Orang Pulau Pinang memang berbangga dengan makanan mereka. Semasa saya di dalam salah satu bilik mesyuarat, sementara menunggu kedatangan Datuk Bandar Adelaide, Jane Lomax-Smith, dan pasukannya untuk masuk ke dalam panggilan Zoom, saya dapat tahu dari kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Bandar Pulau Pinang, Rajendran Anthony sudah bersedia untuk menjual cerita tentang enaknya makanan Pulau Pinang (dan Malaysia) kepada bandar kembar kita selama 50 tahun lamanya.
Ini merupakan antara mesyuarat rasmi yang pertama antara kedua bandar kembar untuk membincangkan pelan pengukuhan persahabatan bersempena dengan ulangtahun yang ke 50. Terdapat delegasi dari Pulau Pinang yang akan melawat Adelaide nanti—termasuk saya. Sudah tentunya, makanan adalah cara terbaik untuk mengeratkan hubungan. Rajendaran bermula dengan ucapan dukacitanya kerana tidak dapat menerbangkan penjaja dari Pulau Pinang untuk memperkenalkan makanan jalanan negeri memandangkan Australia mengamalkan prosedur biosekuriti yang ketat di sempadan antarabangsanya—ini adalah untuk menghalang pengenalan makhluk perosak dan penyakit.
Walaubagaimanapun, Lomax-Smith menyakinkan kami bahawa penduduk Adelaide sudah lama menyukai makanan Malaysia—terutamanya makanan Pulau Pinang—kerana ianya telahpun diperkenalkan kepada mereka 50 tahun yang lalu. Ketika itu, delegasi dari Pulau Pinang dan perwakilan makanan dan budaya kita yang sohor telah mendarat di bandar tersebut untuk mengadakan acara Penang Week yang pertama pada 1975. “Ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kami, dan saya tak dapat bayangkan Adelaide tanpa hidangan Malaysia,” katanya.
Penjaja-penjaja ternama Pulau Pinang telah diterbangkan untuk menghidangkan sajian tempatan autentik termasuk Lor Bak, Pasembur, Kari Kapitan, Choon Piah dan Char Kuetiau. Ahmad Khairummuzammil, Pengerusi Pelancongan dan Promosi Industri pada ketika itu, mendedahkan bahawa sebuah pesawat kargo telah ditempah khas bagi membawa penjaja-penjaja dan semua peralatan memasak mereka, barangan makanan dan keperluan-keperluan lain ke Adelaide. Pada hari perjalanan, penjaja-penjaja tersebut dan beberapa orang yang dipertanggungjawabkan oleh MPPP (pada ketika itu Majlis Perbandaran Pulau Pinang) perlu memuatkan kereta-kereta tolak ke dalam kapal terbang.
“Saya merupakan salah seorang yang berada di dalam pesawat kargo bersama penjaja-penjaja.” katanya. “Ada lebih kurang 50 orang. Kami ada Satay, Murtabak dan Char Kuetiau daripada dua beradik di Persiaran Gurney, bersama kuali mereka.”[1]
Salah seorang daripada penjaja dalam pesawat tersebut adalah mendiang Lim Ah Kwang, seorang penjaja terkenal dari Ho Ping Kopitiam (kini ditutup) yang terletak di sudut Jalan Penang dan Kampung Malabar pada tahun 1970-an. Ketika saya melawat gerai yang sudah dipindahkan ke Kedai Kopi Malabar, beberapa pintu dari lot sudut di mana Lim biasanya berniaga, anak perempuannya, Lim Siew Choo, dan anak lelakinya berada di sana, meneruskan legasi bapa mereka. Dia mengimbau pengalaman bapanya di Adelaide, ketika bapanya menyertai dua acara Penang Week di bandar selatan Australia itu. “Saya masih ingat dia memberitahu keluarga kami yang mereka terpaksa berkerja keras melayan ramai orang yang beratur untuk makanan kerana tiada yang pernah merasai makanan seperti itu sebelum ini. Orang berbaris panjang setiap hari, dan apa yang disedia untuk hari itu akan habis terjual setiap hari,” katanya. [2]
Lima dekad kemudiannya, saya berjalan sepanjang Pekan Cina Adelaide, berhampiran Victoria Square dan mengira bilangan restoran Malaysia sepanjang jalan itu, di dalam kepala. Antaranya terdapat OTown (tetapi bukan Old Town White Coffee yang kita ada di sini), PappaRich dan Kampung Boy.
Beberapa hari sebelumnya, saya bersama delagasi MBPP dijemput ke majlis makan malam anjuran Australia Malaysia Business Council South Australia (AMBC SA) di South Australian Health and Medical Research Institute (SAHMRI). Kami dihidangkan pelbagian sajian Malaysia; Nasi Lemak yang beraroma dan Rendang Ayam, Kuih Ketayap dan Teh Tarik yang sungguh kaww, setanding dengan yang apa yang kita ada di sini. Saya dimaklumkan bahawa katerer juadah-juadah tersebut ialah restoran Truly Malaysian Village, yang terletak di bandar sama.
Menurut Lomax-Smith, selera mereka untuk makanan Malaysia dan Pulau Pinang bermula dari pengenalannya semasa penjaja dari Pulau Pinang diterbangkan ke sana untuk Penang Week, hasil dari hubungan bandar kembar.
Pengenalan makanan jalanan kita kepada Adelaide mungkin nampak kurang organik, namun permulaan itu kini mampu berdiri sendiri dengan lambakan restoran Malaysia disana menghidangkan rasa Pulau Pinang. Semestinya, hubungan bandar kembar mendorong ramai ibubapa dari Pulau Pinang untuk menghantar anak mereka ke Adelaide untuk menyambung pengajian, secara tidak langsung mencipta permintaan untuk makanan Malaysia di situ. Teng Hock Nan, Presiden MPPP awal 90-an, memperkuat hubungan bandar kembar itu dengan menghantar anak perempuannya untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan dia Adelaide. Semasa disana, dia disambut mesra oleh Lomax-Smith yang juga merupakan Datuk Bandar Adelaide ketika itu. Lomax-Smithlah yang membantu penempatannya di Adelaide. Ada juga warga Pulau Pinang yang berhijrah ke Adelaide, seperti ibu bapa Adam Liaw, pemenang Master Chef Australia musim kedua. Dalam sebuah temubual dengan stesen TV Australia, SBS News, dia berkata bahawa hubungan bandar kembar itu merupakan salah satu sebab ibu bapanya berhijrah ke Adelaide pada tahun 1981. “Mereka terfikir ‘Oh kita boleh ke Australia’, dan beberapa tahun selepas saya lahir, di situlah kami menetap akhirnya.”[3]
Melihat bagaimana makanan Pulau Pinang menjadi sajian harian di Adelaide, saya tertanya-tanya jika kita boleh menjalankan program jangkauan untuk memperkenalkan makanan Pulau Pinang—bukan melalui pameran antarabangsa dengan gerai-gerai—kepada penduduk tempatan mana-mana negara yang ingin membuka pintu mereka untuk “Penang Week”. Thailand juga banyak membantu daya tarikan kita. Kita ada banyak restoran Thai di Pulau Pinang, dan festival Thai sentiasa menjadi kunjungan orang ramai. Untuk yang belum pernah ke Pulau Pinang, makanan kita menjadi dorongan untuk mereka menambah pulau kecil kita ke dalam senarai untuk dilawati. Kita tak ada banyak festival makanan di sini; sebagai contoh, Festival Makan Antarabangsa Pulau Pinang (Penang International Food Festival) yang diadakan bulan lepas, Festival Makanan Jalanan Pulau Pinang (Penang Street Food Festival) semasa pra-COVID-19 dan Festival Makanan Halal dan Warisan Pulau Pinang atau Penang International Halal Food and Heritage Festival (PIH2F). Namun, festival-festival ini adalah untuk mereka yang sudah pun menetap atau sedang melawat bandar. Jika kita lihat pada pengaruh makanan kita, kita boleh belajar dari apa yang berlaku di Adelaide dan mungkin minat yang signifikan pada makanan Pulau Pinang akan membesar bersama kemahuan untuk menjejakkan kaki ke pulau kecil kita.
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Rachel Yeoh (2024). Penang Food Flourishing in Our Twin City Adelaide. Penang Monthly, December Issue.
Rachel Yeoh merupakan bekas wartawan yang menukar kerjaya sibuknya untuk kehidupan di balik meja. Demi keseimbangan kerja dan kehidupan, beliau melibatkan diri dalam dunia seni persembahan selepas waktu bekerja.
Nota kaki
[1] George Town & Adelaide Sister Cities 50th Anniversary 1973-2023 by Marcus Langdon and Rachel Yeoh
[2] Ibid
[3] https://www.sbs.com.au/news/article/celebrity-chef-adam-liaw-looks-back-on-early-life-in-australia/udv7538ec