Keciciran dalam kalangan pelajar bukanlah fenomena baharu, sebaliknya merupakan salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh banyak negara di seluruh dunia. Di Malaysia, dianggarkan sekitar 435,000 murid sekolah rendah dan menengah berdepan dengan isu keciciran [1]. Menurut Ayu Amirosemini dan Khadijah (2023), “keciciran pembelajaran merujuk kepada murid-murid yang berada dalam sistem pendidikan dan masih bersekolah, tetapi murid-murid ini berhadapan dengan kesukaran hidup, ketidakstabilan emosi, kurang fokus dan lemah akademik.”[2]
Fenomena ini turut memberi kesan kepada keputusan peperiksaan. Tahun 2024 sahaja lebih 8,000 calon SPM tidak menduduki sebarang peperiksaan[3] .Di Johor, lebih 900 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada situasi ini ialah persepsi dalam kalangan pelajar bahawa mereka mampu memperoleh pendapatan lumayan di Singapura tanpa perlu menamatkan persekolahan hingga ke Tingkatan Lima.Hakikatnya, SPM bukan sekadar sekeping sijil, tetapi merupakan tiket penting untuk melanjutkan pelajaran serta membuka peluang kerjaya yang lebih cerah pada masa depan. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kadar keciciran pelajar di negeri itu. Antara cabaran utama yang dihadapi Malaysia dalam menangani isu ini adalah hakikat bahawa Singapura tidak meletakkan SPM sebagai syarat untuk bekerja. Hal ini secara tidak langsung menggalakkan lebih ramai pelajar untuk berhenti sekolah lebih awal demi mendapatkan pekerjaan. [4]
Ramai dalam kalangan mereka mengambil pekerjaan dalam sektor pengemasan hotel sebagai batu loncatan sebelum beralih ke peluang pekerjaan yang lebih baik di Singapura. Situasi ini menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam industri perhotelan tempatan, sekaligus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha hotel. Kebanyakan mereka memohon jawatan peringkat kemasukan dengan gaji sekitar RM1,200 hingga RM1,500, di mana mereka diberi latihan sambil bekerja. Setelah memperoleh pengalaman dan kemahiran yang diperlukan, mereka kemudiannya berhijrah ke Singapura untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih tinggi. Dengan kadar pertukaran mata wang yang lebih kukuh, seorang pekerja pengemas rumah di Singapura mampu memperoleh lebih daripada RM3,000 sebulan, jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia[5].Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who pula melaporkan bahawa kadar keciciran di sekolah rendah pada tahun 2024 ialah 0.06% (1,595 murid), manakala di sekolah menengah ialah 0.64% (11,412 murid). Angka ini menunjukkan penurunan berbanding tahun 2020, di mana kadar keciciran masing-masing mencatatkan 0.10% dan 1.13%[6] . Meskipun Kementerian Pendidikan berjaya mengembalikan 2,873 pelajar ke sekolah tahun lalu [7], isu keciciran pelajar tidak boleh dipandang ringan.
Fenomena keciciran pelajar di Johor, yang dipacu oleh peluang pekerjaan di Singapura, mencerminkan cabaran lebih besar yang dihadapi Malaysia dalam mengekalkan tenaga kerja mahir. Walaupun kadar keciciran pelajar secara keseluruhan menunjukkan penurunan sejak 2020, kes di Johor menunjukkan bahawa faktor ekonomi dan prospek gaji lebih tinggi masih menjadi tarikan utama bagi mereka.Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan industri tempatan, seperti sektor perhotelan yang mengalami kekurangan tenaga kerja, tetapi juga memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi negara secara keseluruhan. Jika tren ini berterusan, Malaysia mungkin menghadapi kesukaran dalam membangunkan tenaga kerja yang kompetitif, mengurangkan kadar inovasi, dan seterusnya memperlahankan pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, usaha bersepadu diperlukan untuk menangani isu ini, termasuk memperkukuh program latihan kemahiran dan meningkatkan daya tarikan pekerjaan domestik agar lebih ramai pelajar melihat nilai dalam menamatkan persekolahan dan pengajian sebelum memasuki pasaran kerja.
Faktor-faktor penyumbang
Mengapa berlakunya keciciran sekolah? Keciciran sekolah merupakan isu yang kompleks dan berpunca daripada pelbagai faktor. Antara punca utama adalah kesihatan mental pelajar yang lemah, seperti tekanan, keletihan melampau (burnout), dan keresahan. Faktor-faktor ini boleh menjejaskan tumpuan dan motivasi pelajar dalam pembelajaran, sekaligus meningkatkan risiko keciciran.Selain itu, beban kewangan juga menjadi penyebab utama. Pelajar yang perlu bekerja sambil belajar mungkin mengalami kesukaran untuk menyeimbangkan kedua-duanya, menyebabkan sebahagian daripada mereka terpaksa meninggalkan persekolahan. Bagi keluarga berpendapatan rendah, kos pendidikan seperti buku, pakaian seragam, dan pengangkutan sering menjadi beban. Keperluan untuk memperoleh pendapatan segera mengatasi kepentingan pendidikan jangka panjang, memaksa pelajar untuk berhenti sekolah demi menyara keluarga.
Isu peribadi dan keluarga turut memainkan peranan dalam keciciran sekolah. Kurangnya sokongan ibu bapa boleh melemahkan semangat pelajar, terutamanya apabila pendidikan tidak dititikberatkan di rumah. Ketidakstabilan keluarga, seperti perceraian, keganasan rumah tangga, atau kehilangan ibu bapa, boleh membebankan emosi dan kewangan pelajar, menjadikan mereka sukar untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran. Masalah kesihatan fizikal dan mental juga memberi kesan besar, di mana pelajar yang bergelut dengan kebimbangan, kemurungan, atau penyakit kronik sering menghadapi kesukaran untuk hadir ke sekolah secara konsisten.
Faktor akademik juga memainkan peranan penting dalam keciciran sekolah. Kesukaran pembelajaran tanpa sokongan yang mencukupi boleh menyebabkan pelajar berasa tidak berdaya saing di dalam bilik darjah. Kegagalan berulang dalam peperiksaan boleh menjejaskan keyakinan diri dan motivasi mereka untuk terus belajar. Selain itu, kurikulum yang kurang menarik atau tidak relevan dengan aspirasi pelajar mendorong mereka mencari alternatif lain di luar pendidikan formal. Sekolah yang gagal menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan berkesan akan menyebabkan pelajar hilang minat dan akhirnya tercicir.
Faktor sosial dan pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada keciciran sekolah. Buli, sama ada secara fizikal atau verbal, boleh mewujudkan persekitaran tidak selamat, menyebabkan pelajar enggan hadir ke sekolah. Tekanan rakan sebaya untuk terlibat dalam tingkah laku negatif seperti penyalahgunaan dadah, aktiviti gengsterisme, dan vandalisme juga meningkatkan risiko keciciran. Selain itu, kehamilan remaja dan perkahwinan awal sering memaksa pelajar meninggalkan alam persekolahan, sekali gus mengabaikan peluang pendidikan dan masa depan kerjaya mereka. Jika sikap mengutamakan pendidikan tidak dipupuk dalam diri pelajar, masalah keciciran akan terus berlanjutan tanpa penyelesaian yang berkesan.
Langkah-langkah menangani
Untuk menangani keciciran sekolah, pendekatan pelbagai aspek diperlukan. Antaranya termasuk sokongan kewangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan, penyediaan sumber kesihatan mental bagi pelajar, pelaksanaan program pendidikan alternatif, dan pembaharuan kurikulum pendidikan agar lebih inklusif dan menarik.Di sekolah, guru memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif dan menerapkan kaedah pembelajaran yang lebih menarik serta interaktif. Kepelbagaian strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sesuai dapat meningkatkan kesediaan murid untuk belajar, sekali gus memberi impak yang besar terhadap prestasi akademik mereka. Selain itu, sesetengah pelajar mungkin kurang berkeyakinan terhadap keupayaan diri dan menghadapi kesukaran dalam membuat keputusan yang bijak. Oleh itu, mereka memerlukan bimbingan berterusan daripada guru serta pihak lain yang terlibat bagi membantu mereka kekal bermotivasi dan bersemangat untuk mencapai kejayaan.
Sebagai sebahagian daripada usaha mengatasi keciciran sekolah, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan inisiatif seperti Sekolah Model Khas Komprehensif (K9 dan K11) yang menyediakan pendidikan inklusif di kawasan luar bandar. Sekolah Model Khas Komprehensif K9 ini merujuk kepada sembilan tahun persekolahan di sekolah rendah dan menengah rendah yang mana murid akan berada di sekolah rendah selama 6 tahun dan menengah rendah 3 tahun di sekolah yang sama. Pada masa ini, terdapat 28 sekolah K9 dan 2 sekolah K11, dengan rancangan untuk menambah tujuh lagi sekolah K9 serta menaik taraf beberapa sekolah K9 kepada K11.[8]
Di samping itu, sebanyak 18 jenis bantuan sekolah—termasuk Bantuan Awal Persekolahan, Rancangan Makanan Tambahan, dan Bantuan Pakaian Seragam—disediakan bagi menyokong pelajar, terutamanya dari golongan B40[9] .Pendekatan pendidikan alternatif turut memainkan peranan penting dalam menangani isu keciciran sekolah. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penstrukturan semula sekolah menengah vokasional dan sekolah menengah teknik kepada Kolej Vokasional (KV), yang menawarkan latihan dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional. Selain itu, institusi seperti Pusat Giat MARA dan program TVET menyediakan peluang pembelajaran dalam bidang seperti automotif, jahitan, dan kulinari, sekali gus membolehkan pelajar mengasah kemahiran praktikal serta meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, Sekolah Menengah Teknik terus berperanan dalam menyediakan pendekatan pembelajaran yang lebih berorientasikan kemahiran dan praktikal bagi pelajar yang kurang berminat dalam akademik tradisional. Dengan adanya pelbagai pilihan pendidikan alternatif ini, lebih ramai pelajar dapat dibantu untuk meneruskan pembelajaran mereka, seterusnya mengurangkan kadar keciciran sekolah.
Kementerian Pendidikan komited untuk menangani isu keciciran melalui intervensi menyeluruh dan pemantauan berterusan. Jika kadar keciciran pelajar meningkat, ia boleh memberi kesan negatif kepada reputasi sekolah dan universiti, mengurangkan kadar kemasukan, mengakibatkan kehilangan sumber pendapatan institusi pendidikan, serta menjejaskan ekonomi negara. Keciciran sekolah yang tinggi juga boleh menyumbang kepada peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja, seperti pengangguran, jenayah, dan ketidakseimbangan dalam pembangunan modal insan.
Secara keseluruhannya, isu keciciran sekolah merupakan cabaran serius yang memerlukan perhatian daripada semua pihak—kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, dan masyarakat. Jika tidak ditangani dengan berkesan, ia akan membawa kesan jangka panjang yang negatif terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negara. Oleh itu, langkah-langkah menyeluruh perlu diambil untuk menangani punca-punca utama keciciran, termasuk sokongan kewangan, peningkatan kualiti pengajaran, mempelbagaikan program pembelajaran alternatif, serta persekitaran sekolah yang lebih selamat dan kondusif. Hanya dengan usaha bersepadu, kita dapat memastikan setiap pelajar mendapat peluang yang adil untuk menamatkan pendidikan mereka dan membina masa depan yang lebih cerah.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.
Nota kaki
[1] Samsul Farid, S. (2024). Tangani bersama isu keciciran murid dalam pembelajaran. (Berita Harian, April 30). https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2024/04/1241008/tangani-bersama-isu-keciciran-murid-dalam-pembelajaran
[2] Ayu Amirosemini, Y & Khadijah A.R. (2023). Amalan pengajaran guru bagi pembelajaran murid tercicir dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. AL-MAKRIFAH Journal of Knowledge and Learning in Islamic Tradition and Culture, Issue 1, 36–52. DOI: https://doi.org/10.37134/almakrifah.vol1.1.4.2023
[3] Nabilah Khaleeda. (2025). Malaysia’s STEM talent development in the age of AI. https://international.astroawani.com/malaysia-news/malaysias-stem-talent-development-age-ai-510185?utm_source=news_keyword_widget&utm_medium=data-embed&utm_campaign=20250306%20News-Keyword-spm
[4] _______. (2025). Exco: Over 900 SPM no-shows in Johor, some banking on Singapore jobs. (Malay Mail, 12 Februari). https://www.malaymail.com/news/malaysia/2025/02/12/exco-over-900-spm-no-shows-in-johor-some-banking-on-singapore-jobs/166365
[5] Jassmine, S. (2024). “Johor youth prefer working in S’pore”. https://www.nst.com.my/news/nation/2024/12/1145277/johor-youth-prefer-working-spore
[6] Iylia Marsya, I., & Amalia, A. (2025). School dropout rates see drop in 2024, says deputy minister. New Straits Times. (4 February). https://www.nst.com.my/news/nation/2025/02/1170414/school-dropout-rates-see-drop-2024-says-deputy-minister
[7] Ibid.
[8] Ibid.
[9] Ibid.