IKEA Batu Kawan dibuka pada 14 Mac 2019. Sejak pembukaannya, IKEA kekal komited dengan kelestarian alam dan memberi impak positif pada komuniti terutamanya melalui amalan-amalan mesra alam dan pengurangan sisanya. Sempena pelancaran Pelan Tindakan IKEA 2025, Penang Monthly menemuramah Pengurus Stor, Takeshi Murai.
Takeshi mengorak langkahnya bersama IKEA pada tahun 2008 sebagai pembantu kedai di Osaka, Jepun, sebelum berpindah ke IKEA Tachikawa di Tokyo bagi menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Stor. Selepas beberapa tahun berkhidmat di Eropah sebagai Pengurus Pasaran di Sweden dan Finland, Takeshi pulang ke negara Timur untuk mengambil alih cawangan negeri-negeri Utara Malaysia dan tempat-tempat pengumpulan, tujuh bulan lalu.
Pemikirannya sangat seiring dengan nilai-nilai dan visi IKEA. “Fokus pada kebersamaan, keprihatinan pada masyarakat dan planet, serta usaha ke arah keringkasan sangat sepadan dengan nilai peribadi dan asal-usul saya yang berbangsa Jepun.” Bekerja dengan syarikat yang bertungkus lumus untuk memberikan impak positif pada masyarakat dan alam sekitar sungguh bermakna bagi beliau.
Melalui perkongsian Takeshi, IKEA percaya bahawa rumah ialah tempat yang paling penting di dalam dunia, dan pengalamannya tinggal di perantauan menguatkan lagi kepercayaan ini—setiap tempat yang pernah didiaminya telah menyumbang kepada pembangunan kendirinya, pengamalan unik dan pelbagai perspektif. Namun, meskipun dengan perubahan yang acap kali dilaluinya, Takeshi tetap dipasak dengan ikatan kekeluargaan. “Keluarga bagaikan sauh, tempat sirih pulang ke gagang…”
Pulau Pinang yang kaya dengan tradisi, budaya dan warisan dengan fokus yang kuat pada kekeluargaan dan hospitaliti sangat menjiwai konsep ini, menurut Takeshi.
IKEA Pulau Pinang Menyesuaikan Kelengkapan Rumah dengan Kejutan Tempatan
Matlamat IKEA untuk meningkatkan kualiti hidup pelanggan di rumah merangkumi langkah adaptasi dengan gaya hidup dan citarasa tempatan. Takeshi menerangkan bahawa meskipun operasi perniagaan syarikat, falsafah rekaan, nilai dan komitmen terhadap kelestarian alam kekal konsisten merentasi semua pasaran, lain dulang lain kakinya. Mereka bekerja keras untuk memahami rakyat Malaysia melalui lawatan ke rumah dan melalui tinjau selidik “Kehidupan di Rumah” (Life at Home). “Kami cuba memahami kegusaran pelanggan, harapan serta impian mereka, dan kemudian kami duduk berbincang mencari penyelesaian buat mereka.”
Semasa kami berjalan-jalan di dalam IKEA Batu Kawan, Takeshi menunjukkan bilik pameran dan perabot yang direka khas untuk gaya hidup Pulau Pinang. “Contohnya, bilik ini direka untuk rumah-rumah warisan, disesuaikan dengan gaya hidup orang Islam yang memerlukan ruang untuk mereka solat dan meletakkan sejadah.” Beliau ingin memastikan bahawa penyelesaian IKEA disesuaikan dengan citarasa tempatan, penuh fungsi, dan lestari.
“Kami nampak masalah kurang ruang simpanan merupakan isu yang biasa di Pulau Pinang, ini sebahagian daripada fenomena rumah berbilang generasi. Terdapat permintaan yang tinggi juga untuk produk yang tidak hanya penuh fungsi tetapi juga mampu milik,” katanya. Selain itu, set-set bilik IKEA yang mencampurkan elemen binaan warisan Pulau Pinang juga memastikan bahawa produk-produk mereka sebati dengan estetik tempatan.
Komitmen Terhadap Masa Depan yang Lebih Hijau
Kelestarian ialah nilai yang tidak asing lagi bagi masyarakat Sweden dan dapat dilihat melalui cara orang Sweden berniaga. IKEA Batu Kawan juga mengguna pakai amalan-amalan tersebut. “Tiga aspek tersebut ialah kesihatan dan gaya hidup lestari, ekonomi kitaran dan iklim, serta keadilan dan kesaksamaan. Kami berharap agar dapat menetapkan contoh yang baik untuk masyarakat.”
Selari dengan strategi inisiatif tema D Penang2030 untuk melabur dalam alam bina, IKEA merupakan syarikat pertama di Malaysia yang berjaya menghapuskan penggunaan beg plastik sekali guna pada tahun 2011. IKEA juga menghentikan penggunaan bateri alkali dan mempelopori transisi ke arah penggunaan lampu LED yang mempunyai jangka hayat yang lebih panjang dan lebih cekap tenaga.
“Kami juga memperkenalkan menu berasaskan tumbuhan-tumbuhan tahun lalu. Kami berharap agar langkah ini akan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengikuti diet yang lebih sihat dan lestari.”
Tambahan pula, semua cawangan IKEA mempunyai fasiliti kitar semula di mana 70% sisa yang terhasil dikelaskan mengikut beberapa kategori seperti sisa umum, kertas, keluli dan plastik; apa sahaja yang boleh digunakan semula akan dikitar semula untuk mengurangkan sisa.
“Pekerja-pekerja kami menyumbang kepada usaha kitar semula, dan kami mengajak pelanggan-pelanggan kami untuk lakukan perkara yang sama,” kata Takeshi. Untuk mengurangkan sisa makanan, lebihan makanan ditukar menjadi makanan burung, dan mereka berkolaborasi dengan ladang hidroponik tempatan bagi menukarkan sisa makanan menjadi baja.
Selain itu, IKEA Batu Kawan juga menadah air hujan dan menyimpan di dalam tangki untuk kegunaan tandas pam dan penyiraman tanaman. Baru-baru ini, mereka telah memasang sekitar 3,700 panel solar di atas bumbung untuk menukarkan cahaya matahari menjadi tenaga elektrik yang berjaya menjimatkan kira-kira 16% kos biaya bil elektrik.
Visi IKEA untuk Masa Depan Kelengkapan Rumah
Menurut Jabatan Statistik Malaysia, jualan runcit di Malaysia meningkat sebanyak 8.7% pada bulan Mei 2024 saban tahun. Selaras dengan jajaran positif perkembangan KDNK daripada 4% ke 5% yang diumumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, baru-baru ini, keadaan ini menunjukkan tabiat berbelanja rakyat Malaysia dalam keadaan yang ‘sihat’. Sementara itu, Bank Negara Malaysia menjangkakan perbelanjaan isi rumah akan berkembang pada tahun 2024. Dikatakan bahawa pengguna akan kekal peka dengan kos dan ingin mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan.
“Dengan faktor-faktor ini, kami sentiasa mencabar diri untuk memastikan kos kami kekal rendah dan dalam masa yang sama memberikan kualiti sebaik mungkin untuk pelanggan-pelanggan. Tidak dinafikan, kebanyakan harga kami bergantung pada rantaian pembekal global. Walaubagaimanapun, ianya penting untuk rantaian pembekal kami patuh dengan standard kelestarian dan keselamatan kami,” ulas Takehashi.
Pada masa yang sama, pelanggan kini mahu pengalaman membeli belah yang lancar bagi atas talian serta luar talian dan permintaan untuk e-dagang semakin menaik. “Pelanggan mahu penghantaran yang ultra-laju dan efisyen, dan kami harap dapat memenuhi permintaan tersebut. Sebab itulah sekarang kami mempunyai kedai munculan dan tempat pengambilan di seluruh negara.”
“Fokus seterusnya untuk stor Batu Kawan ialah untuk mengutamakan tidur. Bermula September 2024 hingga tahun hadapan, kami akan memberi penekanan pada konsep tidur malam yang nyenyak dalam tawaran produk kami.”
Di penghujung harinya, Takeshi mempunyai wawasan untuk mengangkat IKEA Batu Kawan ke tahap seterusnya. “Saya nampak diri saya di sini sekurang-kurangnya untuk sedekad lagi. Saya takkan ke mana-mana buat masa ini.” Yang pasti, IKEA bukanlah usaha tunggal tetapi usahasama komuniti. “Semua ini hanya mampu terjadi dengan usaha hebat pekerja-pekerja kami dan sokongan tidak berbelah-bahagi daripada pelanggan. Pada pendapat saya, inilah dia pengalaman IKEA.”
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Carolyn Khor (2024). IKEA Batu Kawan: Responding to Local Tastes and Global Values. Penang Monthly, October Issue.
Carolyn Khor merupakan bekas setiausaha akhbar kementerian, bekas sukarelawan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan seorang penyelidik/penulis bebas.