Madrasah Al Mashoor Pulau Pinang dikenali dalam sejarah sebagai salah sebuah madrasah Kaum Muda, tempat lahirnya reformis Melayu di Malaysia seperti Burhanuddin Al Helmy, Musa Ahmad, Abu Bakar Al-Ashaari dan lain-lain. Sebelum sambutan 100 tahun Madrasah Almashoor pada tahun 2016, saya cuba mencari cerita lain yang lebih mendalam tentang madrasah ini. Saya fikir banyak lagi tempat, orang, dan masa yang perlu diterokai, terutamanya tempat asalnya, iaitu George Town, Pulau Pinang.
Menurut sejarah umum, tarikh penubuhan Madrasah Al Mashoor adalah pada tahun 1919 dengan pengetua pertamanya ialah Syed Sheikh Al-Hadi. Saya kira ada kekeliruan dalam fakta ini kerana kita mengira madrasah ini bermula hanya pada zaman Syed Sheikh Al Hadi. Hakikatnya, madrasah ini berawal daripada Madrasah Al-Quran di Masjid Melayu Lebuh Acheh pada tahun 1916. Mesyuarat penubuhan madrasah ini berlaku pada tahun 1914 yang dihadiri oleh tokoh muslim yang berpengaruh di Pulau Pinang seperti Syeikh Haji Zakaria Albasheer (Mufti Pulau Pinang, Imam Masjid Melayu Lebuh Acheh), Hafiz Ghulam Sarwar, Syed Hassan Baghdadi, Syed Amar Madhar, Syed Omar Al-Sagoff, Syed Sheikh Ali Bawazir, dan Syed Madhar Aidid.
Asas kepada pendidikan orang Islam Pulau Pinang (Melayu, India Muslim, Peranakan, Arab, dan lain-lain) adalah kemahiran membaca Al- Quran dan juga ilmu fardhu ain. Guru pertama antara mereka ialah Syed Abdul Rahman al-Habshee manakala Syed Sheikh Al-Hadi merupakan pengetua pertama sekitar 1917–1918 setelah murid madrasah bertambah ramai, kedudukan madrasah tersebut berubah ke tempat lain. Menurut sejarah, trio mudir Madrasah Al-Mashoor yang awal sememangnya terdiri daripada pemuka Kaum Muda iaitu Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin Al Azhari (bapa kepada Tun Dr Haji Hamdan Tahir, Tuan Yang Terutama Negeri Pulau Pinang yang keenam) dan Sheikh Abdullah Almaghribi tetapi ceritanya tidak terhenti di situ. Madrasah ini mempunyai pemegang amanah dan penderma harta wakaf serta ramai guru daripada Kaum Tua dan Kaum Muda. Kaum Tua dan Kaum Muda yang saya maksudkan adalah dua kumpulan aliran pemikiran fikh iaitu tradisionalis dan juga modernis. Walaupun begitu, mereka ini sama-sama menggembleng tenaga dalam menjadi agen reformasi sistem pendidikan madrasah moden di Pulau Pinang. Mereka juga adalah suara perubahan yang menuntut kepada perubahan cara fikir dan tindakan agar bertepatan dengan citra perjuangan menuntut kemerdekaan.
“Kalau nak ukur tingginya pokok, tanyalah helang
Kalau nak tahu luasnya bendang, tanyalah belalang.’’
Aku bertemu dengan Cikgu Mad, generasi kelima Sheikh Omar Albasheer (bapa kepada Syeikh Zakaria Albasheer), untuk mendalami lebih lanjut tentang madrasah ini. Walaupun tidak terlalu banyak yang dikongsikan, tapi aku dapat maklumat berkenaan perkembangan yang berlaku dalam ruang lingkup Masjid Melayu Lebuh Acheh. Beliau ada menceritakan tentang keturunan beliau dan juga jerih payah warga Masjid Melayu Lebuh Acheh menjaga warisan penempatan mereka dalam kerancakan pembangunan. Dalam lipatan sejarah Pulau Pinang, Sheikh Omar merupakan tokoh penting yang mengembalikan keamanan dalam kalangan penduduk beragama Islam. Beliau terlibat dalam usaha untuk mendamaikan Jemaah Kongsi gelap Melayu Bendera Merah dan Bendera Putih sewaktu Darurat Pulau Pinang tahun 1867.
Bangunan Madrasah Al-Quran bernombor 67 yang masih adalah Jalan Lebuh Acheh adalah milik Sheikh Zakaria Al Basheer. Bermula dengan 16 orang pelajar lelaki, madrasah ini semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk tempatan sehingga memerlukan tempat baharu untuk menampung pertubuhan jumlah pelajar. Kawasan Masjid Melayu Lebuh Acheh ini dikenali sebagai “Jeddah Kedua” yang sangat sibuk dengan pelbagai kegiatan ekonomi. Masakan tidak, tempat itu merupakan tempat para jemaah haji bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga Indonesia, Selatan Thailand, dan serantau Asia Tenggara.
Setelah mendapat sambutan yang memberangsangkan dari penduduk setempat, madrasah ini telah dipindahkan ke Kampung Tuan Guru (atau nama asalnya Kampung Che Long), sebuah perkampungan Arab-Acheh, yang terletak di sempadan Lebuh Cannon, Lebuh Armenia, dan Lebuh Acheh. Pemimpin tempatan menyambut kehadiran Syed Shaikh Al-Hadi sebagai pengetua pertama madrasah, setelah usaha Al-Hadi mendirikan madrasah di Singapura dan Melaka sebelum itu gagal kerana idea dan tindakan beliau yang dianggap bertentangan dengan budaya tempatan. Al-Hadi boleh bergerak di Pulau Pinang kerana Pulau Pinang merupakan negeri yang tiada pengaruh raja bagi menaungi aktiviti berkaitan agama. Pihak penjajah British memberi tumpuan terhadap kegiatan ekonomi. Hal ehwal adat dan agama diuruskan oleh komuniti setempat mengikut kaum. Nama Almashoor itu sendiri berasal daripada nama Syed Habib Almashoor atau Tuan Habil Almashoor, penghulu terkenal yang berpengaruh di Jelutong dan amat dihormati oleh para pemimpin Negeri-negeri Selat dan juga rakyat tempatan. Madrasah ini kemudian berpindah lagi ke Kampung Jawa Lama (penghujung Jalan Dato’ Keramat) atas sebab pertambahan murid.
Dari Lebuh Acheh ke Kampung Jawa Lama, Madrasah Almashoor terus menyinar cemerlang dalam sistem pendidikan kebangsaan sehingga muncul sebagai sekolah yang menggabungkan pelajaran agama dan juga pelajaran sekular untuk mempersiapkan anak-anak menghadapi dunia yang mencabar. Reformasi yang diterajui oleh Syed Sheikh Al-Hadi telah menjadikan madrasah ini setanding dengan sekolah Inggeris pada zamannya. Walaupun madrasah ini sering berpindah randah bagi memenuhi keperluan penempatan murid, semangat daripada pendiri asalnya di Lebuh Acheh tetap kekal. Bagi mereka, pendidikan wajib diberikan kepada pemuda dan pemudi Islam jika tidak mahu mereka termasuk dalam kalangan orang yang rugi di dunia dan akhirat.
Muhammad Amirul Naim Rosmi merupakan Eksekutif Pengedaran di Penang Institut. Beliau mendapat pendidikan dalam bidang Kemanusiaan dengan pengkhususan Sejarah dan Tamadun dari Universiti Islam Antarabangsa.