
Setiap buku menjanjikan sesuatu kepada pembaca. Janji ini tidak semestinya jelas seperti kredo puisi atau manifesto parti. Malah kerap kalinya pengarang tidak sedar pun mereka membuat perjanjian dengan pembaca. Di manakah terletaknya janji ini? Pada nada, pada rentak, pada naratif, pada retorik, pada sudut pandang idea, pada imaginasi, pada penceritaan, pada kritikan, pada nukilan kata-kata, dan pada permainan kata-kata. Sebagai himpunan esei kritikan dan ulasan, buku Hafiz Hamzah Kala Aksara Tak Lepas Di Mata, Kita Tak Seharusnya Gelisah, menawarkan janji yang sederhana, dan kita harus mengambil kira tempat esei-esei ini pertama kali muncul iaitu ruang kolum akhbar Kosmo!. Oleh demikian ketika membaca buku ini, saya tidak dapat tidak, merasa sedikit ralat dengan pendekatan Hafiz yang terlalu mesra pembaca, kurang menyengat, dan tertanya-tanya jika suara sebenar beliau akan lebih menonjol sekiranya beliau menulis tanpa sekatan sebuah kolum akhbar.
Cara seorang pengarang esei mengatur dirinya dalam sebuah buku akan sedikit sebanyak mempengaruhi cara kita mengatur diri sebagai pembaca. Ia berbeza dengan cara kita mengatur diri dalam sebuah novel atau puisi. Esei (dan mungkin memoir) adalah ruang paling peribadi pengarang. Tidak ada topeng dan metafora di sini. Hanya suara, hanya pemikiran, hanya sejarah, dan hanya gerakan seorang eseis di ruang peribadinya. Dan buku Hafiz memang bermula di ruang paling peribadi iaitu tempat beliau menulis. Hafiz menyebut ruang ini sebagai “Bilik Belakang,” dan ia terletak di sebuah pangsapuri tingkat 15, kuarters kerajaan, di Pantai Dalam. Gambaran Hafiz mengenai ruang intim ini harus dinikmati secara penuh oleh pembaca:
“Di ruang ini, pada setiap Khamis pagi saya akan memaksa diri untuk duduk di meja tersebut dan membuka komputer riba untuk duduk di meja tersebut dan membuka komputer riba untuk menulis, setelah malam sebelumnya balik dari pejabat pada jam sangat lewat, kebiasaannya sekitar dua pagi — ada beberapa kali saya baru ingin pulang ke rumah ketika orang lain mula masuk kerja semula pada jam tujuh pagi keesokan harinya — untuk off-stone penerbitan sisipan mingguan akhbar automotif yang menjadi tanggungjawab saya ketika itu, di Balai Berita NSTP, Bangsar.”
Kita dapat lihat berdasarkan pengenalan ini, Hafiz menerima penulisan sebagai pekerjaan yang penting dan peribadi. Malah semakin peribadi ruang eseinya, semakin enak kita membaca tulisan Hafiz. Sebagai contoh, esei Hafiz mengenai Syed Hussein Alatas (“Ilmu: Antara Budaya dan Tradisi”). Esei ini sebetulnya adalah ulasan buku anak bongsu Syed Hussein, Masturah, berjudul Syed Hussein Alatas: The Life in the Writing. Hafiz tidak terus memberikan ulasan; beliau sebaliknya berkongsi terlebih dahulu pengalaman bertemu dengan tokoh akademik tersebut: “Saya hanya memandang dari jauh. Dia, dengan seluar bergosok, kemeja kemas dan mungkin sekali dua ternampak paip yang selalu dihisap terletak di mulut, akan dengan tekun mengamati dan membelek mana-mana buku yang barangkali menarik minatnya.”
Satu lagi esei peribadi Hafiz yang menarik ialah ulasan beliau mengenai buku pemuzik jalanan Meor Yusof Aziddin Sembang Tepi Jalan (“Cerita Tepi Jalan dan Sebuah Permenungan”). Membaca esei ini dengan sendirinya adalah seperti kembara rohani ke dalam dunia muzik. Di bahagian awal, Hafiz menceritakan pengalaman turun ke tengah kota untuk berdiri bersama orang ramai mendengar pemuzik jalanan menyanyi. Beliau tertanya-tanya dalam diri: “apa yang selalu bermain di fikiran kelompok-kelompok pemuzik seperti ini dan bagaimana mereka menguruskan kelangsungan hidup?” Persoalan itu dibawa ke dalam ulasan buku Meor dan pertemuan beliau bersama Meor. Inilah cara bagaimana sebuah esei peribadi harus dibangunkan. Pengarang menimbang-nimbang dengan cantik anekdot, renungan, ulasan, dan komentar sosial.
Sebagai esei yang terbit di ruang akhbar Malaysia, saya faham, seorang pengarang perlu juga memakai topi sasterawan dan jubah pemikir. Dalam kata mudah: pengarang perlu memberikan komentar. Tentang isu semasa, tentang politik, tentang agama, tentang kegelisahan masyarakat, dan ya — tentang sastera Malaysia. Dari segi tanggungjawab sosial ini, saya tabik dan tepuk bahu Hafiz; beliau telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan cemerlang. Kita melihat komentar terbaik beliau dalam topik seperti sejarah, politik, dan muzik. Sebagai contoh, esei beliau mengenai perempuan pekerja seks pada zaman penjajahan Jepun (“Pembongkaran Perempuan Penyedap”). Atau esei beliau mengenai aktivis politik Said Zahari (“Gelora Sejarah Saiz Zahari”). Masalah sebenar esei Hafiz muncul apabila beliau terlalu banyak berkomentar sehingga ia bertukar menjadi khutbah dan leteran. Ini tidak dibantu pula oleh gaya bahasa Hafiz yang mendatar dan skema. Saya tidak pasti adakah ini berpunca daripada ruang formal sebuah akhbar yang memaksa Hafiz menjadi jinak ketika subjek yang dibincangkan menutut beliau untuk menjadi lebih kritis dan intelektual.
Sebahagian besar daripada esei dalam buku Hafiz ini berurusan dengan sastera, dan malangnya, di sinilah kelemahan beliau sebagai eseis paling terserlah. Hanya ada dua esei yang betul-betul menunjukkan bakat dan ketajaman pena Hafiz sebagai pemikir sastera: “Luka Sepanyol” dan “Nuklear Meledak di Hiroshima.” Selebihnya, Hafiz hanya sekadar memainkan peranan sebagai pengulas buku. Ibarat pemain simpanan bola sepak yang dimasukkan untuk melengahkan waktu — beliau tidak memberikan apa-apa nilai tambah kepada buku yang dibincangkan. Menurut saya, ada dua punca perkara ini berlaku: tiada kesedaran mendalam mengenai sejarah sastera dan tiada pengetahuan terperinci mengenai mekanisme sesuatu genre.
Saya bukan ingin pembentangan teori atau pembedahan rangkap ke rangkap dalam sebuah puisi. Saya cuma inginkan konteks dan perincian yang lebih kritikal. Tidak cukup untuk sekadar kata sebuah buku itu “bagus,” kemudian menyenaraikan bilangan karya dan bab di dalam buku tersebut. Hafiz terlalu sibuk memikirkan kesan sebuah buku kepada pembaca akhbar Kosmo! Padahal apa yang kita ingin baca ialah kesan buku-buku ini kepada dirinya. Kita ingin dipujuk, kita ingn dijerkah, kita ingin Hafiz menolak muka kita ke halaman buku Shaira Amira. Kita inginkan emosi.
Wan Nor Azriq merupakan seorang novelis kelahiran Alor Setar. Beliau telah menerbitkan tujuh buah buku, antaranya novel berjudul D.U.B.L.I.N. yang memenangi Sayembara Penulisan PENA-BH pada 2014. Beliau kini bekerja sebagai Penolong Naib Presiden di bank MIDF. Esei ini lahir daripada karya yang pernah terbit dan hilang di ruang lain sebelum ini.




