Penganjuran Program Bicara Rentak Irama: “Kisah Di Sebalik Lagu” dan Majlis Penutupan Minggu Kenangan P. Ramlee: “Satu Dalam Sejuta” oleh Arkib Negara Malaysia wajar dipuji sebagai usaha bermakna mengangkat martabat seni dan warisan bangsa. Saya dan rakan Siti Hajar, amat bertuah kerana berpeluang menghadiri program ini. Program ini bukan sahaja mengenang jasa seniman agung negara, tetapi turut membuka ruang wacana santai mengenai nilai-nilai perpaduan, kemasyarakatan, dan sosial yang tersirat dalam filem serta lagu-lagu beliau.
Lima ahli panel dijemput untuk membicarakan sumbangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dari sudut sosial, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa. Apa yang lebih mengagumkan ialah bagaimana karya-karya seni beliau masih segar dan berjiwa, setelah lebih 50 tahun pemergiannya. Tanpa pendidikan formal dalam bidang seni, Tan Sri P. Ramlee mampu mencorak dunia hiburan dengan bakat semulajadi dalam seni lakon, pengarahan, muzik, ciptaan lagu, penulisan lirik dan skrip.
P. Ramlee meninggalkan legasi besar—64 buah filem, 35 daripadanya diarahkan sendiri, lebih 250 buah lagu dicipta, dan hampir 30 dinyanyikan sendiri. Namun, pencapaian ini lebih daripada sekadar angka. Beliau berjaya membentuk cara, gaya dan disiplin yang tersendiri. Karya-karyanya sentiasa segar dalam sanubari anak bangsa. Karyanya jelas bukan sekadar hiburan semata-mata malah mampu menyampaikan pesanan-pesanan yang boleh dijadikan tauladan dan inspirasi kepada seluruh masyarakat tanpa mengira usia, bangsa dan agama. Ia mewakili satu zaman, satu jiwa bangsa, dan satu suara yang menyatukan rakyat pelbagai kaum melalui seni.
Jauh dalam hati, terfikir sejauh manakah legasi seni P. Ramlee boleh diperkasakan? Generasi muda hari ini mesra di hujung jari dengan TikTok, YouTube dan Spotify. Maka, platform ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menyuntik semula hasil-hasil karya P. Ramlee dalam gaya yang segar dan kontemporari. Bayangkan jika lagu-lagu beliau diberi nafas baharu melalui kerjasama bersama artis-artis kontemporari sepertimana Michael Bublé memperkenalkan semula lagu klasik “Sway” dengan sentuhan moden kepada generasi muda sehingga menjadikannya terus relevan. Versinya yang berinspirasikan irama swing menghubungkan akar Latin asal lagu tersebut dengan bunyi moden, menjadikannya lebih mudah diterima oleh pelbagai lapisan pendengar. Bublé percaya bahawa menjadi tanggungjawabnya untuk menghargai muzik idola-idolanya dan memastikan ia tidak dilupakan begitu sahaja.
Penyanyi seperti Datuk Sheila Majid juga pernah mengangkat semula lagu-lagu klasik P. Ramlee menerusi album beliau yang berjudul Legenda pada tahun 1990. Album ini merupakan satu bentuk penghormatan kepada seniman agung tanah air yang tiada tandingannya. Bermula dengan Datuk Sheila Majid, lagu-lagu P Ramlee ini kemudiannya dinyanyikan oleh generasi artis baru seperti Liza Hanim, Dayang Nurfaizah,dan artis-artis lain.
Memupuk Minat Terhadap Seni Warisan
Sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam memupuk minat dan kecintaan terhadap seni warisan negara. Pembelajaran muzik di sekolah misalnya bukan sahaja memperkaya pengalaman pelajar, malah membuka ruang kepada mereka yang lebih cenderung dalam bidang bukan akademik untuk mengasah bakat, membina kreativiti, dan menyerlah melalui ekspresi seni.
Dalam konteks ini, karya-karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee wajar diberikan perhatian khusus dan diintegrasikan secara lebih menyeluruh dalam kurikulum seni, bahasa, dan sejarah muzik. Ini bukan sekadar untuk memperingati Tan Sri P. Ramlee tetapi untuk memahami bagaimana beliau menyampaikan mesej sosial, budaya dan politik melalui bentuk seni. Beliau bukan hanya seorang penghibur, tetapi juga seorang pencetus pemikiran yang tajam dan halus. Melalui lagu, skrip dan lakonannya, beliau menyampaikan nilai-nilai murni seperti gaya hidup sihat serta menggalakkan interaksi harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dalam suasana kampung yang penuh muhibah. Usaha ini bukan sahaja penting bagi menghargai warisan seni tempatan, tetapi juga bagi menanamkan rasa bangga terhadap identiti dan budaya negara dalam kalangan generasi muda.
Pendidikan muzik telah lama menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kita. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang digubal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut merangkumi pendidikan muzik sebagai salah satu subjek asas. Namun begitu, persoalannya ialah sejauh mana pendedahan pelajar kepada pelbagai genre muzik dapat mengasah daya kreativiti dan bakat semulajadi mereka.
Kita boleh mengambil inspirasi daripada seni industri muzik Korea Selatan, terutamanya fenomena K-pop yang bukan sahaja menembusi pasaran global, malah banyak menyumbang kepada ekonomi negara itu. Jika kita mahu warisan seni seperti P. Ramlee terus hidup dan memberi impak ekonomi, kita boleh belajar daripada strategi pembangunan seni negara lain. Kejayaan kumpulan seperti BTS bukan semata-mata hasil bakat, tetapi juga hasil pelaburan besar dalam latihan, pemasaran dan dasar kerajaan yang menyokong pembangunan industri seni kreatif sebagai enjin pertumbuhan ekonomi.
Malaysia tidak kurang bakat seni yang mampu bersinar di peringkat antarabangsa. Shila Amzah, misalnya, mencipta nama di China apabila memenangi pertandingan Asian Wave dan diberi penghormatan menyanyikan lagu tema Chinese Idol. Lagu “Zheng Fu” nyanyiannya membuka ruang penerimaan terhadap artis luar sepertinya kerana kekuatan vokal dan persembahan yang menawan.
Begitu juga dengan penyanyi seperti Yuna, yang berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat. Lagu-lagu Inggerisnya seperti “Crush” berjaya memasuki carta antarabangsa, membuktikan bahawa artis Malaysia berupaya bersaing di pentas dunia, kekal berpegang kepada nilai dan identiti diri, dan bijak menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran luar.
Pendekatan terhadap pendidikan muzik di Malaysia perlu diperkasakan secara lebih menyeluruh dan strategik. Pendidikan muzik bukan hanya mengasah kemahiran teknikal seperti menyanyi mengikut tempo atau bermain alat muzik asas, tetapi juga berperanan sebagai medium untuk melahirkan generasi muda yang mampu menghargai seni warisan tempatan serta bersaing di peringkat antarabangsa. Kurikulum muzik perlu diperluas agar pelajar dapat meneroka pelbagai aspek seni muzik—termasuk pemahaman terhadap mesej sosial, budaya dan politik yang terkandung dalam sesebuah karya. Dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja dapat memupuk bakat, malah memperkukuh identiti budaya, memperluas jangkauan muzik tempatan ke pasaran global, dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi kreatif negara sebagaimana yang dilakukan oleh Korea Selatan melalui industri K-pop.
Menghidupkan Semula Denyut Seni Bangsa
Sekolah boleh menganjurkan minggu apresiasi seni yang menampilkan tayangan filem klasik P. Ramlee, pertandingan deklamasi lirik, pementasan semula babak ikonik, serta esei dan diskusi kelas yang mengupas mesej di sebalik karya beliau. Guru pula boleh mengaitkan lirik lagu seperti “Di mana kan ku cari ganti” dalam pembelajaran sejarah muzik tempatan sebagai medium menyemai nilai moral, kasih sayang dan jati diri. Ia meluahkan rasa kehilangan terhadap seseorang yang amat disayangi dan tidak mungkin dapat digantikan. Lagu ini sering dikaitkan dengan kenangan, cinta yang abadi, dan penghargaan terhadap insan yang telah pergi. Dalam konteks yang lebih luas, lirik lagu ini juga menjadi simbol penghormatan terhadap tokoh agung seperti P. Ramlee sendiri, seorang seniman yang tiada duanya dalam sejarah seni tanah air.
Pendedahan awal sebegini bukan sahaja menghidupkan semula warisan seni tempatan, malah membentuk diri pelajar menghargai seni budaya sendiri dan lebih peka terhadap nilai-nilai masyarakat yang disampaikan secara halus menerusi karya-karya seni.Memperkasa legasi P. Ramlee bermakna menyambung denyut nadi seni bangsa. Beliau adalah lambang kecintaan terhadap tanah air, suara keadilan sosial dan penyatu jiwa rakyat melalui medium seni. Usaha untuk menghidupkan semula karya-karyanya bukanlah semata-mata nostalgia, tetapi suatu amanah untuk memastikan warisan seni yang bernilai ini tidak luput ditelan zaman.Kita bukan sekadar mengenang, tetapi mewarisi semangatnya agar seni terus menjadi cermin hati bangsa, dari dulu hingga kini, dan untuk masa depan.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.