaya kepada cita-cita utopia tukang sorak teknologi, ketika mesin dan robot tahu serba-serbi tentang keperluan dan kehendak kita, maka masa depan yang indah akan menanti kita. Tanpa perlu diberikan arahan, kita akan mendapat apa sahaja yang kita mahu, pada bila-bila masa. Komputer di awanan akan memiliki pengetahuan penuh tentang diri kita, dan akan terus-menerus mengumpulkan maklumat untuk memantapkan lagi pengetahuan tersebut.
Jelas, matlamat ini mustahil tanpa adanya kebolehan untuk mengumpulkan data sebanyak mungkin. Hari ini data adalah kuasa bagi mereka yang mampu mengumpul, mengurus, dan menterjemahkannya dengan baik. Hampir setiap kegiatan hidup kita pada hari ini menyumbang kepada data yang dikumpulkan oleh pelbagai pihak—baik dikutip secara automatik atau diserahkan dengan sengaja. Telefon pintar dan komputer bukan sahaja menjadi alat untuk berkomunikasi, ia juga mampu mengesan gerak-geri harian kita hanya dengan bersandarkan kepada persetujuan yang kita sendiri tidak benar-benar fahami.
Anehnya, kita seperti tidak terganggu dengan tahap pengawasan sebegini. Kerahsiaan seakan-akan sudah menjadi barang langka. Pada hari ini, dengan rela ataupun tidak, kita mendedahkan maklumat peribadi dalam kebanyakan urusan kehidupan. Paling mudah, pengaliran maklumat dan data peribadi ini terjadi ketika kita menggunakan aplikasi-aplikasi melalui telefon pintar. Penyedia-penyedia perkhidmatan atau perniagaan tidak hanya beruntung dengan apa sahaja yang terjual, tetapi turut beruntung dengan data-data yang telah kita tinggalkan dengan percuma.
Bergantung kepada kaedah perniagaan masing-masing, untuk pengiklanan misalnya, pangkalan data yang besar memudahkan para pemilik perniagaan menyasarkan barangan kepada kelompok-kelompok yang relevan. Bagi mereka yang tidak beretika, data tersebut boleh saja dijual dan diolah kepada pihak ketiga (malah keempat).
Data mengamankan kita?
Maklumat peribadi dan gerak-geri kita bukanlah perkara enteng yang tiada nilainya. Ia sekurang-kurangnya melibatkan kehendak dan kemahuan, serta memberikan kesan kepada keselamatan diri. Maklumat kita itu dikumpulkan, diasing-asingkan, kemudian dipisah-pisahkan lalu diteliti untuk dijadikan bahan yang digunakan terhadap kita. Apabila maklumat peribadi kita bocor, yang akan berlaku bukan sekadar meningkatnya jumlah penipuan elektronik, ia juga boleh digunakan untuk menajamkan sasaran dan memujuk kita supaya kita membeli barang, atau menggunakan perkhidmatan dan sebagainya.
Kita ibarat papan dart yang dilemparkan puluhan malah ratusan jarum dalam masa seminit. Data yang kita berikan tanpa disedari akan turut memerangkap kita, kalau ia tidak dapat memujuk kita. Ada masanya, ia juga memerangkap kita selama-lamanya.
Pada asasnya, data hanyalah cebisan maklumat yang tidak boleh menghukum atau menghasilkan apa-apa keputusan moral. Begitu juga dengan algoritma. Ia hanyalah untaian kod komputer yang hanya mengikut arahan. Di sebalik keputusan mengumpul dan mentafsir, adanya manusia, dan manusia mempunyai sudut-sudut pandangan tertentu yang akan menentukan apa yang baik atau buruk. Apabila tiada ketelusan dalam kaedah dan pendekatan yang digunakan terhadap data tersebut, ada kemungkinan kita akan membenarkan komputer melakukan keputusan yang salah dan zalim.
Ambil contoh pengawasan Amazon terhadap para pekerjanya di tapak pemprosesan penghantaran mereka. Pergerakan pekerja dalam gudang, kadar pemprosesan, malah tempoh mereka berehat (hatta membuang air kecil) diukur dan dicatat. Ini kemudiannya dibandingkan dengan piawai yang ditentukan majikan. Sesiapa yang mencatatkan angka yang tidak memuaskan akan menerima nasib yang kurang baik. Sistem yang mengutamakan piawai bagi meningkatkan kadar pemprosesan seperti ini mengesampingkan hal-hal peribadi seperti tahap kesihatan dan kebolehan pekerja yang berbeza-beza.
Hal ini hanya akan mengurangkan nilai kemanusiaan yang terdapat dalam kerja-kerja manual yang masih kita perlukan biarpun dalam dunia serba digital. Sudah tentu anda boleh membeli barang-barang rumah dalam masa kurang daripada lima minit melalui telefon. Namun, sehingga hari ini tidak ada pilihan lain selain daripada tenaga pekerja manusia untuk menyiapkan, membungkus, menghantar pesanan tersebut. Hatta satu hari nanti robot mampu mengambil alih tugas-tugas ini dengan baik, apakah pekerjaan-pekerjaan yang tinggal untuk majoriti orang yang tidak dapat peluang bekerja dalam sektor kolar putih?
Menjadi manusia, bukan mesin
Pekerjaan tidak boleh dianggap sekadar tugas yang dilakukan bagi memenuhi keperluan Indeks Prestasi Utama (IPU). Pekerjaan juga tidak seharusnya dipisahkan daripada pengetahuan, pengalaman, dan kebolehan pekerja dalam melakukan tugas-tugas mereka. Jika pekerja hanya dilihat sebagai mesin input dan output, maka data semata-mata—biar beberapa petabyte sekalipun—tidak akan dapat berlaku adil terhadap pekerja.
Sama ada sebagai pekerja atau pengguna, kita harus memiliki kaedah untuk mengembangkan kuasa terhadap data diri sendiri. Kesedaran tentang peri penting perlindungan maklumat peribadi semakin meningkat. Antaranya adalah dengan wujudnya undang-undang dan tekanan daripada masyarakat sivil yang menghendaki pihak yang mengumpul data menjelaskan dasar-dasar pengumpulan mereka dalam bahasa yang mudah. Hal ini biasa kita lihat apabila laman-laman sesawang dan aplikasi meminta kebenaran daripada kita bagi capaian maklumat dan sumber yang mereka kehendaki.
Para pengguna perlu mengambil perhatian terhadap permintaan ini, dan mempertimbangkan keperluan untuk membuka jalan kepada permintaan tersebut. Selain daripada itu, kita juga perlu mencari alternatif yang boleh mengelakkan diri daripada bot-bot pengawasan sama ada di dunia Internet atau dunia nyata. Kadangkala ia semudah memadamkan ciri-ciri tertentu dalam tetapan peranti kita.
Apabila niat untuk mengawal itu lebih terserlah, usaha mengimbangi semula kuasa akan menjadi lebih sukar. Seringkali kontrak pekerjaan semasa bersifat secara langsung antara majikan dan pekerja (atau kontraktor) dan terasing daripada perlindungan-perlindungan yang wujud melalui undang-undang untuk melindungi pekerja tetap.
Peralihan status pekerjaan terlalu rumit untuk kita bincangkan secara ringkas, tetapi pokoknya ialah perlindungan pekerja menerusi undang-undang masih ketinggalan berbanding rupa pekerjaan di abad ke-21. Bagi menghadapi keadaan ini, pekerja sendiri perlu menggembleng tenaga untuk melindungi kebajikan sendiri.
Ini yang kita lihat berlaku baik dalam kalangan pekerja gudang Amazon di Amerika Syarikat yang sedang berusaha menubuhkan kesatuan supaya pekerja mampu membuat perjanjian bersama terhadap majikan mereka agar dapat menambah baik suasana pekerjaan mereka. Di Malaysia, kita masih terlalu jauh dari segi kemampuan golongan pekerja untuk mampu bertindak bagi melindungi kebajikan sendiri, apatah lagi kalau berstatus kontraktor ‘bebas’.
Malah belum cukup dibincangkan sejauh mana majikan-majikan menggunakan teknologi pengawasan untuk mengawal pekerja, dan ini memerlukan penelitian lanjut. Setidak-tidaknya kita perlu tahu apakah jenis pengawasan yang kita alami, supaya kita tidak sewenang-wenangnya membuka ruang pengawasan lebih dari yang patut. Kuasa kita sebagai individu mungkin terhad, sehingga kita mampu bergerak secara kolektif, namun kita masih ada keupayaan yang harus kita gunakan.
Lutfi Hakim Ariff merupakan pengasas bersama Waroeng Baru, kolektif bukan keuntungan yang bertujuan mempromosikan kadar penglibatan demokrasi dan kemapanan masyarakat. Beliau juga merupakan penulis bersama buku “Parliament, Unexpected” dan penyokong tegar kebebasan media tempatan.
Gambar oleh @altumcode (Unsplash)