Konflik bersenjata di wilayah Selatan Thailand merupakan konflik politik yang terpanjang dan masih berlangsung dalam sejarah dunia. Panjangnya tempoh konflik ini sehingga melangkaui tempoh bermulanya konflik Palestin-Israel (75 tahun) atau konflik Korea Utara-Korea Selatan (78 tahun). Selain itu, ia turut mencatatkan rekod sebagai konflik politik yang paling rumit dalam sejarah manusia. Ia merangkumi pelbagai dimensi, dari perbezaan budaya, agama ke sistem masyarakat dan keterlibatan pelbagai aktor berbeza generasi.
Jika disoroti rekod konflik, kesemua pihak yang terlibat, sama ada kerajaan Thailand mahupun kumpulan nasionalis yang menuntut pemisahan wilayah, telah melalui pelbagai siri rundingan dan dialog. Namun, setiap siri rundingan dan dialog yang dilakukan malangnya menemui jalan buntu. Ramai pihak yang beranggapan, usaha bagi mencapai perdamaian di wilayah bergolak ini seolah-olah suatu ilusi yang tidak mungkin tercapai.
Hal yang menarik perhatian daripada usaha ke arah perdamaian di wilayah bergolak Selatan Thailand ini ialah, komitmen yang tidak putus-putus oleh Malaysia. Namun, banyak pihak yang mengkritik peranan Malaysia dalam rundingan damai wilayah Selatan Thailand. Ada yang beranggapan Malaysia cuba menangguk di air keruh dengan mengutip keuntungan geopolitik kesan pergolakan yang berlaku. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa Malaysia turut bersekongkol dengan kerajaan Thailand bagi menidakkan hak yang dituntut oleh masyarakat Melayu-Patani.
Pada pendapat penulis, Malaysia mempunyai “tanggungjawab moral” bagi membantu proses perdamaian di Selatan Thailand. Selain pertalian dalam konteks kekerabatan, persamaan budaya dan Bahasa antara penduduk di wilayah Selatan Thailand dengan Malaysia, negara kita juga mempunyai kepentingan geopolitik dalam konflik yang berlaku di wilayah tersebut.
Malaysia-Thailand berkongsi perbatasan sepanjang hampir 358-kilometer. Pergolakan yang berpanjangan di wilayah Selatan Thailand memberikan impak politik terhadap Malaysia, misalnya, ia akan menyebabkan rancangan pembangunan di Kawasan Pembangunan Bersama (Joint Development Area) yang terletak di pesisiran sempadan negara terjejas.
Bagi berlaku adil, konflik wilayah Selatan Thailand, perlu difahami secara menyeluruh dan bukan hanya sebahagian aspek menurut naratif sesetengah pihak sama ada di pihak Gerakan nasionalis mahu pun kerajaan Thailand.
Mencerakin permasalahan dalam proses perdamaian
Konflik ini telah melalui satu tempoh yang panjang. Jika diambil daripada tarikh perjanjian Inggeris-Siam 1909, yang menjadi asas sempadan British Malaya (kemudiannya Malaysia) dan Siam (Thailand selepas 1939), sejarah perlawanan di kawasan bergolak ini sudah mencecah hampir 114 tahun. Penulis tidak mahu mengulang penceritaan sejarah konflik ini. Ia telah banyak diterangkan oleh penulis dan pengkaji lain dengan lebih terperinci. Apa yang ingin penulis jelaskan menerusi artikel ini adalah tentang permasalahan yang menjadi halangan kepada proses perdamaian di wilayah ini.
Pertama, kita perlu menganalisis konflik ini dalam konteks pertembungan di antara aktor negara dan aktor bukan negara. Berbeza dengan pertikaian yang berlaku di antara Thailand dan Kemboja dalam merebut Kuil Preah Vihear dan kawasan sekitarnya, konflik di wilayah selatan Thailand terjadi di antara Thailand (aktor negara) dan kumpulan nasionalis-pemisah (aktor bukan negara).
Justeru, negara adalah entiti politik yang jelas, namun bagaimana pula dengan aktor bukan negara? Dalam konteks konflik wilayah Selatan Thailand, siapakah yang berhak mewakili kumpulan nasionalis-pemisah ke meja rundingan? Terdapat beberapa kumpulan pemisah yang berpengaruh dan bergerak aktif di wilayah Selatan Thailand. Contohnya, Barisan Revolusi Nasional (BRN), Patani United Liberation Organization (PULO), Gerakan Mujahideen Islam Patani dan sebagainya. Oleh yang demikian, siapakah yang layak menjadi jurubicara dan wakil ke meja perundingan dengan kerajaan Thailand?
Sementelahan itu, setiap kumpulan ini mempunyai pecahan masing-masing yang menjadikan usaha rundingan konflik semakin rumit. Terdapat usaha dalam kalangan generasi nasionalis veteran untuk menyatukan setiap kumpulan di bawah satu payung pada dekad 80-an. Hal ini dapat dilihat melalui pembentukan Bersatu yang dipimpin oleh Dr. Wan Kadir Che Man pada tahun 1989. Walau bagaimanapun, setelah beberapa tahun, seiring dengan dinamika baru dalam konflik, organisasi ini juga perlahan-lahan hilang wibawanya. Manakala pada tahun 2015, sebuah organisasi baru yang memayungi 6 kumpulan pemisah telah ditubuhkan atas nama Majlis Syura Patani (Mara Patani).
Jika kita membuat perbandingan dengan konflik lain seperti konflik Aceh di Indonesia, hanya terdapat satu kumpulan dominan iaitu Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang menjadi payung penyatu dan menjadi wakil dalam rundingan dengan Jakarta. Atau, di wilayah Selatan Filipina di antara Moro Liberation National Front (MNLF) dan Moro Islamic Liberation Front (MILF). Namun demikian, dinamikanya berbeza di wilayah Selatan Thailand. Keberagaman kumpulan pemisah Patani menjadikan konflik ini lebih kompleks berbanding konflik lain di seluruh dunia.
Selain itu, faktor politik tempatan juga tidak harus diabaikan. Proses damai bukan sahaja melibatkan kumpulan-kumpulan pemisah dengan kerajaan Thailand, ia juga perlu melibatkan kumpulan politik tempatan.
Pada Pilihan Raya Umum tahun 2019, parti Prachachat di bawah pimpinan bekas Yang Dipertua Dewan Perwakilan Parlimen Thailand, Wan Muhamad Nor Matha Berjaya memenangi 6 daripada 11 kerusi yang dipertandingkan di 3 buah wilayah di Selatan Thailand. Suatu ketika, Wadah, sebuah kumpulan masyarakat di Selatan Thailand, yang mendominasi politik di wilayah tersebut. Menukar sokongan dari parti ke parti, kumpulan Wadah dilihat mewakili suara dan kepentingan masyarakat di wilayah bergolak tersebut di dalam sistem demokrasi berparlimen Thailand.
Di saat ini, terdapat sekurang-kurangnya 3 tokoh berpengaruh dari wilayah tersebut yang menjadi Ahli Parlimen selain Wan Muhamad Nor iaitu Dr. Petadau Tohmeena (anak kepada pemimpin veteran berpengaruh Den Tohmeena) dari parti Bhumjai Thai dan Niraman Sulaiman dari Future Forward. Sudah pastinya kelompok ini tidak harus dikesampingkan dalam proses rundingan damai, kerana kedudukan mereka sebagai wakil sah dalam sistem demokrasi-berparlimen Thailand.
Faktor Anwar Ibrahim membantu proses perdamaian?
Pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia dilihat memberikan nafas baru kepada rundingan damai di wilayah bergolak tersebut. Latar belakang aktivisme Melayu-Islam yang dimiliki oleh beliau menjadikan rundingan damai wilayah Selatan Thailand kembali menjadi tumpuan ramai. Namun, ia bukanlah suatu tugas yang mudah bagi Anwar Ibrahim. Ia bukan seperti tugas menyatukan keberagaman parti politik atau mana-mana “political maneuver” yang pernah beliau lakukan di Malaysia.
Malaysia bukan hanya perlu berhubung dengan kumpulan-kumpulan pemisah, tetapi turut perlu berkomunikasi dengan kerajaan Thailand. Cabaran terbesar Malaysia dalam rundingan damai kali ini ialah bagaimana memastikan setiap kumpulan pemisah dan elit politik tempatan dilibatkan dalam proses damai. Jika salah satu kumpulan merasakan mereka dipinggirkan, besar kemungkinan rundingan akan menemui jalan buntu. Kerana pada akhirnya, tiada siapa yang gembira apabila ditinggalkan atau dijadikan sebagai “pemain simpanan”.
Jika dalam tempoh penggal pentadbiran ini Anwar Ibrahim berjaya (sekurang-kurangnya menghasilkan output yang berskala kecil seperti persetujuan gencatan senjata sementara antara pihak terlibat), ia akan memberikan “political leverage” kepada karier politik beliau di pentas politik domestik. Ketika beliau dilihat tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu di Malaysia, kejayaan rundingan konflik wilayah Selatan Thailand akan mengangkat kewibawaan beliau memacu gagasan bangsa dalam konteks dunia Melayu yang besar.
Namun, perlu kita sedar bahawa Malaysia bukanlah salah satu daripada “party” dalam proses rundingan damai tersebut melainkan terhad kepada peranan pemudahcara. Sikap berhati-hati perlu diambil kira oleh Putrajaya agar niat murni kita tidak disalah ertikan oleh Bangkok sebagai mahu mencampuri urusan dalam negara Thailand. Jika ini berlaku, usaha perdamaian akan menemui jalan buntu seperti mana siri rundingan sebelum ini.
Kemahuan politik dalam menyelesaikan konflik
Kemahuan politik adalah sandaran utama dalam memastikan keberhasilan inisiatif perdamaian. Jika dilihat daripada rekod rundingan sebelum ini, kemahuan politik seakan tidak terpancar daripada pihak kerajaan Thailand.
Seringkali pihak Bangkok hanya mahukan dialog tetapi tiada sebarang usaha serius dalam proses rundingan. Proses rundingan bukan sahaja melibatkan dialog di antara pihak bertelagah, tetapi turut melibatkan rundingan cara serius bagi mencari model yang ampuh dalam penyelesaian konflik. Dalam kenyataan media (10 Disember 2022) oleh pihak BRN, dinyatakan bahawa mereka mahukan identiti masyarakat Patani (Melayu) diiktiraf.
Walaupun banyak sekali analisis yang menyatakan bahawa kemiskinan dan kemunduran merupakan punca kepada tercetusnya konflik, namun penulis berpendapat bahawa politik identiti masih merupakan isu utama yang menjurus kepada konflik. Pada tahun lalu, ribuan pemuda Melayu Patani mengadakan rapat umum terbuka di daerah Sai Buri, lengkap berbusana Melayu dan bersumpah mempertahankan identiti warisan nenek moyang. Rapat umum ini mendapat perhatian pihak kerajaan, sehinggakan sebuah jawatankuasa dianggotai 22 ahli pegawai kanan tentera ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut.
Sebagai sebuah negara kesatuan, identiti negara memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama. Namun, dengan menekan budaya tempatan bukanlah suatu kaedah terbaik. Ia pada akhirnya menghasilkan konflik politik dan mendorong kepada konflik bersenjata.
Oleh yang demikian, penulis berpendapat, isu identiti-politik harus menjadi salah satu agenda utama dalam proses rundingan damai. Model penyelesaian yang digunakan oleh negara kesatuan yang lain seperti Indonesia (dalam konflik Aceh) dan Filipina (dalam konflik Mindanao) boleh dijadikan kerangka asas dalam menjayakan rundingan.
Penulis berharap, semoga rundingan pada kali ini antara pihak bertelagah, dengan bantuan kerajaan Malaysia sebagai pemudahcara mampu memberikan sinar kedamaian di wilayah bergolak tersebut.
Rizal Hamdan merupakan pemerhati politik antarabangsa dan dasar luar.