Menurut Kementerian Pengajian Tinggi, terdapat seramai 136,497 orang pelajar antarabangsa di Malaysia pada 2019, dengan 93,569 mendaftar di institusi pengajian tinggi (34,556 di universiti awam dan 59,013 di institusi swasta). Ramai yang datang dari Timur Tengah, Afrika, Asia Tenggara dan Asia Tengah, dan tidak ramai dari Eropah.
Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015–2025 telah menyasarkan seramai 250,000 orang pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025; ini berlaku walaupun terdapat penurunan sebanyak 30% dari tahun 2017 hingga 2019. Penurunan itu kemudiannya diperburukkan lagi oleh wabak Covid-19 yang menghadkan sekolah untuk beroperasi, menurunkan kemasukan pelajar antarabangsa, dan penutupan banyak institusi pengajian tinggi swasta. Persoalannya adalah, sejauh mana Malaysia berjaya bertahan dalam landskap pendidikan pasca-Covid-19 ini? Hakikatnya, Malaysia sudah berada di landasan yang betul. Apa yang diperlukan hanyalah strategi inovatif bagi mencapai matlamat Malaysia menjadi hab pendidikan global.
Bagaimana Pelajar Malaysia Mendapat Manfaat?
Mengimbas kembali tahun pertama di universiti, Maria*, seorang pelajar tempatan, berpendapat bahawa hubungan rangkaian sosial yang dibina dengan pelajar-pelajar antarabangsa di kampus menjadikan pengalaman pendidikannya amat berharga dan kaya dengan pertukaran budaya. Katanya, “Sebelum saya menyertai kumpulan sokongan pasca siswazah, saya lebih bersifat introvert. Apabila saya terpaksa menghadiri banyak bengkel berkaitan penulisan dan penyelidikan akademik, saya cuba belajar menyesuaikan diri dengan membina rangkaian sosial dengan pelajar antarabangsa.” Interaksi silang budaya dengan rakan-rakan dari pelbagai negara meluaskan pandangan dunianya. Berkomunikasi dengan mereka secara tidak langsung meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggerisnya.
Walaupun telah lama menamatkan pengajian, Maria* masih kekal berhubung dengan rakan-rakan dan pensyarahnya dari England, Sweden, Nigeria, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan India. “Mereka meninggalkan kesan yang besar dalam hidup saya,” jelasnya. “banyak perkara baru yang boleh dipelajari daripada mereka. Saya sering berdiskusi dengan mereka mengenai pelbagai perkara yang saya kurang arif.”
Bagaimana Pelajar Antarabangsa Mendapat Manfaat?
Adegoke Ojeniyi, Professor Madya di Jabatan Sains Komputer, National University Maldives yang berasal dari Lagos, Nigeria, datang ke Malaysia pada 2012 untuk melanjutkan pengajian PhD di Sekolah Sains Komputer di Universiti Utara Malaysia (UUM). Ketika ditanya tentang cabaran yang dihadapi semasa belajar di Malaysia, dia mengakui sangat rindu kepada sahabat handai dan kaum keluarga yang ditinggalkan. Untuk mengubat rasa rindu, dia mula menyertai aktiviti kokurikulum dengan harapan dapat bersuai kenal dan berkongsi minat yang sama. Tidak lama kemudian, beliau dilantik menjadi Presiden Persatuan PASCA Siswazah UUM (PGSS), ahli Kelab Toastmasters UUM, bendahari Komuniti Nigeria UUM, dan Pegawai Penerbitan di Kediaman Dewan Maybank.
Disebabkan prestasi akademiknya yang baik, beliau memenangi tiga geran penyelidikan bersama profesornya di UUM dan diterima sebagai Pembantu Pengajar Siswazah (GTA) antara tahun 2013 dan 2016 sebelum berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah di UUM. Beliau yang dikenali dengan gelaran Goke berkata, “pengalaman yang dilalui banyak mengubah hidup saya, dan saya bersyukur dengan peluang yang diberikan. Malaysia adalah rumah kedua saya, dan walau di mana saya berada sekalipun selepas ini, kemahiran yang saya peroleh sepanjang menuntut ilmu di sini akan saya praktikkan sebaik mungkin bagi memastikan ilmu disampaikan dengan sempurna kepada generasi muda.”
Seorang lagi pelajar antarabangasa, iaitu Hillary Omatule Onubi yang berasal dari Kogi, Nigeria datang ke Malaysia pada tahun 2017 untuk melanjutkan pengajian peringkat PhD dalam bidang Pengurusan Pembinaan di Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau mengatakan bahawa sesetengah penduduk tempatan “takut kepada kami kerana mereka tidak boleh berbahasa Inggeris.” Pada mulanya beliau berasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan orang tempatan yang hanya berbahasa Melayu, tetapi selepas beliau mengikuti kursus intensif Bahasa Melayu selama satu semester, beliau kini dapat memahami sedikit bahasa tersebut.”
Walaupun ramai graduan menghabiskan masa berbulan-bulan, kadangkala setahun atau dua tahun, untuk meneroka peluang pekerjaan di universiti, ini tidak berlaku untuk Onubi. Sebaik tamat pengajian PhD pada tahun 2020, beliau ditawarkan jawatan sebagai Felo Penyelidik. Beliau kini merupakan Pensyarah kontrak di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
Bagi warga asing seperti Ojeniyi dan Onubi, datang ke Malaysia adalah salah satu keputusan terbaik buat mereka. Perjalanan hidup menimba ilmu di negara orang yang secara tidak langsung memperkaya ilmu dan dimensi budaya di institusi tinggi di Malaysia adalah sesuatu yang sangat mereka hargai. Kemahiran dan pengetahuan berkaitan industri yang mereka peroleh telah membuka peluang untuk mereka masuk ke pasaran global.
Selain daripada pencapaian akademik, gabungan kemahiran insaniah-kepimpinan, kemahiran interpersonal dan penyelesaian masalah, etika kerja, pengurusan masa, kebebasan dan komitmen adalah kualiti yang dicari oleh kebanyakan majikan. Sehingga ini Malaysia adalah rumah kedua mereka. Jauh dalam hati tersimpan kenangan pahit, manis dan indah yang telah dicipta—persahabatan yang akrab, integrasi sosial, dan pertukaran pengetahuan dan kemahiran, serta pelbagai dimensi budaya lain.
Peranan institusi pengajian tinggi adalah untuk merapatkan jurang antara kurikulum pendidikan dengan keperluan industri semasa dan akan datang supaya pelajar dapat bersaing dalam pasaran kerja masa hadapan. Membawa anak muda dari seluruh dunia ke Malaysia dan mengajak mereka bergaul dengan penduduk tempatan dari latar belakang dan budaya yang berbeza membolehkan mereka hidup dan belajar antara satu sama lain. Pada zaman globalisasi ini, pasaran kerja menuntut tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang tertentu. Demi mempersiapkan diri setiap insan, universiti adalah antara tempat untuk kita menerokai masa depan yang lebih cerah sambil mengenali dan bercampur dengan pelbagai budaya dari pelbagai negara untuk pembinaan tamadun dan peradaban yang lebih baik.
[1] Shariffah Bahyah & Siow Heng Loke (2022). Unfolding the moving-in experiences of international students at a Malaysian private tertiary institution. Asian Journal of University Education (AJUE). Vol. 18 (2), 1-13.
[2]https://bebasnews.my/2021/09/02/driving-our-higher-education-back-on-trackas-an-international-education-hub/
*bukan nama sebenar
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Rahida Aini Mohd Ismail (2024) bertajuk Malaysia as a Global Educational Hub: A Win-Win-Win Situation Penang Monthly, Mei 2024.
Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam, Beliau kini bertugas sebagai Pegawai Penerbitan di Penang Institute.