Pengalaman kecil sepanjang penglibatan bersama aktivis gerakan mahasiswa adalah antara hal yang sangat mengujakan. Dunia terasa lebih bermakna dengan kepelbagaian ilmu dan rakan-rakan seperjuangan yang wujud. Semakin diteroka, semakin banyak yang tidak diketahui rupanya. Tatkala pertama kali bertemu mata dengan rakan-rakan aktivis dari Sabah membuatkan diri terasa begitu kerdil. Tak banyak yang mampu diungkapkan kerana itulah pertama kali jua mendengar istilah stateless child atau kebanyakan orang mengenali mereka sebagai anak-anak tanpa kerakyatan manakala pemerintah menggelar mereka dengan gelaran anak-anak tanpa dokumen.
Asas pertemuan pada dasarnya adalah untuk berkongsi tentang konsep gerakan anak muda di Sabah iaitu Borneo Komrad, yang boleh disesuaikan dengan landskap gerakan anak muda di selatan Semenanjung Malaysia. Melalui pertemuan ini, secara tidak langsung Borneo Komrad mengambil peluang untuk berkongsi mengenai isu anak-anak tanpa kerakyatan ini. Menurut mereka, di Sabah terdapat komuniti masyarakat yang masih dilabelkan sebagai stateless people. Mereka ini dikelaskan sebagai orang tanpa kerakyatan, bukan pendatang asing tanpa izin atau pelarian politik. Pada dasarnya mereka ini bukan sahaja tidak diiktiraf sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia malah turut dinafikan hak pendidikan, hak perubatan dan perlindungan undang-undang.
Isu stateless ini bukanlah isu baru bahkan sudah sekian lama wujud di Malaysia. Cabaran utama isu stateless ini adalah pengenalan diri dan dokumentasi. Faktor kewangan menjadi kekangan besar untuk mendapatkan kerakyatan selain daripada proses pengurusan dokumen pengenalan diri yang rumit. Ketiadaan sebarang dokumen pengenalan diri ini menyebabkan berlakunya keterbatasan anak-anak ini dalam mencapai hak asasi manusia di negara sendiri.
Melihatkan isu stateless ini kritikalnya adalah pada anak-anak yang tiada akses kepada pendidikan, rakan-rakan aktivis di Sabah bertindak mewujudkan Borneo Komrad sebagai sebuah organisasi yang membangun advokasi sosial seperti pendidikan, kebudayaan dan kemanusiaan. Jika dilihat pada media sosial Borneo Komrad, mereka sangat aktif dan konsisten dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang isu stateless ini. Bermula dengan hanya beberapa rakan mahasiswa dan bertambah bilangan tenaga mereka dengan anak-anak muda yang sudi serta sokongan daripada pertubuhan tanpa keuntungan lain yang turut sama memperjuangkan isu stateless ini.
Hal yang membuatkan rakan-rakan aktivis di Sabah melaksanakan inisiatif ini adalah kemelaratan hidup anak-anak tanpa kerakyatan ini yang hidup mereka adalah di kaki lima kedai, hidupnya dengan mengemis, berguling beralaskan lantai kaki lima kedai ibarat anjing jalanan serta menghidu dan menghisap gam dengan keadaan tubuh yang kecil dan kotor. Apakah pemandangan seperti ini telah menjadi satu normalisasi di negara madani kita ini? Demi Tuhan, kaki lima jalanan bukan tempatnya untuk anak-anak menumbuh.
Demi mengurangkan permasalahan seperti buta huruf, eksploitasi dalam ekonomi dan masalah sosial, usaha terbesar Borneo Komrad adalah penubuhan Sekolah Alternatif yang mana memberi peluang kepada anak-anak ini untuk mendapatkan pendidikan. Meskipun pendidikan yang disampaikan tidak sama seperti di kebanyakan sekolah kebangsaan di Malaysia, namun hal kecil seperti ini tetap membantu anak-anak ini. Bukan tidak ada usaha disampaikan isu ini kepada pemerintah tetapi begitulah, “berkering air liur”. Anak-anak kian jauh ketinggalan, melarat dan berakhir sebagai sebuah konten drama politik.
Setakat ini tak nampak cara lain kecuali menubuhkan Sekolah Alternatif, sebuah rumah kolektif Borneo Komrad di perkampungan atas air di Semporna manakala dua buah Sekolah Alternatif lagi terletak di Tuaran dan Tawau. Meskipun sekolah ini mempunyai kekurangan daripada aspek kemudahan dan sangatlah sederhana, anak-anak ini jelas terlihat seronok menikmati peluang belajar di situ. Ini jelas dilihat melalui foto-foto yang dikongsikan di media sosial Borneo Komrad. Di sinilah anak-anak ini diajar membaca, menulis, mengira, melukis, menyanyi, memasak, kebersihan diri, bahkan bagaimana menjalankan urusan perniagaan.
Usaha ini barangkali dilihat kecil dan mungkin ada yang beranggapan sejauh mana hal ini menjamin untuk jangka masa panjang tetapi percayalah usaha yang dilihat kecil inilah yang mengubah kebanyakan anak-anak ini. Anak-anak yang telah menerima pelajaran di sini kemudiannya akan mengajar pula kawan-kawan dan ahli keluarga mereka hal-hal yang telah mereka pelajari di Sekolah Alternatif ini. Sedikit sebanyak ianya memberikan impak yang baik kepada komuniti ini.
Dana-dana yang disumbangkan oleh orang awam melalui kempen-kempen yang dijalankan melalui media sosial dan hasil jualan yang dilakukan oleh Borneo Komrad menjadi sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan sekolah tersebut. Berpegang kepada pendidikan merupakan hak semua manusia, rakan-rakan aktivis ini sehingga kini masih gigih menjayakan Sekolah Alternatif ini demi memastikan anak-anak tanpa kerakyatan ini tidak ditindas dan didiskriminasikan hak pendidikan mereka. Beberapa siri Jelajah Borneo Komrad yang meliputi Semenanjung Malaysia turut dilaksanakan demi memberi kesedaran tentang isu pendidikan stateless di Sabah. Rakan-rakan aktivis Sabah ini bak kata pepatah, besar tapak tangan, nyiru kami tadahkan dengan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama demi menjayakan projek pendidikan ini.
Pertemuan rasmi empat mata bersama para pemerintah juga turut dinantikan dan diraikan oleh rakan-rakan aktivis Sabah agar perancangan terbaik dapat diatur demi memastikan isu pendidikan anak-anak tanpa kerakyatan ini tidak ditinggal sepi oleh premis pemerintah. Strategi yang utuh hanya dapat dirangka dengan berlakunya perbincangan secara terperinci bersama mereka yang telah bertahun lama membangun perubahan bersama anak-anak ini maka wajarlah mereka dijadikan antara rujukan utama dalam kemelut ini. Dari sini, pemerintah akan lebih jelas dan faham tentang dasar yang perlu dirangka kerana perkara ini menuntut kepada perancangan yang relevan untuk jangka masa panjang, bukan sekadar syok sendiri dan hangat-hangat tahi ayam. Pendidikan untuk semua!
Rujukan:
Mohd Hed, N., Oskar, A., & Yaacob, N. H. (2022). Stateless issue in Semporna, Sabah: Impact on the stateless children’s education (Sea Gypsies). EDUCATUM Journal of Social Sciences, 8(2), 32– 43. https://doi.org/10.37134/ejoss.vol8.2.4.2022 Laman rasmi muka buku Borneo Komrad. https://www.facebook.com/PandangkeBorneo?mibextid=JRoKGi
Siti Hajar Mohd Ariff adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Statistik Perindustrian, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) . Dia seorang introvert yang meminjamkan masanya kepada aktivisme bila-bila masa diperlukan.